Seyh Kami Dunia dan Akhirat

BismillahirRahmanirRahim

Seyh Kami Dunia dan Akhirat

Kaum Ad dan kaum Thamud adalah kaum berkuasa yang telah diberi nikmat kemewahan dan kemakmuran.  Mereka dari puak Ad ini adalah bangsa yang gagah perkasa dan mempunyai susuk tubuh yang tegap serta tenaga yang kuat dan mereka merupakan penungang-penungang kuda yang handal. Kekuatan kedua-dua kaum ini telah membentuk tamadun yang besar dan berpengaruh.

Namun disebalik limpahan rahmat Allah ini, mereka juga merupakan kaum yang paling derhaka di zaman itu. Mereka melawan hukum, perintah dan menderhakai Allah serta memperkecilkan Rasul mereka.

Maka Allah telah melenyapkan kedua-dua kaum ini berserta kota mereka yang hebat dengan mendatangkan gumpalan awan hitam yang membawa angin topan dan menurunkan badai pasir mengerikan yang telah membinasakan kaum yang kufr ini dengan serta merta.

Gumpalan awan hitam kini sedang menghampiri.

Justeru Rasulullah sws merasa amat bimbang setiap kali beliau memandang ke langit dan terlihat kepulan awan hitam sedang berarak menyelubungi langit. Beliau tidak pernah memikirkan bahawa ini adalah suatu kebetulan, atau ianya hanya satu lagi lumrah alam. Tidak. Tetapi beginilah keadaan manusia kini. Mereka memandang enting terhadap setiap kejadian-kejadian alam yang sedang berlaku di sana sini. Bagi mereka, semua yang berlaku ini adalah secara kebetulan.

Maka bermula dengan kelekaan yang kecil ini, kamu telah membuka ruang bagi sheytan menyelit masuk ke dalam diri kamu untuk melemparkan hasutannya ke dalam hati manusia. Tanpa disedari, satu per satu amalan kafir telah menjadi sebahagian dari hidup kamu. Orang-orang muslim kini begitu kagum dengan gaya hidup orang-orang kafir sehingga hendak meniru mereka dalam segala aspek kehidupan. Dan kamu juga akan berfikir seperti mereka yang akan berkata, ‘Ah, ramalan kaji cuaca menjangkakan bahawa tsunami akan melanda.’ Inilah ramalan manusia, bererti Allah tidak terlibat langsung dalam kejadian alam yang menimpa dunia.

Inilah antara konsep sekularisme dimana kerajaan atau entiti lain harus wujud secara terasing dari agama atau kepercayaan agama. Konsep yang manganjur manusia untuk tidak melibatkan Allah dalam kehidupan seharian kerana ia akan mengganggu perjalanan hidup mereka.

Itulah sistem yang berdiri di atas dasar sekularisme, satu fahaman yang memisahkan agama dari kehidupan ini di mana manusia adalah bebas dari asuhan agama dan ketetapan dari Yang Maha Kuasa. Sekularisme menentang sebarang pengaruh agama dan manusia bebas menentukan kepercayaan dan arah haluan hidupnya sendiri. Adapun pesanan-pesanan dari Sheykh kami itu hanya akan kami selitkan sedikit sebagai pedoman hidup. Tetapi hanya sedikit. Tidak berlebihan.

Kemelut ini jika dibiarkan berterusan maka akan terkikislah nilai-nilai agama bagi ummat ini dan dengan secara langsung, segala bentuk kesalahan dan kekufuran disertai dengan dosa-dosa yang pernah  dilakukan oleh kaum-kaum yang terdahulu; dari zaman Adam (AS) hingga ke zaman Rasulullah (sws), kesemuanya itu kini dilakukan oleh ummat di akhir zaman ini. Merangkumi kesemuanya.

Dan Seyh Effendi Hazretleri telah memberi amaran kepada kita bahawa segala bentuk azab dan siksaan yang pernah diturunkan kepada kaum ungkal terdahulu yang dimusnahkan, sudah tersedia dan sedang menanti untuk dihumbankan ke atas umat ini.

Disebabkan keadaan semasa yang berkecamuk itu maka kami telah mengasingkan diri untuk menikmati ketenangan hidup di pergunungan ini, untuk keluar dan membebaskan diri dari belenggu dunia yang tunggang tebalik.

Tidak perlu bagi kamu untuk menjadi seorang alim ulama atau menjadi seorang cendekiawan untuk memahamkan bahawa dunia ini sebenarnya adalah Jahannam. Bahkan orang-orang kafir dan golongan sekular juga tidak menafikan kebenaran ini.

Ternyata bahawa apa yang berada di luar sana adalah racun. Dari musik, ke makanan,  pakaian, dan segala-galanya telah dicemari oleh darah manusia.  Ya, sama ada kamu sedar atau tidak, dalam usaha memperolehi sesuatu yang kamu ingini, dengan secara langsung kamu telah merampas hak orang lain.

Usah kita lupakan hal ini. Usah kita biarkan ia berlarutan sambil berkata, ‘tidak mengapa.’

Tidak. Apakah tindakan kita?  Adakah kita sedang mengusahakan sesuatu ?

Tidak. Hanya memikirkan diri sendiri. Itu sahaja.

Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia ubah dengan tangan (kekuasaan)
sekiranya tidak mampu ubah dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu juga maka ubah
dengan hati, itulah selemah-lemah iman. Ini adalah perintah Allah swt.  Selemah-lemah iman adalah berusaha untuk merubah dengan hati, maka hendaklah kita menanamkan niat untuk menjauhi segala sesuatu yang dibenci oleh Allah dan haruslah kita berusaha untuk memperbaiki keadaan dengan memperbetulkan diri sendiri.

Dengan cara mengasingkan diri di kawasan pergunungan ini, kami sedang berusaha untuk memperbaiki diri masing-masing. Namun, usaha kami ini amat tidak disenangi oleh shaitan-shaitan.

Seyh Effendi telah menarik diri dari hingar bingar kehidupan kota untuk mengasingkan diri di perkampungan kecil ini sejak beberapa tahun lamanya.  Tetapi shaitan-shaitan, termasuk juga shaitan yang bertopengkan manusia dalam bentuk lelaki, wanita, Seyh, murid, golongan sekular dan bukan sekular, mereka semua tidak henti-henti menyerang beliau dengan serangan yang bertalu-talu.

Benar bukan?

Pelbagai cara telah mereka usahakan untuk menumpaskan beliau. Dan Seyh kami harus berhadapan dengan seribu satu macam serangan dalam satu masa. Dan pada waktu yang sama, beliau harus memikirkan tentang seribu satu macam ikhtiar. Untuk siapa? Untuk dirinya sendiri?

Tidak. Bukan untuk dirinya. Tetapi untuk kita. Untuk kita semua. Agar dapat diperkukuhkan akidah dan amalan agama kita. Agar kita dapat meneruskan hidup sebagai seorang yang beriman. Ya.

Kini beliau telah ghaib dari penglihatan mata kasar. Ini melambangkan detik permulaan bagi sebuah lembaran baru. Dan di lembaran ini, kitalah yang telah diberi amanah untuk meneruskan perjuangan murni. Usah diabaikan tanggungjawab ini.  Usah dibiarkan diri untuk terus berada dalam kelekaan.

Saya sendiri sedang memerhatikan betapa ramai yang kini sedang dalam kelekaan. Ini termasuklah mereka-mereka yang memenuhi saf-saf di hadapan.  Mengapa harus berada di saf paling hadapan jika kamu sedar bahawa diri itu sedang dalam kelekaan?

Kamu ibarat mayat hidup yang tidak sedar tentang apa jua yang sedang berlaku di sekeliling. Ini kerana kamu sedang leka dan khayal.

Mengapa harus berada di hadapan?

Berundur ke belakang.

Sekurang-kurangnya, kamu tidak akan dipersalahkan jika kamu berada di belakang sana. Tetapi jika kamu sedang tegap berdiri di hadapan tanpa menghiraukan segala tanggungjawab yang harus dipukul, maka pada ketika itu, kamu akan dibebankan dengan satu bebanan yang amat berat. Kamu akan disoal.

Alhamdulillah, Shukur Allah. Kita kini berada di dalam bulan Ramadan yang mulia. Ini bukan masa untuk terus leka dibuai mimpi.  Kamu harus berada dalam keadaan berjaga-jaga. Sedarkan diri dari lamunan untuk mengenangkan setiap perkara yang telah dilakukan pada masa silam, menginsafi kesalahan diri serta memperbaiki akhlak sebagai bekalan bagi menghadapi masa depan yang sudah pasti diisi dengan pelbagai cabaran dan rintangan. Kamu harus memikirkan tentang matlamat hidup.

Di dergah ini, apakah matlamat kami, apakah yang sedang diusahakan?

Seyh Effendi adalah seorang yang berwawasan.  Beliau sentiasa mempunyai matlamat bagi setiap saat yang berlalu dalam hidupnya.  Dan matlamat hidup beliau tidak pernah cenderung kepada mengejar kemewahan hidup kerana beliau redha hidup dalam keadaan berpada-pada atau sederhana. Matlamat beliau bukanlah sesuatu yang bersifat egoistik.  Tujuan hidup beliau tidak tertumpu kepada dunia dan bukan untuk kepentingan diri sendiri. Tujuannya adalah untuk Allah dan Rasul-Nya. Dan matlamat beliau amat besar. Bukan sesuatu yang kecil dan remeh-temeh.

Begitu juga dengan diri kita.  Kita harus mempunyai matlamat hidup. Tanamkan niat untuk menuju ke arah matlamat hidup kamu itu. Setiap hari yang berlalu, setiap minggu, setiap bulan, apakah yang perlu dikecapi? Itulah matlamat kamu.

Dalam hidup, kamu sentiasa mempunyai matlamat yang hendak kamu capai. Walau hanya untuk keluar berkerja bagi mengumpul wang untuk bersuka ria,  itu juga merupakan matlamat. Orang-orang beriman haru mempunyai matlamat yang lebih baik dari itu. Mereka harus lebih berwaspada dalam meniti kehidupan. Terutama sekali kehidupan pada masa kini yang penuh dengan permusuhan sesama manusia.

Mari kita perhatikan hadis Rasulullah (sws). Lihat dan pelajari  perjuangan hidup Baginda(sws). Perhatikan juga kehidupan Sultan-Sultan pada masa silam – kerana Seyh kami adalah Sultan kami dan lambat laun dunia akan mengenali siapa beliau sebenarnya. Beliau adalah Sultan kami. Seperti yang turut berlaku kepada para Sultan, para Rasul para Sahabi dan para khalifah, hidup mereka tidak pernah lekang dari fitnah dan tekanan yang tidak putus-putus.

Dari manakah datangnya fitnah-fitnah itu? Dari mana? Bagaimana ia boleh berlaku? Dan apakah cara untuk mencekalkan semangat dan tidak berputus asa untuk terus berdiri kukuh di jalan ini?

Beliau adalah Seyh kami. Bukankah kita telah memberi beyat kepadanya?

Bukankah kita telah mengatakan bahawa beliau adalah Seyh kami dunia dan akhirat? Dunia dan Akhirat? Huh?

Saya terkenang sebuah peristiwa yang berlaku satu ketika dahulu. Pada waktu itu, Hajah Meryem (isteri kepada seyh kami) telah mengajari saya sesuatu yang amat mendalam pengertiannya.  Beliau (Hajah Meryem) berada di sini, dan beliau menjadi saksi terhadap perkara yang bakal saya sebutkan ini.

Kali pertama saya menyertai Seyh kami ke London. Pada ketika itu, saya masih setahun jagung berada di Tarikat ini. Saya baru mengambil beyat lebih kurang dua minggu sebelum berangkat ke London. Jadi, saya masih terlalu mentah dalam perjalanan suci ini.

Beberapa minggu sebelum ke London, saya teringat satu peristiwa di mana kami semua sedang bersahur bersama-sama Seyh Effendi di kediaman salah seorang murid yang terletak di 39th Street. Beberapa perkara berlaku ke atas diri saya pada malam sebelumnya dan pada keesokan hari, Seyh turun untuk bersahur dan beliau memandang ke arah saya dengan wajahnya yang tersenyum. Beliau berkata, ‘suatu permulaan yang baru buat Lokman.’

Seminggu selepas kejadian itu, Seyh bertanya, ‘siapakah di antara kamu yang akan ke London?’

Telah menjadi kelaziman bagi Seyh kami untuk ke London pada sepuluh hari terakhir Ramadan. Dan beliau akan membawa sekumpulan murid-murid ke sana.

Eh, Alhamdulillah.  Di manakah murid-murid itu berada kini?

Tiada seorang pun diantara mereka yang masih lagi di sini. Walhal, pada waktu itu mereka telah meluahkan rasa cinta yang mendalam, dunia dan akhirat,  terhadap Seyh kami.

Namun, sebaik sahaja Seyh menyentuh ego mereka, dengan cepat mereka melatah dan berkata, ‘Apa!  Siapa kamu yang cuba untuk menyentuh ego kami! Siapa kamu!’

Begitulah keadannya. Terutama sekali jika mereka gagal mendapat asuhan dalam hal ini. Mereka semua tidak lagi berada di sini. Hmm.

Pada waktu itu, Seyh bertanya, ‘siapakah yang berhasrat untuk ke London?’

Dengan perlahan, saya mengangkat tangan.  Pada waktu itu, saya merupakan seorang mahasiswa di Universiti Columbia yang mempunya pelbagai impian dan cita-cita tinggi. Namun begitu, saya tidak pernah menyukai setiap apa yang berlaku dalam hidup ini.

Pernah saya berkata kepada Mustafa (sahabat karib yang juga salah seorang murid Seyh Effendi) bahawa saya tidak menyukai apa yang sedang saya lakukan ini. Saya merasa kurang selesa dan begitu terhimpit.  Mungkin terdapat hikmah disebalik apa yang sedang saya alami ketika itu. Dan Wallahi, akan saya tunjukkan kamu bukti bahwa saya telah mencatitkan bahawa sebab-sebab saya ke negeri ini adalah untuk mencari cahaya Kesufian.

Alhamdulillah,  Seyh Effendi telah hadirkan diri dan menarik kami keluar dari kancah kehidupan yang tidak menentu.

Dan beliau bertanya,  ‘siapa yang berniat untuk ke London?’

Saya mengangkat tangan.  Hanya saya seorang.

Beliau bertanya, ‘kamu akan ke sana?’

Saya berkata bahawa saya berhasrat untuk turut serta.  Maka beliau berkata, ‘persiapkan diri untuk berangkat.’ Maka kami pun bertolak ke London.

Malam pertama kami di sana adalah malam yang amat menakjubkan kerana pada waktu itu, buat pertama kalinya, saya dapat melihat Seyh Mevlana.  Dan perasaan ini bukan hanya khusus bagi diri saya seorang.

Malah, bagi mereka yang pernah melihat Seyh Mevlana,  itu adalah satu detik yang amat menakjubkan.

Dan masih teringat bahawa pada ketika itu, saya berkata kepada Hajjah Meryam, ‘saya merasa satu getaran hebat sedang menyelubungi jiwa ini.’ Suatu perasaan suci yang amat dashyat, yang dapat membinasakan diri ini. Kerana pada waktu itu kamu akan melihat pada diri ini sebagai tidak lebih dari insan kerdil yang diselubungi dosa dan dicemari kekotoran jiwa.

Namun Hajah Meryam berkata sewaktu kami berada di luar masjid, ‘Lokman. Harus kamu fahamkan bahawa sungguhpun Seyh Mevlana berada di sini dan beliau adalah Grandseyh kami, tetapi usah dilupakan bahawa kita mempunyai Seyh kita sendiri.’

Kerana terdapat ramai disana yang datang bersama seyh mereka, tetapi sebaik sahaja mereka melihat  Grandseyh, mereka berlumba-lumba, tanpa menghiraukan seyh mereka demi untuk mencium tangan seyh Mevlana. Mereka berebut-rebut sambil menolak sesama mereka termasuklah seyh mereka sendiri.

Seyh Effendi berkata, ‘di manakah keberkatannya? Di mana protokolnya?’

Saya berpegang kepada kata-kata tersebut dan memang benar,  kita semua harus berpegang kepada kata-kata ini kerana beliau adalah Seyh kami dunia dan akhirat.

Dan Alhamdulillah,  kami amat bersyukur kehadirat Allah swt kerana Dia telah menemukan kita, insan yang hina ini, dengan seseorang yang mempunyai kemuliaan dan kesucian nurani yang telah mengisi kekosongan jiwa ini dengan kesucian cinta Illahi.

InsyaAllah, kita akan bersatu kembali  dengan Seyh kami. Sememangnya itulah yang menjadi impian hidup kami kini; untuk menemuinya kembali dalam keadaan yang bersih dan lengkap dengan laporan-laporan baik atas segala usaha kami dalam meneruskan perjuangannya.

Kami sangat mengimpikan saat-saat bertemu denganya di mana beliau akan merasa bangga dengan ketabahan kami menempuh pahit-getir dan liku-liku hidup yang penuh cabaran dan onak duri.

Semoga kami tidak akan mudah kecundang dan hati ini tidak akan mudah berubah.Kerana terdapat ramai kini yang telah berubah hati.

Mereka juga mula merubah kata-kata Sheykh kami. Berhati-hatilah. Ini adalah amaran bagi kamu dan juga bagi diri saya sendiri.

Fatiha. Ameen.

Sohbet oleh Hoja Lokman Effendi

 July, 2012

This entry was posted in OsmanliJB. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s