Terjerat Perangkap Shaitan

BismillahirRahmanirRahim

TERJERAT PERANGKAP SHAITAN

Tariqatuna sohbet wa khayru fil jamiat.

Sheykh kami pernah berkata,’walau hanya untuk lima minit, berhimpunlah kamu. Tidak kira dua, tiga, empat atau lima orang. Yang penting, seorang daripada kamu memberi nasihat, manakala yang lainnya mendengar. Dengan cara ini, kita akan mendapat manfaat dari kata-kata nasihat itu.’ InshaAllah. Dan kita juga akan mendapat rahmat dan hidayah dari Allah swt.

Rasulullah sws telah bersabda, ‘Din-I Nasihat.’ Agama adalah nasihat. Shah Naksibendi (qaddasallahu siruh) juga pernah berkata, ‘Cara kita berterusan menerusi sohbet (syarahan), menerusi persatuan.’

Sekarang ini, kita masih belum di tahap untuk memberi sohbet. Hanya membicarakan sepatah dua kata yang mungkin boleh menyedarkan diri dari khayalan.

Sohbet dikhususkan bagi mereka yang bersedia. Bukan untuk mereka yang hadir secara fisikal tetapi batin mereka sedang merayau-rayau di sana sini untuk mencari kebebasan. Sama juga seperti mereka yang bergegas pada saat-saat terakhir untuk menghadiri sohbet. Ini bukan cara untuk kamu menghayati sesebuah sohbet. Kita juga tidak dapat menyampaikan sohbet dengan cara begini.

InsyaAllah. Pada perhimpunan kali ini, kita mohon keizinan dari yang Maha Suci Allah swt agar dapat berbicara dan memberi kata-kata nasihat buat bekalan untuk kita semua menempuh hayah (kehidupan), agar selamat dunia dan akhirat.

Jika kita ambil kata-kata dari sohbet ini, hayati maksudnya serta menerapkan nasihat yang diberi dalam hidup seharian, maka kemenangan akan menanti kita. Jika tidak, katakan sahaja, ‘saya hanya menurut keinginan ego saya.’

Itulah yang dilakukan shaitan. Dia tidak langsung mendengar dan mematuhi. Apabila Allah memerintah, “Sujudlah pada Adam.”

Shaitan ungkal dengan perintah Allah itu. Bersujud pada Adam bererti dia harus mematuhi Adam. Bermula dari saat itu, dia harus mentaati segala yang diperintahkan Adam ke atas dirinya. Ini tidak sealiran dengan kehendak egonya yang berkata, ‘Aku adalah yang terbaik. Tiada sebab mengapa aku harus tunduk kepada dia.’

Jika shaitan berusaha untuk menelan perasaan bongkaknya dan mentaati perintah Allah, maka segala  rahsia yang telah Allah swt tanam ke dalam diri Adam (as) akan turut melengkapi segenap pengetahuan yang Shaitan miliki. Malangnya, dia tidak berbuat begitu.

Keungkalan shaitan telah mengatasi segala-galanya. Disebabkan itu dia menjadi penderhaka. Shaitan merupakan makhluk pertama yang menderhakai perintah Allah. Penderhakaan kedua datangnya dari ego manusia. Jika seseorang insan mengaku, ‘Saya adalah seorang yang beriman, saya seorang mukmin,’ apakah tanda-tanda pengakuannya itu?

Orang mukmin adalah mereka yang mengerjakan perintah Allah dan mengamalkan suruhan Tuhan.  Mengerjakan perintah Allah bukan hanya setakat berkata,’Saya mengambil al-Quran dan membacanya berulangkali.’

Tidak. Bukan begitu caranya.

Maqam Baginda Rasulullah sws

Kamu harus  bermula dengan mentaati Rasulullah (sws). Tetapi ramai yang berkata bahawa Rasulullah berada terlalu jauh dari kita.Maka kita hendaklah mencari  seseorang pembimbing yang dapat kita katakan padanya,

“Baiklah. Saya akan mentaati yang ini. Setiap apa yang bakal dilakukan, akan saya rujuk kepada beliau.

Segala kemusyikilan yang terpendam di dalam hati, akan saya luahkan kepadanya. Saya akan merujuk kepadanya dalam mengatur perjalanan hidup duniawi serta ukhrawi saya.”

Sekiranya pembimbing itu merupakan seseorang yang tidak bertanggungjawab, maka usahlah terus menuruti jejak langkah beliau yang salah itu. Tetapi ini juga merupakan penyakit dan tabiat buruk manusia pada masa kini. Penyakit dimana ramai manusia kini begitu sibuk menguji dan menduga guru masing-masing.

Bagaimana mungkin dapat kamu menguji guru kamu yang lebih tinggi kedudukan ilmunya?

Kamu itu hanya seorang murid. Bagaimana dapat kamu memahami kedudukan guru kamu itu?

Jadi ini merupakan satu penyakit manusia masa kini. Sheytan telah memperdayai kamu dengan cara menimbulkan kesangsian. Dia berkata, ” Memang benar, terdapat Sheykh-Sheykh yang tinggi nilai akhlak mereka di dunia ini. Tetapi mereka semua wujud pada zaman silam. Sekarang ini semuanya telah lenyap.”

Jika kamu mengakui kebenaran kata-kata ini, maka ini sudah cukup untuk membuktikan kejahilan diri kamu. Dan pemikiran yang bersarang dengan kejahilan ini akan terus meracuni hidup kamu hingga ke hari kebangkitan kelak.

Ramai orang yang berkata, ‘Oh, memang ada banyak wali-wali Allah yang hidup di muka bumi ini. Tapi itu semua pada zaman nenek moyang kita dahulu. Sekarang mereka semua telah tiada lagi.’

Kenyataan sebegini telah banyak saya dengarkan di merata daerah di dunia ini. Betapa bodoh dan jahil sungguh manusia kini! Mereka tidak langsung ingin memahami sesuatu apa sekalipun.

Apa yang menyebabkan mereka berkelakuan sedemikian?

EGO.

Ego yang telah mempengaruhi minda manusia sedang berkata, “Jangan serahkan diri kamu kepada sesiapa. Serahkan hanya kepada ku.”

Ego juga berkata, “Kamu harus menurut perintah aku. Tiada sesiapa lagi yang harus kamu turuti.  Aku akan merasa gembira jika kamu mentaati ku. Jika kamu ingkar, aku akan merasa hampa sekali.”

Pada kurun ke 21 ini, kesesatan serta kekeliruan menimpa manusia di seluruh pelusuk dunia di timur, barat, utara dan selatan. Jangan fikir ini hanya berlaku di Amerika, tidak. Tidak lagi begitu.

Suatu ketika dahulu, mungkin di beberapa benua, terdapat kebanyakkan di antara manusia yang berada di jalan yang benar. Malangnya, keadaan telah jauh berubah. Kini hanya segelintir sahaja dikalangan umat manusia yang sedang bersabar di atas landasan kebenaran. Dan mereka semua sedang bersembunyi di daerah-daerah terpencil.

Mereka yang hidup di negeri-negeri barat kini sedang giat berkejar-kejaran. Apa yang sedang sibuk dikejarkan itu?

Dunia.

Dunia adalah perangkap shaitan yang terbesar. Jika kamu jatuh ke dalam perangkap itu, maka kamu sedang berada di bawah penguasaan shaitan. Kamu telah mengizinkan shaitan untuk mengatur perjalanan hidup kamu.

Siapakah itu orang yang tidak beriman? dan siapakah pula orang-orang kafir?

Mereka semua terdiri daripada golongan manusia yang mendengar hasutan shaitan. Orang-orang beriman adalah mereka yang mematuhi serta mentaati perintah Allah swt.  Orang-orang yang hilang keimanan, iaitu orang-orang kafir, merupakan golongan manusia yang tunduk kepada perintah shaitan.

Apakah dia itu akan mentaati shaitan dengan secara langsung?

Tidak. Bukan dengan secara langsung tetapi dengan cara melayani bisikkan ego dan mengingkari setiap kebaikan serta kebenaran.

Umpama seorang anak kecil yang berusia tujuh tahun. Jika kamu berkata kepadanya “lakukan ini.”

“Tidak, saya tidak akan melakukannya.”

Eh, apa yang kamu tahu? Apakah kamu mengerti jika sesuatu itu benar dan baik buat diri kamu?

Tidak. Kamu tidak tahu. Maka kamu harus mendengar.

Malangnya, golongan dewasa masa kini telah hilang hala tuju hidup. Mereka tidak lagi tahu bagaimana cara mendidik anak-anak walaupun hanya untuk menyuruh anak itu untuk melakukan perkara-perkara yang mudah.

Saya pernah melihat seorang bapa yang masuk ke sebuah kedai roti bersama anak kecilnya. Kedai itu menjual pelbagai jenis roti sandwic dan kuih-muih. Bapa itu pun berkata kepada anaknya, “Apa yang ingin kamu makan? Pilih sahaja mana yang kamu suka.”

“Ah, saya hendak yang itu.”

Dia menunjuk kepada jenis makanan yang besar hidangannya hingga orang dewasa sendiri tidak dapat menghabiskannya jika mereka benar-benar tidak merasa lapar. Anehnya, bapa itu bersetuju, “Ya, berikan itu kepadanya.”

Anak kecil itu sendiri tidak mengerti apa yang harus dimakan dan apa yang sepatutnya dipilih. Tetapi, si bapa yang bodoh itu telah mengizinkan anaknya membuat pemilihan kerana dia sendiri tidak tahu apa yang harus diberi kepada anaknya.

Ini hanya satu contoh mudah yang sudah sememangnya berlaku dalam kehidupan seharian.

“Apa yang kamu suka? Apa yang kamu inginkan sayangku? Apa yang kamu gemari?”

Letakkan sahaja di hadapan mereka dan katakan, “Makan ini.”

Fahami apa yang terbaik untuk kesihatan anak itu dan katakan kepadanya, “Kamu harus makan makanan ini.”

Jika diperhatikan keadan dunia hari ini, akan kita dapati bahawa manusia kini menghidapi pelbagai  jenis penyakit. Apakah puncanya?

Punca utama adalah disebabkan oleh pemberian makanan kurang berkhasiat. Ibu bapa kini tidak mengindahkan tentang jenis makanan yang disediakan untuk santapan seharian. Mereka berkata, ‘Saya tidak peduli.’

Ya, memang kamu tidak peduli. Kerana kamu semua telah terjerat dek perangkap dan tipu helah ego sendiri. Seterusnya, kamu akan berkata, ‘saya telah mencuba sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik.’

Manakah buktinya yang kamu telah berusaha untuk melakukan yang terbaik?

Tidak.  Kamu tidak melakukan yang terbaik.  Kamu juga tidak mencuba untuk berikan yang terbaik. Jika kamu telah berusaha ke arah itu, nescaya kamu pasti akan menghasilkan sesuatu yang terbaik. Malangnya, kamu tidak gagah besemangat menuju matlamat sedaya upaya. Ini membuktikan bahawa pertalian kamu dengan Maha Pencipta Allah swt telah terputus.

Jika pertalian Syurgawi ini terputus, dengan siapa pula yang sedang kamu jalin hubungan?

Ternyata kamu sedang berhubung dengan sesuatu. Dengan shaitan. Dan akibat daripada perhubungan dengan shaitan ini maka dia telah menanamkan sifat malas ke dalam diri kamu.

Shaitan juga telah berjaya membuat manusia mudah putus harapan dan akibatnya, mereka(manusia) akan berkata, ‘Ahh…aku telah melakukan yang terbaik. Tetapi ia tidak mendatangkan sebarang hasil. Sekarang, aku tidak lagi mempedulikan apa yang terjadi.’

Wa min Allahu tawfiq

Bihurmatil Habib

Bihurmatil Fatiha

– Sheykh Abd Kerim Effendi

This entry was posted in OsmanliJB. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s