Penghambat jalan ke Akhirat

BismillahirRahmanirRahim

Penghambat jalan ke Akhirat

Allah (swt) telah berfirman yang bermaksud; sesungguhnya Dia akan memberi Iman kepada sesiapa sahaja yang diingini. Namun bagi mereka yang bermohon kepada Nya, nescaya pemohonan itu tidak akan disia-siakan.

Mintalah, maka akan diberikan kepadamu. Mohonlah dari Nya. Akan dikurniai setiap permintaan itu. Allah akan memberi mengikut kehendak masing-masing.

Manusia cenderung menginginkan sesuatu. Tetapi bilakah masanya yang mereka akan bermohon kepada Allah?

Sudah semestinya sewaktu berada dalam kesusahan. Pada waktu itu, mereka akan berkejaran untuk memohonkan bantuan. Tetapi, apabila kesusahan itu berakhir, dengan serta-merta mereka akan melupakan segala pertolongan yang telah diberi dan meneruskan kehidupan tanpa menghiraukan perintah Allah.

Allah memerhatikan semua ini. Sewaktu berada dalam kesusahan, pantas kamu bersujud menghadapi Allah untuk mengharapkan pertolongan dariNya. Dengan penuh keyakinan, kamu menanti agar Allah menghulurkan bantuan. Begitu kamu mengharap agar Allah membuka luas ruang pintunya untukmu.

Jika pertolongaNya itu dilupakan dengan serta-merta,maka akan diturunkan satu lagi kesusahan yang lebih berat pada dirimu. Pada waktu itu, akan kamu dapati bahawa masalah tidak akan terlerai dengan begitu mudah. Kali ini, kamu akan mengalami penderitaan yang berlarutan.

Sedarlah dan bangkitlah wahai umat Islam.  Jika kalimah syahadah yang kamu lafazkan dengan kejujuran benar-benar telah menusuk ke dalam kalbu, maka ia sudah cukup untuk menyedarkan diri serta membangkitkan kamu dari kelekaan yang berpanjangan. Jika tidak, usahlah kamu membuang waktu.

Ramai orang yang telah datang menghadapi baginda Rasulullah sws. Maksud kedatangan mereka hanya untuk membebani diri baginda. Mereka berkata, “Kami menerima Islam. Kami adalah golongan yang beriman dan kami menginginkan itu dan ini.”

Allah (swt) berkata, “ katakan kepada mereka bahawa penerimaan Islam mereka tidak langsung memberi sebarang manfaat ke atas diri kamu. Itu adalah untuk kebaikan mereka sendiri. Dan katakan juga bahawa agama ini tidak akan berubah kedudukannya disebabkan penerimaan Islam mereka. Sama ada mereka menerima atau tidak, nilai Islam sentiasa kekal tinggi.  Malahan, dengan pemelukan Islam, harga diri mereka itu yang akan menjadi lebih bernilai. Jika mereka inginkan bukti, maka suruhlah mereka meninggalkan agama ini. Pergi dan lihat sendiri sama ada darjat tinggi Islam akan tergugat dengan ketiadaan mereka. Apakah agama ini akan runtuh atau ia tetap berdiri kukuh? Lihat sendiri.”

Barangsiapa yang memilihara kemurniaan Islam serta meletakkan Islam di kedudukan teratas, nescaya Allah swt akan mengangkat darjat dan memberi kemuliaan pada diri mereka.

Ketahuilah bahawa ramai yang telah gagal dalam percubaan untuk menjatuhkan Islam. Berkurun-kurun lamanya mereka telah mencuba.  Namun ia tidak mendatangkan sebarang hasil. Mustahil untuk Islam dijatuhkan!

Hamba. Manusia adalah hamba kepada Pencipta alam semesta. Ratusan, ribuan dan jutaan manusia telah datang dan pergi. Mereka mengabdikan diri dan mati sebagai seorang hamba. Berapa ramaikah yang kamu kenali?

Lupakan golongan hamba. Berapa ramaikah di antara raja-raja yang pernah wujud sejak zaman baginda Rasulullah (sws) hingga ke masa kini yang kamu kenali?

Tidakkah mereka menguasai dunia ini? Berapa banyak nama raja-raja ini yang kamu ingat?

Kita lupakan golongan raja. Di zaman yang serba canggih ini, kita sendiri yang melantik ketua negeri menerusi dasar pilihanraya. Berapa ramaikah di antara Presiden-presiden ini yang kita ingati?

Hilang. Lenyap semuanya. Nama-nama yang pernah mashyur di satu ketika dulu kini terpadam dari senarai. Semuanya dicampakkan ke dalam tong sampah.

Namun, terdapat nama seorang hamba Allah yang kekal dalam ingatan seluruh umat manusia. Bilal-e Habashi (Sayyidin Bilal Bin Rabah r.a). Beliau teramat istimewa. Begitu luar biasanya hamba Allah ini hinggakan kita wajib berdiri untuk memberi penghormatan setiap kali namanya disebut.

Maqam Hazrat Bilal al-habshi ra

Apa yang membuat beliau begitu istimewa?

Seperti yang lainnya, beliau juga seorang hamba. Tetapi sebagai hamba, beliau amat menyanjungi setiap ajaran, arahan dan anugerah Allah ke atas dirinya. Beliau begitu menggenggam erat pada kata-kata Allah swt tanpa mempedulikan mereka disekeliling yang sering mempersendakan dan memperkecilkan kata-kata dari  yang Maha Berkuasa. Walau apa jua kepayahan dan penderitaan yang terpaksa dilalui, ia sedikitpun tidak menggugat keimanan beliau. Keimanan yang membara dalam sanubari seorang hamba itu tidak dapat ditukar gantikan dengan dunia yang hina ini.

Itulah Bilal-e Habashi (ra). Hamba yang begitu memegang teguh kepada ajaran yang dibawa oleh baginda Rasulullah (sws). Beliau sendiri mengakui bahawa,”Inilah orangnya yang bertanggungjawab menanam benih iman di hatiku dan memberi perlindungan pada diriku.”

Begitu nyata sekali kasih sayang beliau terhadap Rasulullah (sws) sehingga apabila wafatnya baginda (sws), Bilal tidak ingin meneruskan kehidupan ini.

Namun beliau sedar bahawa persoalan hidup dan mati tidak terletak di tangan manusia. Allah yang merancang segala-galanya.  Dengan perasaan yang begitu hiba, Bilal meneruskan kehidupan ini. Beliau meminta kebenaran dari Abu Bakar Siddik (ra) untuk berhijrah.

Beliau berkata, “Ya Abu Bakar. Tidak terdaya aku menanggung perasan ini. Aku tidak mampu untuk terus hidup di daerah ini lagi. Kamu mempunyai tanggungjawab yang lebih berat dariku. Maka kamu harus menetap di sini. Tetapi aku tidak mampu untuk berada terus di sini dan melaungkan Azan lagi. Izinkan aku pergi dari sini. Bebaskanlah diri ini agar aku dapat bersendirian di pergunungan sana.’

Abu Bakar (ra) menjawab,”Ya Bilal, pergilah.”

Bilal pergi berjalan kaki merantau jauh hingga ke Damascus. Namun hatinya masih tetap membara dengan perasaan cinta terhadap baginda Rasulullah sws. Segala ilmu yang dicurahkan baginda sws telah memenuhi jiwa raganya, dan setiap detik yang berlalu mengembalikan kenangan dan mengingatkan beliau pada peristiwa-peristiwa yang ditempuhi sewaktu bersama dengan baginda Rasulullah sws.

Begitu hangatnya perasaan cinta yang membara di hati seorang hamba Allah itu sehingga di satu hari, beliau terbayangkan Rasulullah di hadapannya. Rasulullah sws menyeru kepadanya, “Ya Bilal. Hadirkan diri kamu ke mari.”

Bilal menjadi bingung dengan apa yang beliau bayangkan itu. Beliau terus bangun dan mula berlari menuju ke arah padang pasir. Beliau berlari terus hingga akhirnya sampai ke kota Medina. Setibanya di sana, kedengaran lagi suara Rasulullah sws yang berkata, “laungkan Azan, ya Bilal.”

Tanpa berlengah, Bilal mula melaungkan Azan. Para sahabat yang masih menetap di daerah itu mula bergegas ke arah suara laungan azan . Mereka menyangkakan bahawa Rasulullah (sws) telah kembali. Mereka mencari dan menuju ke arah suara itu.

Apabila Bilal malafazkan, “Muhammadur Rasulullah” beliau rebah dan meninggalkan dunia ini untuk bersama dengan yang dikasihinya. Ya, begitulah tamatnya riwayat hidup seorang hamba Allah.

Apakah bezanya kita dan mereka? Kita juga mengaku mencintai Rasulullah (sws)? Tapi dimanakah kita meletakkan perasaan cinta itu? Huh? Di mana? Di dunia?

Hapuskan semua itu. Hilangkan perasaan cinta kamu kepada dunia.  Kerana perasaan cinta yang sedemikian akan memusnahkan hidup kamu. Cinta dunia ini akan menghambat perjalanan kamu untuk mencapai tahap keimanan yang tinggi. Mustahil bagi kamu untuk memiliki keutuhan iman dengan cara begitu.

Contohi sifat-sifat para sahabi. Mereka bukan sekadar menghapuskan perasaan cinta dunia dari jiwa mereka, bahkan segala harta kekayaan yang dimiliki termasuk juga nyawa mereka sendiri sanggup dipertaruhkan demi Rasulullah sws, demi Islam.

Ada juga terdapat beberapa orang sahabi yang terjerat dengan godaan duniawi. Akibat dari kelemahan Iman, mereka membenarkan dunia mempengaruhi hidup masing-masing. Akhirnya mereka tewas kerana tidak rela dipisahkan dengan dunia dan segala tipu muslihat duniawi.  Mereka ditumpaskan walaupun bergelar sahabi. Kini, setiap kali nama mereka di sebut, kita akan memalingkan muka ke arah lain kerana mereka memandang remeh terhadap kata-kata Rasulullah sws.

Di manakah Rasulullah (sws)? Dia telah lama pergi meninggalkan dunia ini? Dia telah wafat?

Apa yang akan kamu lakukan jika Rasulullah (sws) datang menziarahi ketika majlis zikir ini bermula? Apa pula yang akan kamu lakukan jika Rasulullah (sws) hadir ke mari ketika kamu tidak ada di sini?

Pernahkan kamu memikirkan semua ini?

Tidak. Kamu tidak memikirkannya. Kamu hanya lakukan semua ini sebagai satu kegiatan masa lapang. Maka kamu berada dalam kerugian.

Ketahuilah bahawa kita tidak mengejarkan sesuatu. Rasulullah (sws) juga tidak mengejarkan sesiapa. Beliau memberi panduan kepada umatnya untuk menghala arah tujuan mereka ke Syurga.

Sesuatu yang memiliki nilai yang tinggi akan tetap menjadi berharga. Sama ada kamu berada di sampingnya ataupun tidak, nilainya yang tinggi itu tetap tidak akan berubah. Kamu yang tidak merebut peluang untuk memilikinya akan berada dalam kerugian yang nyata.  Kerugian yang kamu alami itu adalah teramat besar hingga para malaikat akan berkata,

“Bodoh sungguh manusia ini! Di kalangan lautan manusia yang tidak terkira banyaknya, kamu terpilih sebagai salah seorang daripada golongan itu, tapi kamu mempersia-siakannya. Kamu tidak melakukan apa-apa. Bodoh sungguh!”

Cuba kita renungkan sendiri kebodohan ini. Terserahlah. Ikut sesuka hati kamu. Kamu bebas melakukan apa sahaja. Tapi jangan lupa bahawa kamu akan mati bersama Iman yang tertanam di jiwa itu. Bukan sekadar iman yang diucapkan secara lisan. Tidak. Apa jua yang sedang kamu sibukkan, itulah yang akan dibawa bersama ke alam kubur.

Baginda Rasulullah sws pernah bersabda, “Apa yang kamu yakini, itulah yang menjadi pegangan dalam hidup kamu. Apa yang menjadi pegangan hidup kamu, itulah yang akan kamu bawa di saat-saat kematian kamu.”

Ramai orang kini langsung tidak begitu mengendahkan soal kematian. Bagi mereka, kematian adalah satu perkara yang tidak akan berlaku dalam masa yang terdekat. Mungkin ianya akan terjadi sekurun akan datang.

Itu tidak benar. Sama sekali tidak benar. Mungkin pada malam ini!

Saya sering menerima panggilan dari merata tempat yang berkata, “Sheykh, tolong doakan kami.”

“Apa yang telah berlaku?”

“Sipulan itu meninggal.”

“Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun.”

Hanya itu yang dapat saya katakan. Saban hari perkara sebegini berlaku

Mungkin kamu tidak mendengar, tetapi pada hakikatnya, Allah telah memaparkan kejadian demi kejadian di hadapan kamu, menerusi berita-berita di kaca televisyen dan di merata-rata tempat.

Sedarkan diri sendiri.  Jika hidup kamu tidak dibina atas dasar kepercayaan agama yang kukuh, lambat laun, diri kamu akan jatuh ke dalam perangkap keduniaan. Sekiranya ini berlaku ke atas diri kamu, jangan kamu menuding jari di kemudian hari nanti dan berkata, “Allah tidak memberi petunjuk pada saya.”

Allah swt memberi. Malah Allah memberi lebih dari apa yang kamu minta. Dan Allah juga melihat kepada diri kamu. Apakah pemberian yang kamu ingini dari Nya. Adakah ia hanya bersifat duniawi. Kerana apa jua yang kamu hargai, itulah yang akan menjadi keutamaan dalam hidup kamu.

Selamat datang kepada semua. Selamat datang ke kota New York. New York sedang menanti untuk membaham kamu. ‘Big apple’. Rebutlah bahagian kamu dari itu. Azrail sedang menanti. Sebaik sahaja bahagian kamu itu habis, dia akan datang mengambilnya termasuk juga dengan diri kamu.

Wa min Allahu taufiq

Bihurmatil Habib

Bihurmatil Fatiha

– Sheykh Abdul Kerim al-Kibrisi

This entry was posted in OsmanliJB. Bookmark the permalink.

One Response to Penghambat jalan ke Akhirat

  1. Osman says:

    MasyAllah!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s