Waris el-Enbiya – Berpegang teguh kepada Kebenaran

BismillahirRahmanirRahim

Berpegang teguh kepada Kebenaran

Untuk keamanan, kebahagiaan dan kedamaian hidup di dunia dan Akhirat, manusia perlukan seorang pembimbing, model atau contoh untuk diikuti. Maka atas dasar itu, dengan rahmat Allah swt, Dia telah mengutuskan nabi Muhammad sws sebagai Rasul-Nya di atas muka bumi ini 1400 tahun yang lampau.

Allah telah lengkapkan Rasul itu dengan sifat yang sempurna lahir dan batin. Beliau adalah hazir and nazir (hadir dan melihat), hidup terus dan sentiasa segar.

Rasulullah berada di dalam jiwa manusia. Kewujudan beliau  dapat dirasakan di mana-mana dan beliau juga telah meninggalkan  kita dua harta atau warisan yang tidak ternilai iaitu Al-Quran kalamullah dan Sunnah Al-Hadis.

Zaman sahabat telah tiada, zaman tabi’in telah tiada, zaman tabiut tabi’in dalam sekian generasi telah tiada. Namun Allah telah memberikan warisan kepada para ulama dan awliya sebagai pewaris para nabi. Diantara para awliya adalah Sheykh kami, SahibulSaif Sheykh Abdul Kerim al-Kibrisi al-Rabbani, yang mengikuti jejak langkah Rasulullah sws dalam memiliki nilai moral yang tinggi dan menjadikannya contoh utama dalam kehidupan ini.

Kini, beliau juga telah dihijabi dari alam fana ini tapi usah dilupakan bahawa mereka adalah hazir dan nazir. Mereka tetap hadir dan sentiasa memerhatikan. Itu sudah semestinya, kerana jika benar baginda Rasulullah sws telah wafat dan riwayat hidup baginda turut berakhir dengan kewafatannya itu, maka kita tidak bertanggungjawab. Kita tidak akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti, kerana kita tidak mengikut seorang Rasul yang telah mati. Tentu sekali tidak.

Allah swt akan bertanya di hari kebangkitan kelak apakah sebabnya maka kita tidak menuruti sunnah Rasulullah sws. Dan pada waktu itu kita berhak untuk mengatakan bahwa dia telah mati dan kita tidak mengenalinya. Jika itu benar, maka kita tidak akan dipertanggungjawabkan. Tetapi itu tidak benar. Rasulullah sws tidak mati.  Barangsiapa yang mengatakan demikian, maka mereka itulah yang telah mati. Hati mereka telah lama mati. Pengakuan sedemikian jelas menunjukkan bahawa mereka itu tidak mempunyai sebarang jalinan dengan baginda (sws).

Sesungguhnya Allah telah menciptakan segala bentuk ciptaan, termasuklah diri kamu dan saya, matahari dan bulan serta mengatur galaksi-galaksi, bintang-bintang, dan planet-planet di angkasaraya, dan pelbagai lagi ciptaan Allah swt yang tiada tandingannya, tiada tolok bandingnya, sama ada yang kamu tahu dan yang tidak kamu tahu, dan ciptaan-ciptaan ini kekal berterusan.

Semuanya ini diciptakan yang Maha Agung demi untuk kekasihNya; Muhammad al-Amin sws.

Maka adalah tidak mustahil jika Allah swt menyediakan untuk kekasihNya itu pewaris-pewaris untuk menjalankan dan meneruskan ajaran serta amalan-amalannya, membimbing umat manusia ke jalan Islam dan mengembangkan dakwah Islam ke seluruh penjuru dunia.

Antara matlamat para pewaris adalah untuk mewujudkan rasa cinta kepada Allah swt dengan cara menghidupkan Sunnah Rasulullah yang telah dianggap asing di tengah-tengah umat ini. Sesungguhnya ketaatan seorang muslim kepada syariat Allah dan kecintaannya dalam mencontohi sunnah Rasulullah sws, merupakan suatu bukti cintanya kepada Allah swt.

Alhamdulillah. Kami berada di atas pergunungan ini. Kami telah menarik diri dari pesona duniawi untuk meneruskan kehidupan berpandukan ajaran Rasulullah sws seperti yang pernah dinasihati Baginda (sws) kepada umatnya di akhir zaman yang berkata, ‘Wahai umatku, akan berlaku fitnah yang berleluasa di akhir zaman kelak. Maka hendaklah kamu menarik diri dari kekeliruan itu. Bawa bersama kamu beberapa ekor kambing untuk diternak dan berundur ke kawasan pergunungan, kawasan terpencil yang jauh dari hingar-bingar kehidupan manusia. Walaupun sedikit ilmu yang dimiliki, itu cukup buat kamu. Usah berlari ke hulu hilir untuk mengejarkan ilmu yang berlebihan. Gunakan sedikit ilmu yang ada untuk meneruskan kehidupan secara sederhana dan sejujurnya dan nantikan kemunculan Sahibul Zaman kerana saat-saat kemunculan beliau sudah terlalu hampir.’

Kita sekarang berada di ambang kemunculan Sahibul Zaman dan di saat ini juga, kita sedang berada di penghujung bagi akhir zaman, penghujung waktu dunia. Akhir zaman  adalah suatu masa yang diwarnai oleh kesusahan yang amat dashyat, zaman yang ditakluki oleh penindasan dan penzaliman yang bermaharajalela. Fitnah akan tersebar secara berleluasa yang merangkumi seluruh dunia dari negara-negara besar ke seluruh komuniti Islam ke kumpulan-kumpulan dakwah ke hubungan kekeluargaan dan orang perseorangan. Tiada siapa yang dapat terlepas dari kejahatan fitnah-fitnah.

Fitnah Dajjal adalah fitnah terbesar sepanjang perjalanan hidup manusia dan ia kini sedang tersebar luas. Akhir zaman ini adalah detik-detik kemuncak kapada penipuan Dajjal dan ramai yang telah termasuk didalam lingkungan fitnah itu. Ya, Dajjal akan muncul, tetapi sebelum kemunculan itu, dia telah mempersiapkan diri setiap kita untuk menyambut ketibaannya. Nilai-nilai Dajjal telah mendominasi segenap lini kehidupan ummat manusia dewasa ini.

Kita sering mendengar orang-orang berkata, ‘jika benar setan-setan telah dikunci pada bulan Ramadhan, mengapa pula terdapat ramai manusia yang beperangai liar seperti setan di sana sini pada bulan yang mulia ini?’

Manusia berkelakuan shaitan di dunia ini barangkali lebih banyak daripada manusia yang taat menjalankan kehidupan agamanya. Mereka lebih gemar menjalani kehidupan yang serba bebas, yang tunduk di bawah runtunan nafsu, naluri yang liar. Apakah sebabnya?

Jawapannya adalah jelas dan terang: shaitan telah berjaya menjadi raja yang menguasai alam manusia. Dia telah memberi asuhan yang terbaik kepada ego manusia untuk mengambil alih tugas-tugasnya sewaktu ketiadaannya. Ego telah diberi persiapan yang rapi untuk melakukan kemusnahan di sepanjang bulan ramadhan. Sebelum meninggalkan manusia, shaitan berpesan, ‘Aku mungkin telah tiada, heh, kini tiba giliran engkau untuk meneruskan tugas-tugas aku. Lakukannya dengan sebaik mungkin!’

Hari kemunculan bagi dajal yang terbesar semakin dekat. Walaupun belum muncul secara zahir, hasil kerjanya sudah luas disebarkan oleh kuncu-kuncu dajjal laknatullah.  Dajjal-dajjal kecil itu kini sedang sibuk mempersiapkan seluruh dunia dan umat manusia untuk menyambut kehadiran dajjal besar.

Fitnah dajjal kini telah meresap jauh ke dalam jiwa kaum muslimin sekarang. Di antara fitnah-fitnahnya ialah dajjal memiliki syurga dan neraka padahal hakikatnya syurga tersebut adalah neraka dan neraka itu adalah syurga. Saban hari, masyarakat Islam berbondong-bondong masuk ke dalam perangkap fitnah dajjal.

Dengan kejayaan memesongkan aqidah umat Islam sejagat, maka ini akan mempermudahkan lagi tugas dajjal besar apabila ia muncul kelak.

Bangkitlah wahai umat Muhammad yang telah lama tertidur dalam kelambu Jahiliyah. Jika kamu masih ingin terus dibuai mimpi, nescaya satu hari nanti, kamu akan melihat pada dajjal dan berkata, ‘Ya apa yang dikatakan oleh dajjal itu adalah benar. Kami mempercayai dan menyokong usaha kamu kerana kamu tidak akan pernah menghampakan permintaan kami. Kami patuh kepada arahan kamu.’

Apakah yang sedang dicari-cari oleh kaum muslimin masa kini? Apakah yang sedang kamu kejarkan?

Tepuk dada tanya selera. Jawapannya ada pada diri kita sendiri.

Apakah kamu sedang mencari jalan keredhaan Illahi demi menuju ke jalan Rasulullah sws?

Jika benar-benar ini yang sedang dicari, maka sudah pasti kita akan dapat menemuinya dengan berpegang erat serta mendampingi para pewaris baginda sws.

Berpegang teguh kepada pewaris Rasulullah sws bererti berpegang kepada para Wali Allah, berpegang kepada seorang Sheikh dan kamu akan berkata, ‘inilah wakil Rasulullah yang sedang aku cari-cari. Inilah orangnya. Kini aku telah menemuinya. Aku kini sedang bersamanya. Akan ku pegang teguh kepada kebenaran yang disampaikan beliau berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh Allah dan RasulNya.’

Wamina Allahu taufiq

Bihurmatil Habib, Bihurmatil Fatiha

Sohbet oleh Hoja Lokman Effendi

Ogos 2012

This entry was posted in OsmanliJB. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s