Mencari Jalan Pulang

BismillahirRahmanirRahim

MENCARI JALAN PULANG

Dari masa ke semasa, sering kita memerhati, sewaktu menghadiri acara kematian, suasana sayu mengiringi pemergian jenazah ke perkurburan. Ketika mayat diusung untuk dikebumikan, mereka yang hadir hanya mampu berdiri sayu di sebalik suasana hening bersulam alunan ayat suci Al Quran.

Ramai diantara yang hadir, pada hari-hari biasa, mereka inilah yang sering berlonjak-lonjak kegirangan, lemas ditengelami keseronokkan dunia. Tetapi, sebaik sahaja diratapi jenazah yang terbujur kaku, segala kegembiraan duniawi lenyap buat sementara. Mereka tidak lagi terlonjak-lonjak kesukaan.

Mereka yang hadir pada upacara pengkebumian, sungguhpun ramai yang tidak mengenal si mati secara peribadi, namun semuanya tetap bersedih.

Beban kematian membuat semua diam terpaku. Hiba mencengkam sanubari hingga membuatkan mereka yang meratap mayat si mati mula untuk berfikir, “Sekarang, tibalah giliran aku.”

Itu memang benar.

Orang yang beriman harus sentiasa menanam kepercayaan ini di hati.

Mereka harus memikirkan bahawa, “Azrail akan datang kepadaku. Dalam keadaan yang begini, apakah aku telah bersedia untuk menghadapi Azrail? Di manakah kedudukan diriku? Adakah aku seorang yang beriman atau tidak? Apakah benih-benih iman telah bercambah dan menyubur di hati ini atau ianya sedang bertaburan di luar sana?”

Apabila kalimah Shahadat dilafazkan, benih keimanan mula beputik di dalam jiwa seorang insan. Tetapi apabila kita mula melakukan perkara-perkara terlarang yang ditegah oleh Allah swt serta Rasulnya sws, maka iman mula lenyap dari dalam hati.

Ini kerana Rasulullah (sws) pernah bersabda, “Iman dan kufur tidak boleh bertakhta di hati yang satu.”

Apabila timbul hasrat untuk melakukan kekufuran dan kamu teruskan dengan niat yang tidak baik itu, Iman akan lenyap dari dalam jiwa kamu. Jiwa yang kosong itu akan dipenuhi pula dengan kekufuran. Pada waktu itu, sheytan sedang menguasai dirimu. Sewaktu kamu sedang melakukan kesalahan itu, Iman mula berligar-ligar di atas kepala kamu.

Jika ianya merupakan satu kesalahan yang kecil dan kamu sendiri merasa kesal dengan perbuatan salah itu dan segera mengucapkan, ‘Astarghfirullah’, nescaya Iman akan kembali pulang ke tempat asalnya, di jiwa kamu.

Tetapi jika kesalahan itu adalah sesuatu yang besar, maka kamu harus segera berjumpa dengan  seseorang Alim untuk mendapatkan nasihat dan panduan serta mengaku bahawa, ‘Saya telah melakukuan satu kesalahan besar dan kini hidup saya terasa amat sempit dan tidak selesa.’

Ya,  sememangnya hidup kamu tidak akan lagi merasa selesa. Begitulah keadaan yang bakal dialami oleh ramai manusia di luar sana. Sekarang ini mereka semua sedang menikmati hidup yang aman dan tenang. Nantikan sahaja. Masanya akan tiba dimana kegundahan dan kegelisahan hati akan menghantui kehidupan seharian. Kamu tidak dapat mengelak ketentuan Allah swt.

Setiap manusia pasti tidak dapat lari dari ketentuan Allah swt. Dari masa ke masa, kita mungkin akan tersasar jauh dari landasan utama akibat mengejarkan sesuatu di sana sini. Namun, kuasa tetap berada di dalam gengaman Allah. Tanpa kebenaran-Nya, kita sendiri tidak akan dapat menghirup udara segar setiap hari.

‘Aku ingin hidup sesuka hatiku.’

Ya. Itulah yang dilakukan manusia pada zaman modern ini. Hidup mengikut sehendak hati sendiri. Pada hakikatnya, pengakuan begini adalah tidak benar sama sekali. Kamu tidak boleh hidup bebas menurut kehendak hati.

Mungkin secara lahiria, ia kelihatan begitu. Tetapi yang nyata, kita tidak diberi kebenaran untuk meneruskan hidup dengan cara begini. Ini kerana, lambat laun, ada sesuatu yang akan datang menangkap kita di penghujung jalan. Terdapat ‘pengawal-pengawal’ yang sedang menanti untuk menahan kita. Dan ‘pengawal-pengawal’ ini akan berkata,

‘Cukup! setakat di sini. Kamu tidak dibenarkan untuk melewati batas ini. Sekarang, tunjukkan kepada kami bekalan apa yang telah kamu bawa bersama.’

Jadi, siapakah orang-orang yang bijak pandai?

Mereka adalah golongan manusia yang sedang giat berusaha untuk mendapatkan cahaya keimanan.  Dan mereka berusaha sedaya upaya untuk melindungi Iman tersebut daripada dicemari kekotoran duniawi. Itulah ciri-ciri orang yang bijak. Orang yang sedang sibuk mempersiapkan bekalan akhirat.

Dan orang yang bijak harus memiliki tiga sifat penting, iaitu: Iman, kebijaksanaan dan kesopanan.

Sewaktu Adam (as)  diusir dari Syurga, Allah swt telah mengutuskan Jibreel (as) kepadanya dengan berkata, ‘Perintahkan Adam untuk memilih salah satu daripada tiga hadiah dari-Ku ini untuk dibawa turun ke dunia bersamanya.’

Jibreel(as) datang kepada Adam(as) dan berkata, ‘Allah swt telah menghulurkan pertolongan kepadamu.  Pilih salah satu daripada pemberian ini: Iman, Kebijaksanaan, kesopanan. Kamu akan memerlukannya sewaktu berada di dunia nanti. Kamu hanya boleh mengambil satu daripada tiga hadiah ini.’

Adam (as) meneliti pemberian itu dan berkata, ‘Aku memilih kebijaksanaan.’

Lantas Jibreel (as) berkata kepada Iman dan Kesopanan, ‘Kembali ke tempat asalmu.’

Iman menjawab, ‘ Tidak. Saya tidak boleh kembali ke situ.’

Jibreel (as) menerangkan, ‘Allah telah memerintahkan Adam untuk memilih hanya satu. Jadi kamu harus pulang.’

‘Ya. Itu memang benar. Tetapi Allah swt juga telah memerintahkan aku untuk sentiasa mendampingi kebijaksanaan. Di mana jua kebijaksanaan berada, di situlah aku harus berada. Aku tidak dibenarkan untuk berpisah darinya.’

Maka Jibreel (as) berkata kepada kesopanan, ‘Pergi. Kamu harus pergi.’

‘Tidak aku tidak boleh berbuat begitu. Aku telah diperintahkan Allah untuk sentiasa berada di sisi Iman dan kebijaksanaan. Di mana jua mereka berada, aku harus bersama. Aku tidak dibenarkan untuk berpisah dari mereka.’

Akhirnya Jibreel (as) berkata kepada Adam (as), ‘ Kamu ambil ketiga-tiga ini dan turunlah kamu ke dunia.’

Adam turun ke dunia ditemani Iman, kebijaksanaan dan kesopanan. Beliau mula mengerti maksud dan hikmah di sebalik kesalahan yang telah dilakukannya di Syurga. Beliau mengakui kelemahan dirinya dan mula menangis keinsafan sambil berdoa,

‘Ya Rabbi, akulah hamba-Mu yang lemah. Janganlah Engkau menutup pintu-Mu untukku kerana tiada lagi  tempat bagiku selain daripada berdiri di ambang pintumu, menangis, mengharapkan belas ikhsan dari Mu. Tiada daya lagi untuk aku melakukan apa-apa.  Tiada daya lagi untuk aku makan dan minum dan beredar dari tempat ini. Aku hanya mampu untuk menangis dan terus menangis. Kasihanilah aku, hamba-Mu yang lemah. Sesungguhnya Engkau Raja segala raja, Sultan segala sultan dan aku mohon keampunan dari Mu, Ya Rabbi.’

Tiga ratus tahun. Bukan sekadar tiga hari, tiga bulan atau tiga tahun.  Tiga ratus tahun lamanya Adam a.s menangis memohon keampunan.

Manusia kini, tidak sampai lima minit. Sebaik sahaja ditimpa musibah, hanya lima minit. Itulah masa yang diluangkan untuk berdoa dan merayu kepada Tuhannya.

‘Teruskan. Teruskan berdoa dan merayu kepada yang Maha Berkuasa.’

‘Ahhh….Aku putus asa. Aku tidak peduli lagi.’

Kamu berputus asa? Apa yang akan kamu lakukan? Berputus asa bermakna, ‘Sekarang, aku akan kembali ke jalan yang menuju ke neraka.’

Pada saat itu, Pintu neraka akan dibuka seluas-luasnya dan kamu akan meluru masuk ke dalamnya.

Usah berputus asa. Setiap kali kamu melepaskan tanggungjawab, kamu sedang memberi peluang besar bagi shaitan untuk datang mendampingimu.

Kebijaksanaan adalah sifat penting yang hanya dimiliki oleh umat beriman. Jika sifat ruhaniah yang mulia ini tidak digunakan dengan sebaiknya, maka manusia akan hilang daya pertimbangan akal. Akibatnya, mereka mula memperlihatkan sifat-sifat buruk yang akan membuat mereka hanyut dalam godaan dan keseronokkan dunia.

Manusia kini telah terjatuh ke lembah kegelapan kealpaan. Dunia, terutama sekali dunia Islam, tidak pernah menyaksikan situasi yang seburuk ini. Pada zaman-zaman sebelum ini, manusia tidak pernah berkelakuan seliar ini. Kejahatan manusia waktu dahulu ada batasannya. Khususnya  orang-orang timur yang kaya dengan budi bahasa dan adab kesopanan. Mereka tidak berkelakuan liar.

Tetapi lihatlah kini, nilai-nilai murni, terutama sekali di kalangan masyarakat Islam semakin merosot. Tanpa segan silu, mereka berlari-lari ke sana sini melakukan kemungkaran. Kemungkaran yang bermacam-macam.  Nilai-nilai keislaman dicampakkan sejauh yang mungkin. Mereka mula hidup dengan meniru cara-cara orang barat.

Tetapi orang-orang Barat kini telah mula sedar dan mereka sedang mencari jalan kebenaran.  Jadi gaya hidup manakah yang sedang ditiru oleh umat Islam hingga membawa kepada kesesatan yang nyata?

Ya, ketahuilah bahawa Ini adalah gaya hidup mereka yang menetap di negara-negara yang mengamalkan dasar kapitalisme. Sistem ekonomi kapitalis digerakkan oleh kuasa pasaran. Amalan ekonomi kapitalis inilah yang telah mendorong manusia untuk berulang-alik, menghabiskan wang, masa dan tenaga di pusat-pusat mebeli-belah.

Apa yang membuat kamu mensia-siakan waktu, bersembang di tepi-tepi jalanan? Apakah pula urusannya maka kamu harus menghabiskan masa di pusat-pusat membeli-belah dan gedung-gedung pasaraya? Apa yang kamu lakukan di sana?

Kamu sebenarnya tidak memerlukan sesuatu apapun dari tempat-tempat itu.Semuanya adalah alasan bagi kamu untuk merayau-rayau tanpa hala tujuan,  kerana kamu tidak boleh duduk diam di rumah.

Ya, itulah sebabnya.

‘Ahhh….alangkah bosannya duduk dirumah! Aku tidak boleh duduk diam. Aku sedang lemas.’

Lemas?

Kamu sedang kelemasan?

Jika benar kamu merasa lemas, pergilah menziarahi tanah perkuburan.  Perhatikan keadaan  sekeliling di sana. Mungkin ketenangan jiwa akan dapat dirasai.  Kunjungilah rumah-rumah sakit. Akan dapat kamu lihat sendiri betapa ramainya orang yang sedang menderita dan kelemasan.  Lihat sendiri penderitaan yang sedang mereka alami dan katakan pada ego kamu, ‘Si dia itu adalah aku. Pada suatu masa nanti, aku juga akan turut mengalami apa yang sedang dialaminya kini.’

Insafilah diri dan berusaha untuk mencari jalan pulang. Ini kerana manusia yang bijak akan sentiasa berwaspada supaya tidak terjerumus dalam kancah dosa dan kerosakan akhlak. Mereka pastikan agar diri mereka sentiasa berdiri teguh di atas jalan yang lurus dengan cara berpegang kuat pada ajaran (sunnah) Rasulullah sws.  Akhlak dan kesopanan diri akan sentiasa dijaga dan diperbaiki. Mereka tidak akan mencampuri urusan orang lain kerana kehidupan mereka sentiasa dipenuhi dengan usaha-usaha untuk mencari perlindungan dari kekusutan dan kekeliruan hidup pada abad ke21.

Wa min Allahu Taufiq

Bihurmatil Habib

Birhurmatil Fatiha

-Sheykh Abd Kerim Effendi

This entry was posted in OsmanliJB. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s