Punca segala masalah

BismillahirRahmanirRahim

PUNCA SEGALA MASALAH

Soalan :  Bagaimana dapat saya berhenti dari melakukan kekejaman ke atas diri saya dan juga terhadap orang lain?

Mudah sekali. Apa yang menyakiti hatimu, janganlah diperbuat kepada orang lain. Begitu caranya. Mudah dan ringkas. Benar?

Jangan kamu lakukan sesuatu terhadap diri seseorang itu jika kamu sendiri tidak ingin diperlakukan begitu. Jika perkara itu menyakiti hati kamu, sudah tentu ia akan menyakiti hati orang lain. Maka usah melakukan hal-hal yang seperti itu. Dengan cara begini kamu akan dapat hindari berlaku kejam ke atas orang lain dan juga ke atas diri sendiri.

Soalan: Mengenai sifat murah hati, bagaimanakah dapat seseorang itu merubah sikap bakhilnya untuk menjadi seorang yang pemurah?

Kebakhilan tidak akan menghasilkan keberuntungan. Lihat di sekeliling kamu dan sedarilah bahawa setiap yang wujud ini bukan milik kamu. Jika kamu dapat menghayati kenyataan ini, maka akan timbul keinsafan dan dengan sendirinya, kamu akan mengikis sifat kikir dan dengan rela hati, kamu akan memberi serta berkongsi harta yang ada dengan orang lain.

Kehidupan adalah satu persinggahan sementara. Segala harta kekayaan yang dimiliki itu tidak akan kekal. Pada hakikatnya, setiap pemberian Allah itu bukanlah hak kamu. Ia telah dikurniakan kepadamu agar dapat kamu menggunakannya untuk membuat kebajikan ke jalan Allah swt.

Allah memberi. Dia tidak mengambil. Dia hanya memberi dan terus memberi. Barangsiapa yang mengaku diri  mereka sebagai seorang hamba kepada Maha Pemberi, maka mereka juga harus menanam sifat mulia ini dalam diri mereka. Allah swt telah menjanjikan pahala besar bagi orang yang berjiwa besar; yaitu orang yang tidak segan-segan untuk menyisihkan sesuatu yang dicintainya -yaitu harta- sebagai berinfak di jalan Allah.

Jika kamu tidak mempelajari cara berikhsan dengan memberi, maka pelajarilah cara untuk menerima dengan penuh kesyukuran. Apakah kamu tidak merasa bosan dengan hanya menerima?

Kamu hanya ingin menerima dan terus menerima?

Apakah kamu tidak teringin untuk memberi?

Lihatlah keadaan di dunia kini. Manusia hidup tanpa ketenangan. Banyak yang sedang merana di luar sana. Ini semua berpunca daripada sifat tamak. Sifat bakhil yang tidak ingin memberi, berkongsi dan bersedekah.

Ketahuilah harta tidak akan berkurang gara-gara sedekah. Seorang hamba yang ikhlas membahagi-bahagikan bahagian mereka itu akan menerima keredhaan Allah. Allah amat berpuas hati dengan kamu. Jika Allah berpuas hati dengan kamu, itu amat mencukupi. Tetapi, yang harus diberi keutamaan adalah untuk kita mengenali siapa itu Allah.

Saban hari, manusia hanya menyebut-nyebut nama Nya. Tetapi mereka tidak mengenal siapa Allah sebenarnya dan apakah erti hamba dan memperhambakan diri.

Jika kamu memahami pengertian ini dengan mendalam, maka akan kamu sedar siapa diri itu sebenarnya.  Hanya seorang hamba Allah yang hina.

Ini akan menimbulkan keinsafan. Berserta dengan kesedaran ini, kamu akan berlumba untuk melaksanakan penghambaan yang terbaik. Dengan keikhlasan hati seorang hamba untuk melakukan yang terbaik kepada Pemiliknya, Allah pasti akan menambahkan kemuliaan pada diri kamu.

Pemberian nikmat dan rezeki Nya tidak putus-putus. Allah sentiasa memberi kepada hambanya.

Bukankah ini merupakan suatu hikmat? Allah sedang memberi hikmat kepada hambanya.

Maka itu,  untuk mencapai ke tahap derajat yang tertinggi, kamu harus bermula dengan menjadi seorang hamba yang dapat memberi hikmat terbaik kepada Allah swt.

Secara perlahan-lahan, kamu akan dapat naik ke atas, atas, tinggi dan lebih tinggi. Apabila umur semakin dewasa, kamu pula akan mendidik generasi muda cara-cara untuk memberi hikmat terbaik kepada yang maha Esa .

Cuba lihat di sini. Lihat dan perhatikan golongan muda ini. ( Sheykh menunjuk kepada beberapa murid muda yang hadir di dergah)

Langsung tak berguna! Mereka hanya duduk seperti patung. Thuuh! Semuanya ingin dilayan sepenuh masa. Thuuh! Bodoh sungguh.

Mereka datang hanya sekali dalam seminggu ke mari. Selepas ini, mereka semua akan berlumba-lumba untuk kembali masuk ke dalam lubang yang kotor.

Hmm? Bermasalah?

Memang masalah itu tidak akan berakhir. Apa yang kamu harapkan?

(sheykh bertanya kepada golongan muda di dergah) Bukankah sudah berkali-kali saya menyuruh kamu semua untuk kerap ke mari? Tetapi tidak, kerana kamu semua hanya lebih gemar untuk berkeliaran di luar sana sambil menimbulkan kekecohan di merata-rata.

Awas!

Setiap sesuatu itu mempunyai had jangka masa yang tertentu.  Jika kamu tidak berusaha untuk mengejar masa itu dan melepaskan peluang untuk melakukannya, kamu akan menyesal di kemudian hari.

Menyesal kerana kamu telah melepaskan peluang untuk mempelajari sesuatu ilmu yang amat berharga.

Akibat daripada kelekaan sendiri, kehidupan kamu tidak akan dapat dinikmati dengan sebaiknya dan kamu akan kekal berada dalam khayalan dan kelekaan. Kamu akan berlari dan terus berlari untuk mencari-cari sesuatu. Namun apa yang dicari itu tidak mungkin akan dapat dijumpa. Kerana kamu terlepas peluang.

Pada dasarnya manusia sedang mencari-cari sesuatu. Apakah yang  sedang dicari? Ketenangan. Ketenangan yang hakiki.  Pelbagai cara dan bentuk usaha manusia dalam mencari ketenangan jiwa.

Segala isi yang terkandung di ruang sanubari, dengan izin yang Maha Esa, akan jelas terpancar pada penampilan lahiriah seseorang insan. Jika ruang itu dipenuhi dengan ketenangan, maka nikmat ketenangan itu juga yang akan turut memenuhi kehidupan seharian mereka.

 Jika kamu memiliki ketenangan dalam hidup, itu sudah mencukupi.  Ibarat besi sembrani kamu akan menarik perhatian mereka-mereka di luar sana yang sedang merindukan ketenangan.

Hanya dengan melihat pada zahir kamu, mereka akan dapat merasakan ketenangan itu.

Kamu akan menjadi tumpuan ramai dan mereka akan mengejari mu serta berebut-rebut untuk mendampingi kamu. Maka Allah akan turut mencurahkan rahmat ke atas diri mereka kerana Dia telah berjanji dalam firmanya yang bermaksud, ‘Berdampinglah kamu dengan golongan Saliheen. Dekati mereka yang telah menemukan ketenangan nescaya ketenangan itu juga akan turut menjadi milikmu.’

Kita harus berusaha untuk menjadi insan yang murah hati. Begitu juga dengan golongan kafir. Mereka juga harus mewujudkan sifat mulia ini kerana sifat dermawan akan membuka laluan bagi mereka untuk menemui jalan ke Syurga. Tetapi bagi golongan kafir yang kikir, peluang untuk menemui keselamatan tidak begitu cerah.

Allah tidak suka kepada orang-orang yang bakhil kedekut. Begitu juga dengan Rasul-Nya sws. Golongan bakhil ini amat dimurkai Allah dan rasul-Nya. Sifat bakhil adalah sifat tercela yang akan menjauhkan manusia dari rahmat.  Jika kamu tidak mengikis sifat yang merugikan diri ini,  lambat laun kamu akan menjadi seorang yang hanya mementingkan diri sendiri. Ini akan membuat kamu menjadi seorang yang sombong dan bongkak dengan kelebihan diri. Dengan serta merta, kamu akan menjadi seorang yang zalim. Sesunguhnya Allah tidak menyayangi orang-orang zalim dan Dia tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

Mereka yang tidak disayangi Allah, itulah golongan kafir yang tidak beriman. Hidup mereka sentiasa dirudung masalah.

Marilah sama-sama kita tanamkan sifat murah hati. Sesungguhnya sifat mulia ini mengundang rahmat Allah tidak kira sama ada dia adalah seorang kafir yang tidak mempercayai segala apa sekalipun. Rahmat Allah akan turut ditujukan kepada orang itu di satu masa nanti.

Sebagai contoh, mari kita lihat peristiwa yang berlaku di negeri Amerika lebih kurang tiga atau empat kurun yang lalu. Pada  waktu itu, rakyat Amerika memiliki sifat yang amat murah hati, suka berkorban dan senang bergotong-royong. Allah swt amat menyenangi sifat mulia ini maka Beliau melimpahi rahmat serta keberkahan dalam hidup mereka.

Tidakkah ini benar?

Saya sendiri melalui detik-detik itu di negeri ini. Ramai diantara kamu yang belum  dilahirkan pada waktu itu. Saya beramah mesra dengan mereka yang telah mengharungi masa-masa sukar di Amerika pada waktu itu.

Di sebalik kejerihan hidup, mereka memiliki satu sifat terpuji, iaitu mereka begitu mengambil berat serta saling bantu-membantu sesama insan. Pahit manis kehidupan ditempuhi bersama.

Malangnya kini, keadaan menjadi amat memilukan. Adalah mustahil untuk kita mengatakan yang serupa tentang orang-orang Amerika yang hidup sekarang. Mereka begitu kedekut dengan harta dan kemewahan yang ada.

Di mana mereka mempelajari semua ini?

Tentu sekali dengan sesuatu ciptaan yang sifat semulajadinya itu amat bakhil. Dan siapa lagi yang dimaksudkan itu kalau bukan Sheytan.

Ya. Sheytan merupakan bakhil yang terunggul.

Jika diperhatikan keadaan dunia pada masa kini, kita akan sedia maklum bahawa setiap nikmat dunia masih lagi diberi ke tangan manusia. Dan segala yang terbaik daripada hasil bumi ini jatuh di bawah kuasa orang-orang Amerika.

Bukankah ini suatu kebenaran?

Rakyat Amerika mampu untuk memiliki apa jua yang diingini dengan begitu mudah sekali.  Ini berbeza keadaannya jika dibandingkan dengan mereka yang tinggal di negeri Eropah, Timur Tengah dan yang lebih dashyat lagi, mereka yang hidup di negara dunia ketiga. Berbanding dengan kehidupan orang-orang ini,  rakyat Amerika hidup dalam serba kemewahan.

Sungguhpun begitu keadaannya, Rakyat Amerika juga merupakan golongan manusia yang paling tidak bahagia. Hidup mereka penuh dengan masalah. Mereka berlari ke sini sana tanpa arah tujuan. Jika benar hidup mereka itu tenang dan bahagia, mereka tidak akan berkelakuan sedemikian. Ramai diantara rakyat Amerika yang kerap melancong keluar negara untuk mencari hiburan dan ketenangan. Malah, ada yang merantau jauh hingga ke Tibet.

Mengapa harus ke sana?

Apakah yang dicari di situ? Hmmm?

Ketahuilah bahawa yang dicari itu berada di dalam sini (Sheykh menunjuk ke arah hatinya).

Kamu telah memutuskan hubungan dengan maha Pencipta yang Agung. Maka hati itu akan merasa kekosongan.

Cuba kamu lihat pada lampu di siling ini (Sheykh menunjukkan lampu di dergah). Jika bekalan elektrik terputus dan tidak dapat disalurkan ke lampu ini, apa kamu fikir ianya akan menyala? Gantunglah candeliar yang secantik mana sekalipun, namun ianya tidak akan memberi sebarang hasil jika kita semua harus berada dalam kegelapan. Jadi, untuk memastikan agar bilik ini dapat disinari chaya lampu itu, maka bekalan elektrik tidak harus terputus.

Begitu juga dengan kita manusia. Sebaik sahaja kita memutuskan hubungan dengan alam syurgawi, maka kita tidak akan dapat menikmati hasil dari keindahan yang wujud di sekeliling kita. Oleh kerana kita tidak dapat menikmatinya, maka kita tidak akan mampu untuk menilai dan menghargai setiap kewujudan ciptaan yang maha Agung.

Inilah punca segala masalah. Kita tidak menghargai apa yang ada di tangan kita. Terutama sekali mereka yang menetap di negara ini. Dan lebih menyedihkan ialah kita hanya akan mengerti betapa berharganya sesuatu itu apabila ianya tiada lagi di dalam cengkaman. Pada waktu itu, maka timbullah penyesalan yang berpanjangan.

Ini adalah satu rahsia kehidupan.  Rahsia di mana kamu harus menghargai sesuatu pemberian dan menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur.

Apa yang membuat kamu fikir bahawa kamu itu layak menerima sesuatu pemberian sedangkan ramai yang berada di luar sana tidak dapat menikmati pemberian itu?

Tiada sesiapa yang mengatakan bahawa kamu lebih berhak memliki sesuatu sementara mereka yang hidup di negara-negara miskin terpaksa menempuhi penderitaan.

      

Apakah perbezaan di antara kamu dan mereka?

Pencipta yang sama telah menciptakan kamu dan juga mereka. Pencipta itu jugalah yang telah membenarkan kamu untuk memiliki kelebihan dan kemewahan hidup yang tidak diberi kepada mereka.

Apakah yang telah kamu lakukan dengan pemberian istimewa ini?

Ya, mungkin kamu tidak terdaya untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang jauh di sebelah sana. Tetapi, apakah pernah kamu mensyukuri pemberian Nya ini? Dan dengan lahirnya rasa kesyukuran ini, apakah ia dapat membuat  kamu berlari untuk menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan pertolongan?

Fikirkanlah.

Hindari kebakhilan. Ia adalah suatu perbuatan tercela yang dapat dilakukan manusia, kepada siapa?

Kepada diri kamu sendiri.

Wa min Allahu taufiq

Bihurmatil Habib

Bihurmatil Fatiha

– Sheykh Abdul Kerim al-Kibrisi

This entry was posted in OsmanliJB. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s