Salakan Anjing-Anjing

BismillahirRahmanirRahim

SALAKAN ANJING-ANJING

Dosa. Dosa apakah yang paling besar menurut Allah swt?

Perbuatan zina merupakan antara dosa besar yang dibenci oleh Allah swt. Bagi mereka, azab yang berat sedang menanti. Namun, dosa dari perbuatan zina itu adalah diantara si pezina dengan Tuhannya. Barangsiapa yang telah terperosok ke dalam kubangan dosa ini dan mereka ingin segera bertaubat dengan sebenar-benar taubat, nescaya Allah swt berkenan menerima taubatnya serta mengampuni dosa-dosa yang pernah dilakukan.

Terdapat pula beberapa perbuatan dosa yang membabitkan sesama manusia. Dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang terbabit itu memberi keampunan terhadap perbuatan sesama mereka. Jika kamu sedang menanggung dosa yang begini, maka ia adalah satu bebanan yang amat berat sekali.

Salah satu daripada perbuatan yang mengakibatkan dosa yang teramat berat ini ialah perbuatan mengumpat, menyebar fitnah, berbohong dan menipu.

Apakah yang pernah diperkatakan baginda Rasulullah (sws)?

“Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalanganku.”

Orang yang beriman tidak akan menipu dan mereka juga tidak akan tertipu.

Kita kini sedang mengharungi detik-detik sukar dalam menjalani kehidupan di dunia. Setiap pelusuk dunia diselubungi kegelapan jahiliah. Manusia yang hidup dalam kebingungan sedang meluru masuk ke api neraka. Dari arah timur, barat, selatan dan utara, mereka semua sedang berpusu-pusu ke arah itu. Shaitan yang berada di hadapan kejahilan manusia ini sedang memandu mereka ke destinasi terakhir.

Kami berteriak, ‘Selamatkan diri kamu! Selamatkan sesiapa juga yang berada bersamamu!’

Andai kata kebakaran berlaku di bangunan besar ini, saya harap ini tidak akan berlaku, tetapi seandainya ia berlaku, apakah tindakan kamu?

Tentu sekali, dengan serta merta kamu akan berkata, ‘Aku mesti menyelamatkan diri dari kebakaran ini.’

Jika kamu anggap diri itu gagah dan mampu untuk melakukan lebih dari itu, maka kamu akan berkata, ‘Ada baiknya aku menyelamatkan barang-barang berharga dari sini.’ Itulah tindakan kamu.

Hampir keseluruh umat manusia kini sedang menuju ke neraka. Shaitan yang meyaksikan kelekaan manusia ini sedang menari-nari di hadapan mereka. Manusia yang kian hanyut dibuai kesenangan dunia langsung tidak sedar bahawa bahaya besar sedang menanti di hadapan. Mereka harus segera bangun dari kelekaan dan berusaha untuk menyelamatkan diri sebelum terlambat.

Ketahuilah bahawa mengumpat, menyebar fitnah dan menipu adalah antara penyakit umat Islam masa kini. Bukan sekadar mengumpat tentang hal-hal kenalan sendiri, bahkan mereka juga berani memperkatakan sesuatu yang tidak benar tentang para awliya Allah dan Sheykh-sheykh yang dikenali dan juga tidak dikenali.

Setidak-tidaknya, orang-orang pada zaman dahulu amat prihatin terhadap kata-kata yang diucapkan terutama sekali jika ianya bersangkutan dengan seseorang sheykh. Mereka tidak seberani  orang sekarang.

Pertama sekali, mereka akan berkata, ‘Dia adalah seorang Sheykh. Sungguhpun dia bukan seorang sheykh yang hebat, tetapi  dia mungkin mempunyai pertalian yang baik dengan Allah swt. Mungkin dia mempunyai hubungan akrab dengan para Awliya Allah. Ada baiknya aku tidak mencampuri urusannya kerana aku tidak sanggup menanggung hukuman berat kelak.’

Malangnya, orang-orang pada zaman kini tidak lagi menitikberatkan  hal-hal demikian.  Ini adalah salah satu petanda yang menunjukkan bahawa keimanan mereka telah semakin pudar.  Iman kian lenyap dari dalam jiwa mereka.  Petanda yang cukup untuk mengatakan, ‘ Ya, kamu telah kehilangan Iman.’

Hari ini, kamu terlihat seseorang melakukan satu kesalahan. Mungkin pada keesokkan harinya, si pesalah itu telah insaf serta memohon ampun dan Allah swt menerima insafnya.  Apakah urusan kamu untuk membuka kesalahan orang itu?

Ini adalah satu perbuatan yang dimurkai Allah. Rasulullah sws dan para Awliya turut melarang kamu berbuat begitu.

Siapa yang menyokong dan mengizinkan kamu melakukannya?

Shaitan. Itu sudah pasti.

Manusia mungkin tidah tahu dan tidak ingin ambil tahu tentang bebanan berat yang perlu dipikul akibat daripada perbuatan yang hina ini.  Biar saya tekankan disini bahawa hukuman yang amat berat sedang menantikan mereka-mereka yang terlibat.

Khas buat kamu semua yang sedang asyik menabur fitnah dan mengumpat, dengarkan dengan baik  kata-kata ini.

Sekiranya apa yang dibicarakan tentang hal orang lain itu adalah benar, keizinan juga tidak diberikan kepada kamu untuk memperkatakan tentang hal tersebut. Ini kerana Allah swt telah berkata, ‘Sekiranya keaiban seseorang itu ditunjukkan kepada kamu, ia telah dikhususkan untuk penglihatan kamu seorang. Ambil pengajaran daripada apa yang dilihat dan terus beredar dari tempat kejadian itu.’

Hendaklah kamu menutup keaiban itu dan jangan mencampuri  urusan yang tiada kaitan dengan diri kamu. Jangan sekali-kali kamu memburukkan keadaan dengan menabur fitnah di merata tempat hingga menimbulkan kekeliruan.  Menimbulkan kekeliruan juga adalah di anatara perbuatan haram yang mendatangkan dosa besar.

Rasulullah sws pernah berkata, ‘ Jika pengumpat dan penfitnah itu adalah kaum lelaki, maka dosanya itu sama seperti dosa seorang lelaki yang sedang berzina dengan ibu kandungnya di hadapan Kaabah.’

Apa kamu senang mendengarkan ini? Fikirkan sendiri.

Rasulullah sws juga berkata, ‘Jika yang melakukan perbuatan tercela itu adalah seorang wanita, maka ia seumpama wanita itu sedang berzina dengan bapa kandungnya di hadapan kaabah.’

Kamu harus merasa takut. Sekarang, jiwa kamu harus bergetar ketakutan.  Sebagai orang-orang yang   mengakui diri mereka itu beriman, hati mereka harus merasa gentar mendengar kata-kata Rasulullah itu. Dan sekiranya saya, kamu atau sesiapa jua yang sedang melakukan kesalahan yang teramat besar ini, maka segeralah kita mengucapkan, ‘Astarghfirullah Ya Rabbi! Aku tidak akan melakukan perbuatan keji ini lagi. Astarghfirullah.’

Tetapi, jika kamu memandang remeh dengan hukum Allah ini dan teruskan juga dengan perlakuan buruk itu, masaAllah…Ohhhoo…kamu sama seperti  Abu Jahil.

Abu Jahil telah banyak menyebar fitnah tentang Rasulullah sws. Dia telah melakukan perkara keji ini dengan cara terang-terangan dan juga terselindung.  Sebanyak mana pun fitnah yang dibuat Abu Jahil, ia langsung tidak meninggikan martabatnya.  Malah, satu tempat khas telah dijanjikan untuknya di neraka yang paling rendah.

Apakah kedudukan Rasulullah sws terancam dengan hamburan kata-kata dusta dari Abu Jahil itu? Tidak. Semakin banyak fitnah yang ditaburkan ke atas diri baginda sws, semakin tinggi  pujian Allah swt  terhadap kekasihnya. Kedudukan Baginda sws di sisi Alalh swt semakin kukuh.

Begitulah keadaannya pada zaman dahulu, begitu juga keadaannya pada masa kini dan pada masa mendatang.

Hati orang Mukmin  adalah hati yang bersih. Mereka mentaati  Allah dan Rasul-Nya, serta  mematuhi perintah Shekh mereka.  Orang mukmin akan berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan buat dirinya agar terpelihara dari azab dan siksaan neraka. Mereka akan berusaha keras untuk melakukan yang terbaik  dalam menjalankan tugas-tugas bagi Sheykh mereka  agar dapat memberi  perlindungan kepada yang lain. Walaupun dengan hanya memberikan sesuatu pemberian atau juga dengan menghulurkan pertolongan, semua ini akan dilakukan dengan penuh kesungguhan.

Ya, dalam keadaan dunia yang serba kebingungan ini, dapat kita lihat berlakunya pertengkaran di sana sini. Terutama sekali di dalam Tariqat kita. Mereka sibuk sekali bertengkar untuk mempertikaikan siapa yang layak menjadi wakil, siapakah sheykh yang benar dan siapa pula sheykh yang palsu.  Akhirnya mereka membuat rumusan bahwa tariqat ini bergantung hanya kepada dua orang yang berkelayakan.

Fahamkan dahulu bahawa Tariqat ini bukan baru semalam ditubuhkan. Sejak dari zaman Rasulullah sws lagi ia telah mula bertapak dan berkembang terus hingga ke hari ini dan ke hari-hari mendatang.

Abu Bakar Siddiq (ra) telah mewarisi rahsia kerasulan dari Rasulullah (sws). Beliau pula dikelilingi oleh 124 000 para sahabat yang setiap seorang daripada mereka juga telah menerima rahsia masing-masing daripada Rasulullah sws.

Hazrat Ali (ra) tidak pernah berkata, “Ali adalah satu-satunya jalan masuk untuk menuju kepada Rasulullah sws atau Abu Bakar Siddiq (ra).” Beliau juga tidak pernah mengatakan, “ Yang itu adalah satu-satunya pintu masuk.”

Tidak.

Setiap daripada para sahabat memiliki rahsia tersendiri.  Begitu juga dengan setiap makhluk ciptaan Allah swt, mereka semua mempunyai rahsia tersendiri yang telah dikurniakan oleh yang Maha Esa.

Sebelum kewafatan Abu Bakar Siddiq (ra), beliau telah mencurahkan rahsia kerasulan yang diwarisinya itu ke tangan Salman-e-Farsi (ra). Sejurus itu berduyun-duyun ramainya orang telah mula mengenali dan menerima Islam. Ramai diantara mereka telah tampil kehadapan untuk berkhidmat untuk Islam, berkhidmat kepada tariqat dengan cara menyebarkan cahaya kebenaran ke seluruh dunia.

Usaha murni ini berterusan hingga ke saat ini di mana kesemua aliran Tariqat harus bergabung di bawah naungan sebuah Tariqat, iaitu Tariqat Naksibendi Hakkani.  Seluruh aliran Tariqat kini sedang menghala ke sebuah landasan utama. Tetapi malang sekali, perjalanan ini tersekat akibat daripada usaha beberapa pihak yang sedang cuba sedaya upaya  untuk memutuskan tali penghubung sesama Tariqat. Mereka berkata,           ‘gelaran wakil hanya kami beri kepada dua orang yang layak.’

Siapakah kamu untuk memberi gelaran?

Siapakah yang sebenarnya berhak untuk memberi gelaran?

Sheykh Mevlana?  Tentu sekali beliau berkelayakan kerana beliau adalah seorang Sultanul Awliya yang teragung.  Ini adalah satu kenyataan yang hakiki dan semua orang di luar sana tidak menyangkal akan kebenaran ini.

Sheykh Mevlana merupakan seorang awliya Allah yang mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah. Namun mereka mengatakan bahawa beliau hanya mampu untuk mengasuh dua orang ?

Hanya dua orang sebagai pintu masuk untuk menuju kepadanya? Sedangkan genggaman beliau telah merangkumi seluruh pelusuk dunia dari arah timur, barat, utara dan selatan.

Jadi apakah dapat diterima akal ini jika mereka mengatakan bahawa hanya dua orang yang layak untuk mewakili beliau?

Sudah tentu tidak.  Ternyata ini merupakan satu pengakuan ego. Itu sahaja. Bagi mereka yang membuat kenyataan sebegini, ketahuilah bahawa mereka itu sedang melayani ego masing-masing. Dan bagi mereka yang mengakui  kebenaran kata-kata ini, mereka juga sedang memberi khidmat kepada ego sendiri. Kepada pihak yang membenarkan pengakuan begini di war-warkan sambil berkata, ‘Akulah satu-satunya wakil…’ mereka juga turut memberikan khidmat paling baik kepada ego mereka.

Apa yang dikatakan oleh Grandsheykh dan Sheykh Mevlana dalam hal ini?

Biar saya jelaskan tentang kenyataan Sheykh Mevlana tentang soal ini.

Beliau berkata, malah telah berkali-kali beliau mengulangi  kenyataan ini di hadapan saya dan juga di khalayak ramai, ‘Jika kamu mampu untuk mengumpulkan empat puluh orang untuk mengikutimu, sungguhpun kamu berada jauh di hujung dunia dan kamu juga tidak pernah menemui saya secara peribadi tetapi hati kamu telah dapat menerima saya, maka kamu saya lantik sebagai wakil untuk kumpulan itu.

Jika mereka semua dapat menerima kamu dan kamu dapat menerima mereka, maka saya juga turut menerima setiap di antara kamu. Kamu adalah wakil saya.’

Apakah yang dimaksudkan dengan wakil dan siapa pula yang layak diberi gelaran wakil?

Yang pasti, seseorang wakil itu tidak seharusnya sibuk  ke sana ke mari untuk menyebar fitnah, mengumpat dan mencela orang lain. Wakil adalah mereka yang berusaha gigih untuk memberi khidmat terbaik kepada Sheykh mereka, kepada Rasulullah sws, kepada Allah swt dan kepada seluruh umat manusia. Itulah yang dimaksudkan dengan gelaran wakil.

Malah Allah swt telah memberi gelaran yang lebih tinggi kepada setiap manusia  ciptaan-Nya. Allah telah melantik manusia sebagai Khalifah-Nya di muka bumi. Apakah kamu menginginkan gelaran yang lebih tinggi dari itu?

Allah swt berkata, ‘Sesungguhnya aku telah memberikan penghormatan kepada kamu manusia untuk menjadi Khalifah di dunia.’

Manusia dijadikan Allah adalah untuk menjalankan peranannya sebagai hamba Allah, dan dalam masa yang sama menjadi khalifah-Nya untuk mentadbir dan membangunkan dunia ini mengikut perintah dan ajaran Allah dan Rasul-Nya. Malang sungguh, manusia tidak menghargai pemberian khas ini dan mereka langsung mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim.

Sebagai Khalifah, manusia diberikan mandat oleh Allah untuk menjadi “tuan” kepada semua makhluk Allah.  Segala ciptaan Allah di muka bumi ini telah diletakkan di bawah kuasa Insan-i Kamil (manusia) untuk mempermudahkan mereka menjalankan tugas sebagai khalifah yang baik.

InsyaAllah. Jika kamu faham akan tugas besar yang diamanah Allah kepada manusia di muka bumi ini maka kata-kata ini sudah cukup untuk menyedarkan diri kita semua.

Malangnya, masih ramai yang tidak mengerti. Justeru mereka lebih sibuk menghabiskan masa dengan menyebar fitnah serta menyerang pihak-pihak yang tidak bersalah.

Saya mengatakan ini kerana sudah terlalu banyak kami mendengarkan serangan yang bertalu-talu kepada pihak kami. Mereka sibuk menyerang, terutama sekali di lelaman web kami.

Saya dengarkan semua ini. Kami tidak membalas serangan-serangan itu.  Malah, kami tidak akan mensia-siakan masa dan tenaga untuk membalas perbuatan yang  hina itu.

Bagi yang sedang mengikuti Perjalanan Osmanli Naksibendi, mereka faham bahawa perjalanan ini bukan dibina atas dasar menyerang dan bertengkar sesama insan. Bukalah mulut kamu selebar yang mungkin, kami tetap tidak akan memberi sebarang balasan. Seranglah sehendak hati kamu.  Kami hanya akan meneruskan perjalanan suci ini.

Ingin saya menukil kata-kata dari seorang wali Allah suatu masa dahulu. Beliau berkata, “Anjing-anjing akan sentiasa menyalak, namun perjalanan Khafilah tetap berlalu. Adalah amat bodoh jika Khafilah itu menghentikan perjalanan hanya untuk membalas salakan anjing.”

Kesimpulannya ialah kita jangan menyalak kepada anjing-anjing.  Sememangnya tugas anjing adalah untuk menyalak. Manakala tugas seorang manusia yang bijak adalah untuk memerhatikan dan awas berjaga-jaga agar tidak diserang anjing ganas.  Walau apa jua keadaannya, perjalanan dan usaha murni harus diteruskan.

Semua manusia sedang menempuhi satu perjalanan hidup yang amat mencabar. Matlamat kita semua adalah untuk sampai ke penghujung jalan sebelum ketibaan Azrail. Di sepanjang perjalanan hidup ini, banyak tugas yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Sama ada tugas pada diri sendiri, tugas pada keluarga tercinta dan tugas pada masyarakat sekeliling.  Tidakkah kita merasa lega jika dapat menyelesaikan tugas-tugas itu dengan sempurna sebelum tiba di akhir jalan?

Ohhh,  jika kamu sedang menetap di Amerika, ketahuilah bahawa jumlah penduduk negara ini telah menjangkau sebanyak tiga ratus juta orang. Hulurkan bantuan kepada mereka sebanyak yang mungkin. Jangan kamu hanya sibuk bertengkar dan mencari keslahan saudara seagama sendiri.

Jangan kamu sibuk mengatakan, ‘Hanya satu Sheykh di Amerika.’

Hanya seorang sheykh di Amerika?

Bukan hanya satu, bahkan jika ratusan dan ribuan sheykh berada di negeri ini, ia masih tidak mencukupi. Siapa yang mengatakan ini?

Grandsheykh Abdullah Daghestani yang berkata.

Sewaktu persoalan ini sedang hangat dibicarakan, saya berada di situ.  Keadaan waktu itu sedang berkecamuk. Sekali lagi, mereka heboh mempertikaikan isu sheykh. Mereka berkata, ‘Hanya satu sheykh.  Seorang sheykh…’

Mendengarkan kebodohan ini, Grandsheykh bertanya, “Apa maksud kamu mengatakan ‘hanya satu sheykh’?”

Beliau menerangkan, ‘ Bukan satu, malah jika beribu sheykh sekalipun diwakilkan ke negara Amerika syarikat ini, ia masih tidak mencukupi.’

Ya. Ini hanya setakat di Amerika, belum lagi disentuh persoalan wakil ke seluruh dunia.

Begitulah hakikatnya, dan kamu harus menerima kebenaran ini. Setidak-tidaknya, kamu harus memahami bahawa terdapat sejumlah 124,000 para sahabi dan pemergian mereka telah digantikan pula dengan 124,000 para awliya Allah pada setiap masa. Fahamkan dan terimalah kebenaran ini.

‘Tidak!’ Ego manusia mengatakan, ‘Tidak. Segala-galanya adalah milikku. Aku inginkan itu. Aku inginkan ini. Aku inginkan semuanya.  Semua harus berada di dalam genggamanku.’

Allah sudah menentukan hak, tugas dan tanggungjawab masing-masing. Segala apa yang telah Allah tetapkan ke atas dirimu, nescaya kamu akan memilikinya. Tiada siapa yang dapat merampas pemberian dari yang Maha Esa. Begitu juga dengan apa yang telah Allah tetapkan untuk orang lain, kamu tidak akan dapat merampasnya dari orang itu.

Mari kita lihat pada prosedur yang diterapkan oleh Organisasi ketenteraan. Dalam sistem angkatan tentera, yang berkelayakan untuk menganugerahkan pingat kepada anggota tentera adalah Panglima angkatan tentera itu sendiri. Mereka yang lulus ujian akan diberi pingat masing-masing.

 Ketua angkatan akan memastikan siapa di antara para tentera itu yang telah berjaya menerima kenaikkan pangkat. Beliau yang menentukan tahap kenaikkan pangkat masing-masing akan berkata, ‘ Askar ini akan dianugerahkan tiga bintang. Askar itu, dua bintang…(dan seterusnya)….’

Semua ini telah ditetapkan oleh ketua pasukan berdasarkan prestasi dan pencapaian para askar tersebut. Sekiranya terdapat seseorang askar yang tidak berpuas hati dengan menerima hanya tiga bintang dan dia bertekad untuk merampas dari rakannya yang telah diberi empat bintang, perbuatannya ini tentu sekali tidak akan dibenarkan.

              

Dia tidak boleh bertindak begitu kerana setiap anugerah telah ditentukan oleh ketua pasukan dan disahkan oleh pegawai tertinggi pihak tentera. Jika dia berkeras juga untuk mendapatkan bintang yang lebih tinggi daripada apa yang telah diberi, maka dia harus mampu untuk memberi seribu satu sebab yang dapat menyokong tindakannya itu.

Ya. Begitulah pendekatan yang diambil Angkatan tentera dalam membuat penilaian terhadap anggota-anggota tentera mereka. Dan ya, kebanyakkan daripada cara-cara yang diterapkan dalam angkatan tentera itu hampir sama dengan perjalanan Tariqat. Ini adalah diantara sebab mengapa orang-orang Turki begitu senang untuk menyesuaikan diri dengan ajaran Tariqat. Ini kerana mereka semua telah menjalani latihan ketenteraan yang berdisiplin.

Tetapi zaman telah berubah. Di masa kini, akan kita dapati terlalu banyak kelemahan di kalangan manusia. Disebabkan kelemahan ini, kita tidah boleh lagi meneruskan perjalanan Tariqat dengan peraturan disiplin yang ketat. Namun usaha-usaha murni untuk menyebarkan kebenaran harus tetap dilaksanakan tetapi menerusi pendekatan yang berbeza.

Kelemahan ini telah menjadi penyebab utama yang mendorong semakin banyak ‘anjing-anjing’ untuk menyalak berterusan. Walaupun begitu, perjalanan ini harus diteruskan.

Pergiatkan lagi usaha kamu untuk menyebarkan kebenaran. Lakukan yang terbaik untuk lelaman web kami. Lakukan sesuatu. Keizinan telah diberi. Jika kamu ikhlas untuk menyebar, mengembang dan mempertahankan cahaya kebenaran kepada masayarakat umum, maka bukalah lelaman web dan sebarkan seluas yang mungkin. Berusaha untuk mendekati orang lain.  Kamu akan diberi ganjaran pahala yang besar disisi Allah swt.

InsyaAllah ar-Rahman, berkat daripada usaha yang berterusan ini, ia akan dapat menyedarkan orang ramai dari kelekaan. Mereka akan terjaga dan berkata, ‘Apa yang telah aku lakukan? Mengapa aku begitu tegar melakukan kemungkaran? Mengapa aku terlalu tunduk kepada kehendak ego? Aku harus memperbaiki diri ini.’

Dan mengikut niat masing-masing, Allah swt akan memberi petunjuk hidayat dan membuka jalan kepada hamba-Nya itu.

Awliya Allah sedang memerhatikan. Mereka sedang mengawasi setiap kegiatan, gerak-geri dan tingkah-laku kita. InsyaAllah ar-Rahman, kita akan diberi ganjaran yang setimpal dengan amalan kita.

Cukup sekadar ini buat renungan kita bersama. Bagi mereka yang ingin menyerang, teruskan dengan niat kamu itu. Kita tidak akan membalas.

Saya sendiri telah dimaklumkan bahawa terdapat percubaan daripada beberapa pihak yang menceroboh masuk ke dalam lelaman web kami dengan tujuan untuk mengintip, mengambil kata-kata, mencuri alamat email dan menyerang kami dengan kata-kata nista. Begitu mudah sekali bagi kami untuk menjejaki orang-orang itu dan menendang mereka keluar. Tetapi kita tidak akan melakukannya.

Kita tidak akan bertindak begitu. Malah kami mengalu-alukan kehadiran mereka ke lelaman kami selama yang mungkin hingga di satu hari nanti, dengan sendirinya mereka akan menarik diri keluar. Mereka akan diajar cara-cara beradab dari pihak kami kerana besar kemungkinan, mereka tidak diasuh dengan adab yang mulia dan amalan yang baik di tempat pengajian mereka itu. Maka mereka tidak kenal erti adab dan akhlak yang sempurna.

Kami juga mempersilakan mereka untuk hadir ke dergah kami untuk menyaksikan sendiri bagaimana kami menjalani kehidupan seharian dengan memberi keutamaan kepada nilai, etika, akhlak, adab yang mulia.

Usah gentar. Mereka tidak akan diserang. Mereka dipersilakan untuk makan, tidur, makan, tidur sehendak hati jika itu yang diinginkan.  Tetapi, hanya satu perkara. Mereka harus sedar bahawa mereka sedang tertakluk di bawah kuasa dan arahan.

Selamat datang bagi yang hadir.

Selamat tinggal kepada yang pergi.

Kata-kata ini adalah buat renungan kamu, saya dan semua yang membaca.

Wa min Allahu Taufiq

Bihurmatil Habib

Bihurmatil Fatiha

– Sheykh Abd Kerim Effendi

This entry was posted in OsmanliJB. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s