Wujudkah demokrasi dalam Islam? (bahagian II)

BismillahirRahmanirRahim

Wujudkah Demokrasi dalam Islam? (Bahagian II)

Setelah dilihat sendiri kepincangan sistem demokrasi, maka kini kamu fikirkan dengan mata hati yang sentiasa dilimpahi nur Ilahi dan bertanyalah pada diri sendiri sama ada Demokrasi ini wujud dalam Islam?

Sekarang, saya akan membawa kamu mengimbas kembali sejarah silam. Seperti yang telah saya nyatakan, sistem politik demokrasi berusia tidak lebih dari lima puluh tahun. Sebelum ini, anak-anak Adam (as) tidak pernah menyaksikan kebodohan yang teramat sangat. Di bawah sistem demokrasi ini, punca kuasa terakhir terletak di tangan rakyat.  Kuasa menggubal undang-undang, struktur kerajaan dan kuasa pemerintahan berada di tangan rakyat. Mereka inilah yang menentukan siapa yang akan memegang tampuk kuasa kerajaan.

Ini ibarat kamu memberi kebebasan kepada kambing-kambing untuk memilih siapakah gerangan pengembala yang mereka inginkan. Itulah yang sedang berlaku.

Seseorang pemimpin haruslah menampilkan ciri-ciri yang terbaik, samaada dari segi kebijaksanaan dan kematangan fikiran serta kemuliaan akhlak dan keperibadian. Beliau harus berada di kedudukan darjat yang tinggi dan terpuji.

Bagaimana mungkin dapat kamu melantik dan mengundi seseorang itu jika kamu sendiri tidak mengenali asal usul dan latar belakang dirinya? Kamu hanya akan berkata, ‘Dia adalah seseorang yang baik dan amat sesuai untuk dijadikan pemimpin kita.’

Adakah ini satu undian yang bijak?

Tidak. Tentu sekali tidak.

Memang sudah menjadi lumrah menjelang setiap pilihanraya bagi semua pencalon-pencalon untuk membuat kunjungan rumah ke rumah, bandar ke bandar, ke sini sana untuk mengambil hati dan sekaligus membeli undian orang ramai.  Begitu mudah bagi para ahli politik untuk memancing pengundi. Dengan mengedarkan risalah-risalah, surat, pelekat, poster dan menerusi ceramah-ceramah, mereka akan membentangkan hujah-hujah untuk menawan hati pengundi. Seterusnya mereka akan berkata, ‘Undilah kami.’

Apakah tujuan mereka  memasang bendera dan sepanduk,  berkumpul dan berarak sambil berteriak, ‘Undilah saya! Undilah saya! sepanjang 24 jam sehari selama tempoh kempen pilihanraya itu.

      

Mengapa harus begini caranya?

Apakah sistem Demokrasi kamu itu mampu untuk menjalankan tugas hanya sehari sepanjang empat tahun?

Dan dalam masa berkempen itu, mereka akan merayu dan berkata, ‘kamu semua adalah penting untukku. Undian kamu amat diperlukan.’

Apakah yang akan terjadi jika kamu tidak memberi undian yang diharapkan itu?

Mereka akan berkata, ‘Nantikan dan lihatlah apa yang akan aku lakukan jika undian itu tidak diberi kepadaku.’

Bukankah ini yang sedang berleluasa di merata negeri yang mengamalkan sistem politik demokrasi?

Akibat perasaan takut dan bimbang dengan masa depan yang tidak menentu, rakyat pergi membuang undi.

Ketahuilah bahawa cara begini tidak akan kekal bertahan dan ia mampu membawa kesan yang negatif kepada negara untuk jangka masa panjang.

Ini amat berbeza jika dibandingkan dengan sistem pentadbiran cara Islam yang telah mampu bertahan dan memberi kesan mendalam kepada dunia sepanjang 1400 tahun lamanya.

Institusi khalifah bermula dengan perlantikan Abu Bakar al-Siddiq yang menjadi pengganti Rasulullah sebagai ketua negara islam. Bagaimanakah pemilihan ini dibuat dan siapakah yang telah membuat pemilihan untuk melantik Abu Bakar sebagai khalifah?

Apa yang perlu ditekankan disini ialah terdapat beberapa orang-orang tertentu yang terlibat dalam membuat pemilihan ini. Proses pemilihan tidak melibatkan orang awam. Orang awam tidak pergi ke pusat mengundi untuk membuang undi bagi melantik ketua mereka. Tidak, perkara seperti ini tidak berlaku.

Untuk pengetahuan semua, pemimpin itu telahpun dipilih. Tatkala Rasulullah (sws) gering dan sedang tenat berbaring di atas ranjang, beliau telah berkata, ‘berikan saya sebatang pena dan kertas untuk saya menulis nama pengganti yang bakal mengambil alih tanggungjawab memimpin umat Islam ini dari saya.’

Pada waktu itu, penduduk Islam di Medina terdiri daripada golongan Muhajir dan Ansar. Diantara mereka, terdapat beberapa orang yang masih jahil tentang Islam dan terdapat pula mereka yang baru menganuti agama Islam. Lantas pemahaman sesetengah mereka tentang agama Allah ini masih belum begitu mendalam.

Ramai diantara mereka yang beranggapan bahawa Rasulullah sws akan melantik golongan Islam dari Mecca untuk menggantikan beliau dan terdapat pula desas-desus yang menyangkal kebenaran ini. Maka isu perlantikan pemimpin baru menjadi topik perbualan hangat di sana sini.

Apabila suasana kecoh itu sampai ke pengetahuan Rasulullah sws, dengan serta-merta beliau berkata, ‘Hentikan semua ini! Tidak usah ditulis nama itu. Di dalam kamar ini terdapat orang-orang arif dan mereka juga memiliki ilmu pengetahuan yang cukup mendalam. Mereka inilah yang akan memilih pemimpin yang akan meneruskan perjuangan murni ini.’

Dengan keizinan baginda Rasulullah sws, orang-orang yang dimaksudkan itu membuat pemilihan dan sebulat suara mereka mengatakan, ‘Inilah orang yang layak.’

Begitulah caranya. Mereka tidak pergi ke sekeliling kota untuk mengumumkan kepada orang ramai, ‘ ini adalah calon-calon kami  dan itu adalah calon-calon kamu.’ Tidak. Perkara seperti ini tidak pernah berlaku. Pemilihan hanya tertumpu kepada seorang calon yang amat sesuai, iaitu Abu Bakr Siddik (ra).

Terdapat seramai tujuh orang yang berada di kamar Rasulullah sws ketika itu.  Dan kesemua mereka telah bersetuju dengan memilih Abu Bakar (ra) sebagai ketua. Apakah sebabnya?

Ini adalah kerana mereka semua berkata, ‘kami semua telah menyaksikan sendiri bagaimana baginda Rasulullah (sws) telah menaruh kepercayaan tinggi terhadap sahabat akrabnya itu dan kami juga telah melihat bagaimana Rasulullah telah mencurahkan pelbagai ilmu dan rahsia ke dalam jiwa Abu Bakar (ra). Beliau adalah salah seorang yang paling hampir dengan Baginda sws dan merupakan salah seorang pelopor atau perintis dari kalangan para sahabat. Ini adalah satu petanda yang amat besar bahawa Abu Bakar adalah orang yang paling layak.’

Dengan sebulat suara, mereka semua menerima Abu Bakar Siddik (ra) sebagai Khalifah yang pertama dalam ketatanegaraan Islam.

Perlantikan Khalifah-khalifah yang seterusnya juga dilakukan dengan cara yang serupa.

Cara yang telah dinyatakan ini amat bertentangan dengan pengakuan mereka-mereka yang mengaku diri sebagai golongan bijak pandai masa kini. Pada hakikatnya mereka adalah golongan yang jahil dan bodoh.  Mereka telah berkata, ‘ Kaum Ansar telah menubuhkan sebuah parti, kaum Muhajir juga menubuhkan sebuah parti dan para Ahl-il Bayt turut membentuk sebuah lagi parti.’

Para Ahl-il Bayt, yang terdiri dari keluarga dan cucu-cucu Baginda Rasulullah sws, sibuk berkempen untuk pilihanraya?  Mereka berkempen dalam persaingan merebut jawatan?

Tentunya ini adalah sesuatu yang tidak munasabah dan tidak dapat diterima oleh akal fikiran yang waras.

Pengakuan sebegini merupakan fitnah besar yang dilemparkan terhadap para Ahl-il Bayt. Ibarat kamu sedang meludah ke arah mereka yang mempunyai kedudukan yang paling tinggi dan darjat yang paling mulia.

Sesungguhnya para Ahl-il Bayt merupakan calon yang terbaik bagi mengemudi kepimpinan Islam. Namun demikian, kita sendiri dapat melihat bagaimana Hazrat Hasan telah menarik diri dari perlantikan dengan berkata, ‘ Tidak. Muawiya (ra) adalah pemimpin yang kamu perlukan. Cara beliau memimpin adalah jauh lebih berkesan berbanding dengan cara ku yang terlalu menunjukkan rasa belas ikhsan. Pedang Muawiyah telah dihunus. Sebaik sahaja kamu terkeluar dari landasan, jangan diharapkan belas ikhsan dari Muawiyah. Beliau tidak akan teragak-agak menjatuhkan hukuman. Bagi yang telah melakukan kesalahan besar seperti penjenayah-penjenayah berat, usah diharapkan belas ikhsan darinya kerana beliau adalah seorang yang berpendirian tegas.’

Dengan ini, Hazrat Hasan sendiri telah menerima perlantikan Muawiya (ra) sebagai Khalifah. Inilah yang sebenarnya telah berlaku dan tiada siapa pun  yang boleh menyangkal kebenaran ini.

Siapakah yang telah menggantikan Abu Bakar (ra)  sebagai Khalifah?

Umar ibn al-Khattab (ra).

Dalam perlantikannya sebagai Khalifah, apakah kamu mendapati Umar (ra) menampilkan dirinya kehadapan dan berkata, ‘Aku adalah calon bagi jawatan Khalifah,’  dan seterusnya, kaum Muhajir dan Ansar menjawab, ‘Ya, kami akan mengundimu.’ Adakah situasi ini wujud pada waktu itu?

Sama sekali tidak demikian.

Sekali lagi, kita dapati kehadiran tujuh orang para Sahabat dari Shura yang kesemua diantara mereka berada di kedudukan yang sama tinggi. Apa yang perlu difahami tentang ertikata ‘kedudukan yang sama tinggi’ ialah kesemua diantara mereka memiliki tahap ketinggian ilmu yang setaraf. Jika terdapat salah seorang daripada mereka yang tersilap langkah, maka menjadi tanggungjawab yang lainnya untuk menegur, menasihati dan memperbaiki kesilapan itu.

Sebagai contoh, pernah sekali Umar (ra) membuat kesilapan. Para sahabat menegur, ‘Ya Umar, tahukah kamu bahawa dalam situasi ini, Rasulullah (sws) telah bertindak dengan cara begini dan begitu?’

Sebaik sahaja beliau mendengarkan ini, Umar(ra) menghentikan segala tindakannya itu. Beliau mulai memperbetulkan diri dan memperbaiki kesilapannya untuk kembali berdiri di garisan yang lurus dengan meluahkan rasa terimakasih kepada para sahabat yang telah memberi teguran.

Selang beberapa tahun, Khalifah Umar (ra) wafat. Kewafatan beliau disusuli oleh kemelut yang melanda pentadbiran. Sewaktu pemerintahan Umar (ra), terdapat beberapa orang yang telah dipengaruhi kuat oleh pemahaman keshaitanan demokrasi. Mereka telah melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran Khalifah Umar (ra).

Mereka mula berkomplot untuk menghapuskan Umar (ra). Seperti yang sering berlaku pada masa kini, di mana para pemimpin yang bersifat jujur dan berniat mulia telah dikhianati dan di bunuh dengan kejamnya. Begitu juga kekejaman yang dilakukan ke atas Khalifah Umar (ra). Beliau telah dibunuh oleh musuh dalam selimut dari golongan munafik.

Umar(ra) adalah seorang pentadbir yang amat cekap dan bijak serta banyak melaksanakan pembaharuan dalam pentadbiran negara Islam. Mereka yang terlibat dalam pembunuhan Umar (ra) merupakan golongan orang-orang yang terasa hidup mereka terkongkong akibat kawalan ketat Umar.  Sebagai seorang ketua yang bertanggungjawab, Umar mengawasi kuat pergerakan seluruh penduduk.

Beliau mempunyai ‘mata’ di merata kawasan. Akibat dari tindakannya ini, terdapat beberapa orang yang terasa kebebasan mereka dalam banyak perkara disekat. Akhirnya, mereka telah membuat keputusan untuk menamatkan riwayat Umar (ra).

Di saat-saat terakhirnya, Umar (ra) telah berkata, ‘ Uthman (ra)  adalah orang yang layak untuk menggantiku sebagai Kalifah. Hanya satu perkara yang aku bimbangkan, beliau terlalu akrab dengan kaum keluarganya. Begitu besar perasaan belas ikhsan beliau terhadap mereka hinggakan beliau tidak sedar bahawa diantara keluarganya itu, terdapat sebilangan besar yang tidak akan merasa teragak-agak untuk menamatkan riwayatnya. Namun demikian, aku tetap menyokong perlantikan beliau.’

Umar juga telah menasihati anaknya Abdullah, yang juga terdiri daripada para sahabi yang berdarjat mulia. Abdullah adalah diantara para sahabi yang amat layak untuk memegang jawatan sebagai Khalifah.

Maqam Abdullah ibn Umar (ra)

Abdullah ibn Umar mempunyai hubungan yang rapat dengan Baginda Rasulullah (sws). Beliau sentiasa mendampingi Baginda (sws) yang telah mecurahkan pelbagai ilmu dan rahsia kerasulan ke atas dirinya.

Akibat daripada keakraban ini, Abdullah telah berjaya meletakkan diri ke darjat tertinggi yang dimiliki oleh para Sahabi.

Malah, kedudukan beliau adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan kebanyakan orang yang lebih dewasa darinya. Ini adalah kerana sejak dari kecil lagi, beliau telah diasuh untuk sentiasa berada di atas jalan yang lurus. Beliau dikenali sebagai seorang yang jujur dan tidak pernah menyaksikan sebarang kejahatan.

Siapakah bapa yang telah memainkan peranan besar dalam mencorak keperibadian anak yang soleh ini?

Itulah Umar (ra). Sungguhpun beliau sedia maklum dengan akhlak mulia anaknya ini, namun beliau telah berpesan kepada anaknya, ‘Anakku, walaupun aku tahu bahawa kamu layak untuk dilantik sebagai Khalifah, namun usah diterima perlantikan itu. Jika kamu menerimanya atau kamu sendiri yang minta supaya dilantik, maka ketahuilah bahawa aku tidak akan memaafkan segala kesalahan kamu di hari kebangkitan kelak.’

Umar (ra) tahu bahawa Abdullah mempunyai harapan besar untuk dilantik sekiranya dia menampilkan diri ke hadapan. Namun telah berulang-kali beliau berpesan agar anaknya itu tidak akan bertindak begitu. Malah beliau juga telah berpesan agar sokongan diberikan kepada sesiapa sahaja yang menjadi pilihan Rasulullah (sws).’

Abdullah menuruti kata-kata bapanya itu dan beliau memilih Hazrat Osman (ra) sebagai khalifah. Dengan mendapat sokongan daripada empat orang para sahabi dikalangan tujuh ahli Shura, maka Hazrat Osman (ra) dilantik sebagai Kahlifah Islam yang ketiga.

Selepas Osman (ra), Ali (ra) menyusul sebagai pemimpin terakhir bagi pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin. Ini diikuti pula dengan pemerintahan Umawi yang memimpin kerajaan Islam untuk beberapa tahun.

Pemerintahan Umawi memperlihatkan beberapa perubahan dan keadaan ini dengan cepatnya menimbulkan banyak masalah. Keadaan diburukkan lagi dengan kesalahan-kesalahan yang dibuat secara terang-terangan oleh pihak pemimpin.

Baginda Rasulullah (sws) pernah mengatakan bahawa, ‘Jika seseorang Khalifah atau Pemimpin melakukan kesalahan dengan secara bersembunyian dan menyelindungi perbuatan dosanya itu daripada pengetahuan umum, maka bukan menjadi urusan kamu untuk pergi mengambil tahu dan menyiasat tentang perkara tersebut. Selagi beliau masih menjalankan tugas memerintah dengan baik, adil dan saksama berlandaskan perintah Allah dan Rasulullah (sws), maka adalah menjadi kewajipan bagi kamu semua untuk mematuhi beliau. Selagi beliau tidak melakukan dosa-dosa besar secara terang-terangan, kamu wajib untuk menuruti perintahnya.’

Kepada siapakah pesanan ini ditujukan?

Kepada para sahabi.

Baginda (sws) telah membicarakan tentang perkara ini kepada Abu Bakar Siddik (ra), Omar (ra), Osman (ra), Ali (ra) dan mereka semua yang hadir pada ketika itu. Rasulullah mengatakan, ‘Jika datang kepadamu seorang pemimpin yang berada dalam situasi begini, namun pemerintahan beliau masih kukuh berpegang kepada hukum Allah dan Rasulnya (sws), maka haruslah kamu mentaati kepimpinannya itu. Mengingkari perintahnya bererti menderhakai perintah Allah dan Rasulullah (sws), serta kamu akan menerima padah yang amat dashyat di akhirat nanti.’

Sekarang, dapat kita fahami bagaimana perlantikan seseorang Khalifah dijalankan. Dapat kita lihat juga bahawa perlantikan tidak dibuat dengan cara pengundian seperti yang dilakukan pada sistem demokrasi masa kini.

Dalam perlantikan seseorang Khalifah, para sahabi yang terdiri daripada tiga, lima, atau enam orang, semuanya akan sebulat suara menyetujui untuk melantik salah seorang yang lebih layak diantara mereka. Seperti yang berlaku pada perlantikan Abu Bakar (ra), mereka berkata, ‘Ya. Siapakah yang akan kami pilih?’

‘Abu Bakar Siddik (ra). Ini adalah pilihan yang tepat sekali. Beliau adalah Khalifah kami.’

Begitu caranya. Tepat dan ringkas.

Sebaik sahaja dilantik, Khalifah akan memberi ucapan, ‘Wahai manusia, taatilah aku selagi aku taat kepada Allah dan Rasulnya.

Sesiapa yang menderhaka akan menerima pembalasan di dunia dan juga di akhirat. Apabila aku durhaka kepada Allah dan Rasulnya, kamu tidak lagi wajib untuk mentaati ku. Namun demikian, adalah menjadi tanggungjawab kamu semua untuk memberi teguran dan amaran kepada ku. Jika kamu tidak melakukan ini, bererti kamu turut bersubahat dengan kesalahan itu dan kamu akan menerima hukuman yang setimpal di akhirat kelak.’

Hmmm…itulah ucapan setiap para Khalifah sebaik sahaja mereka menerima perlantikan sebagai peneraju dan pembela Umat Islam.

…….bersambung di bahagian III……..

Wa min Allahu Taufiq

Bihurmatil Habib

Bihurmatil Fatiha

– Sheykh Abd Kerim Effendi

This entry was posted in OsmanliJB. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s