Kunci ke Syurga (bahagian II)

BismillahirRahmanirRahim

Sohbet oleh Hoja Lokman Effendi                                                                                            Khalifah bagi Sheykh Abd Kerim El-Kibrisi  el-Rabbani

Kunci ke Syurga (bahagian II)

Apakah kita mengerti tentang kepentingan Syahadat sebagai pintu masuk dan intisari ajaran Islam dan sesungguhnya kalimah ini juga merupakan sebuah kesaksian yang sangat agung?  Atau kita hanya membiarkan hari-hari berlalu seperti biasa?

Saban hari, umat kita sibuk memburu dan mengejar keuntungan dunia karena amal-amal agama sudah tidak diperdulikan lagi. Tatkala mentari mula menyinar, mereka akan keluar bergegasan dari rumah masing-masing untuk meneruskan satu lagi kitaran hidup robotik yang membosankan, yang hanya cenderung memikirkan tentang soal-soal asas seperti makan dan minum, urusan tempat tinggal, dan segala unsur kepentingan kehidupan materialisme. Secara sedar atau tidak, Tuhan telah digantikan dengan dunia, dengan pangkat dan kuasa, dengan harta benda dan kekayaan, dengan wang ringgit, dengan nama dan glamour, dengan populariti, kemasyhuran dan sebagainya.

Maka mereka ini berada dalam kerugian dan sekiranya kita turut melakukan kebodohan yang serupa, menjadi hamba kepada dunia, maka kita akan mengalami kerugian yang berlipat ganda jika dibandingkan dengan mereka-mereka yang belum pernah menemui Sheykh Effendi, atau mereka yang tidak berada di jalan tarikat ini.

Kita akan termasuk dalam golongan yang berada dalam kerugian yang amat besar kerana kita tidak menjaga amanah yang telah diberikan kepada kita. Amanah yang menghimbau kita untuk menjaga dan memelihara Syahadat, untuk memelihara kesucian perjalanan tariqat ini, untuk memelihara kesucian agama Islam, dan untuk merebut kemulian dan keberkatan Ramadhan ini dengan duduk bertafakkur dan muhasabah diri.

Muhasabah ini bukan pada material atau perniagaan, untuk mengetahui untung dan rugi. Sebaliknya, ia bertujuan untuk mengetahui untung dan rugi seseorang insan pada usahanya mentaati Allah. Muhasabah diri untuk menggapai redha Ilahi.

buffet Ramadhan

Itulah yang seharusnya dilakukan pada bulan yang mulia ini dan bukan untuk kita sibuk memikirkan tentang persiapan menyediakan juadah berbuka.

Puasa bukanlah sekadar masa untuk menahan lapar dan dahaga. Tidak perlu bagi kamu untuk menjadi seorang muslim untuk menempuhi semua itu. Ramai juga orang-orang kafir di luar sana yang turut menahan diri dari makan dan minum sepanjang hari. Mereka menggelarkannya sebagai berdiet.

Seperti kata Sheykh Effendi, ‘ikat seekor haiwan dan biarkan ia kelaparan di satu sudut.’ Haiwan itu tidak berpuasa. Keadaan kita manusia harus berbeza dengan haiwan tersebut. Pada bulan yang suci ini, kita sedang merantai sifat haiwani dan sekaligus mengekang sifat tamak haloba dan nafsu buas manusia. Sifat haiwani ini bukan sekadar tertumpu pada makan, minum atau mengadakan hubungan. Tidak. Kita berada di Tariqat.  Kita harus melakukan lebih baik dari itu. Kita harus berusaha untuk membersihkan rohani kita dengan menanamkan perasaan kesabaran, kasih sayang, pemurah, berkata benar, ikhlas, disiplin, terhindar dari sifat tamak dan rakus. Kita harus mampu untuk menjaga panca indera dari perbuatan-perbuatan maksiat dan memusatkan pikiran dan perasaan untuk berzikir kepada Allah (Zikrullah).

Ketahuilah bahawa terdapat musuh yang tersembunyi di dalam diri setiap manusia.  dan kita harus berwaspada terhadap permainan musuh yang bertujuan untuk menjahanamkan kehidupan ummah, menjahanamkan kehidupan kami semua.

Adakah kita sedang berusaha keras membina benteng diri menentang musuh? Apakah kita fikir bahawa musuh itu akan menyerang dari luar? Tidak. Musuh itu berada di dalam diri kamu dan tidak berhenti-henti ia menyerang tanpa belas kasihan. Apakah persediaan yang telah kamu lakukan? Fikirkanlah. Fikir. Fikir bahawa inilah hakikat hidup kita.

Ibarat kamu memiliki sebuah rumah besar yang cantik seumpama mahligai. Kamu memasang pagar di keliling rumah dan melengkapi rumah itu dengan sistem keselamatan yang serba canggih untuk mengelakkan kemasukkan musuh dari luar.  Rumah kamu itu dihiasi dengan pelbagai perabot dan hiasan yang berharga. Suara  tawa anak-anak terdengar begitu riang menghiasi ruang rumah itu, tetapi pada masa yang sama, kamu sedari bahawa terdapat musuh yang sedang bersembunyi di dalam rumah itu.

Apakah perasaan kamu? Adakah kamu akan merasa tenang dan selesa berada di dalam rumah sebesar mahligai itu?

Katakanlah.

Apakah terdapat sesiapa di sini yang akan merasa selasa untuk terus menetap di rumah itu?

Maka begitulah keadaan kita manusia. Apakah kita akan mengatakan, ‘Oh saya telah pun mengucapkan Syahadat, saya telah mengambil beyat, saya telah melakukan bahagian saya, kini saya adalah seorang wali.’

MashaAllah, begitu ramai sekali manusia pada masa kini yang mengaku diri mereka sebagai wali, sebagai alim ulama, sebagai orang-orang yang bertauhid. Setiap di antara mereka itu adalah orang-orang yang memiliki kedudukan darjat yang tinggi dan terpuji. Maka disebabkan inilah dunia menjadi porak peranda di samping sarat dengan berbagai fitnah. Masyarakat menjadi tunggang langgang, institusi keluarga runtuh dan berpecah belah. Semuanya ini menjadikan kehidupan manusia seakan berada di neraka dunia. Wali-wali yang sebegitu! huh!!

Ya, keadaan begini amat menyedihkan sekali. Tetapi, itulah hakikat yang terpaksa ditelan.

Fahamkanlah bahawa Tandas itu adalah makam kita manusia. Sheykh Effendi kerap mengingatkan kita, ‘apabila kamu berada di dalam tandas, kamu duduk untuk membuang najis yang berada di dalam tubuh itu, setelah kamu menjamu diri dengan makanan yang enak dan lazat, yang memerlukan masa berjam-jam, berhari-hari, berbulan-bulan dan bertahun-tahun lamanya untuk menyediakan makanan itu–lihat sahaja pada biji kurma yang mengambil masa selama dua puluh tahun untuk menghasilkan biji-biji kurma – kamu ambil dan makan sebiji. Apakah yang akan terjadi pada buah kurma itu?

Adakah ia akan keluar  dari tubuh kamu dalam bentuk ketulan emas?

Adakah ia akan keluar sebagai sesuatu yang indah dan harum baunya?

Tidak.

Di dalam tubuh manusia, makanan yang indah itu telah menjalani satu proses penghadaman yang mengubahnya menjadi sesuatu yang amat menjijikan. Sesuatu, yang pada asalnya berbentuk indah, menghasilkan rasa dan bauan harum dan menyelerakan, kini telah berubah menjadi sesuatu yang begitu busuk, kotor dan menjijikan hingga binatang-binatang sendiri tidak ingin mendekatinya.

Fikirkanlah.

Ini berbeza keadaannya dengan Para Awliya Allah. Mereka adalah golongan yang telah dikhususkan oleh Allah dan diberi keutamaan, kelebihan dan ketinggian darjat. Pada setiap masa, apa jua yang di makan dan minum, akan menghasilkan haruman semerbak mawar dan kasturi. Inilah yang berlaku ke atas diri Baginda Rasulullah sws. Hanya haruman suci yang keluar dari tubuhnya.

Berfikirlah kita manusia akan hal ini. Fikirkanlah betapa kita harus melafazkan setinggi rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah swt yang maha berkuasa kerana limpah kurnia dan nikmat pemberian-Nya yang tiada batas.

Fikirkanlah juga betapa tubuh yang sering menjadi kebanggaan manusia, tubuh ciptaan Illahi ini telah mengubah sesuatu yang indah menjadi sesuatu yang amat menjijikan. Inilah makam kita yang sebenarnya, tidak lebih dari sebuah tandas yang kotor lagi hina.

Renungilah dan fikirkan hal ini. Nescaya dengan kesedaran ini, kamu akan dapat mengenali diri sendiri. Ini bukan merendah diri, ini hanya menerima kenyataan yang tidak bisa dibantah, kebenaran yang hakiki.

Apakah kamu ingin menjadi seorang Insan tawaduk yang sentiasa merendah diri?

Merendah diri mempunyai pengertian yang amat berbeza daripada keadaan yang telah disebutkan tadi. Merendah diri ialah apabila kamu telah melakukan segala-gala urusan dengan sebaik mungkin, jujur dan sempurna namun kamu dihadapkan dengan serangan fitnah dan tomah bertali arus yang datang dari pelbagai sudut. Sungguhpun dalam keadaan yang amat kusut itu, kamu masih mampu untuk terus tersenyum. Kamu mampu untuk menolak segala dakwaan dan berpaling muka ke arah lain tanpa sedikitpun menghiraukan kata-kata nista itu. Itulah sikap dan keperibadian sebenar seorang Sufi.

Ramai juga dikalangan manusia yang mengaku diri sebagai seorang Sufi. Eh, mereka semua masih terlalu mentah untuk memahami dan menghayati sifat-sifat para Sufi.

Kehidupan mereka tidak pernah lekang dari fitnah, tekanan dan ancaman musuh-musuh dalaman dan luaran Islam. Namun mereka masih terus tersenyum dan menelan segala kepahitan demi untuk meneruskan perjuangan Rasulullah sws, para Ahlul Bait dan para Sahabi e-kiram. Begitulah pahit getir perjalanan hidup mereka yang akan berterusan hingga ke liang lahat.

Ini merupakan sunnah Rasulullah (sws). 1400 tahun telah berlalu namun orang-orang kafir masih terus menyerang dan melempahkan fitnah dan kata-kata nista terhadap diri Baginda (sws).  Walau sebanyak mana sekalipun serangan dan ancaman ini dibuat, ia masih tidak akan mampu merubah realiti Rasulullah. Malah setiap detik dan saat yang berlalu,  kedudukan darjat baginda semakin ditingkatkan lagi, dan diberi kemuliaan yang lebih tinggi. Dan kami akan sentiasa mendoakan agar darjat Sheykh kami, Sheykh Abdul Kerim Effendi akan dipertingkat ke tahap yang lebih tinggi, pada setiap detik yang berlalu.

Amin.

Itulah yang dimaksudkan dengan berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah (sws). Sungguhpun kehidupan beliau dipenuhi hambatan dan rintangan namun semuanya itu dihadapi dengan tenang, sederhana dan penuh dengan adab kesopanan dan keimanan yang sejati.

Ini bukanlah satu perhimpunan sosial. Kesufian bukanlah satu perhimpunan sosial di mana orang ramai datang menghiasi diri dengan pakaian fesyen baru yang mengikut aliran semasa, indah serta mahal untuk mendapat perhatian orang ramai. Tidak! Ia bukanlah satu perhimpunan di mana para jamaat hanya sibuk dengan makan dan minum sambil bergaul sesama mereka dan apabila majlis selesai, mereka akan pulang ke rumah masing-masing dan meneruskan amalan kehidupan seperti sedia kala yang dipengaruhi  norma-norma kebaratan.

Tidak. Bukan begitu caranya. Perjalanan kesufian amat berat dan mencabar. Pelbagai keperitan dan kejerihan yang perlu dilalui. Pernah di suatu ketika dahulu, seseorang datang menemui Rasulullah (sws) dan berkata, ‘Ya Rasulullah,  aku amat mencintaimu.’

Dan Rasulullah (sws) menjawab, ‘Bersiap sedialah. Jika benar kamu mencintai aku, maka persiapkan diri untuk menghadapi kapayahan.’

Beliau tidak mengatakan, ‘jika kamu mencintaiku, akan ku buka pintu dunia ini seluasnya untukmu, akan ku bawa kamu ke setiap lapisan syurga dan akan ku sediakan segala kemudahan dan nikmat hidup buat dirimu.’

Tidak. Beliau tidak menjanjikan semua ini. Malah Rasulullah sws mengingatkan kita agar mempersiapkan diri untuk menghadapi segala cabaran dan bebanan yang mendatang. Ya,  ujian ini adalah untuk menguji sejauh mana pendirian cinta itu boleh bertahan. Apakah cinta itu akan tetap berdiri teguh walau dipukul badai, atau hanya mampu bertahan buat seketika atau separuh jalan sahaja. Kemudian pecah berkecai umpama kapal dipukul ombak ribut.

Ya, Cinta yang sejati ialah cinta yang tidak bertambah kerana kebaikan dan tidak berkurang kerana penderitaan. Ia dapat berdiri kukuh mengatasi segala masalah. Mereka yang memiliki cinta sejati itulah yang akan mampu berhadapan dengan pelbagai cabaran demi untuk mempertahankan cinta yang telah terbina.

WaminAllahu Taufiq

Bihurmatil Habib, Bihurmatil Fatiha

Sohbet oleh Hoja Lokman Effendi

27 July, 2012

This entry was posted in OsmanliJB. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s