Memerangi Musuh Dalaman

BismillahirRahmanirRahim

Memerangi Musuh Dalaman

Ashadu an-la ilaha il Allah, ve Ashadu anna Muhammadan Abduh ve Rasuluhu. Salallahu Ta’ala Alayhi ve ala Alihi ve Sahbihi ve Sallim.

Rasulullah sws pernah menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud:

“Mahukah kamu Aku memberitahukan bahawa dasar (punca) segala urusan, tiangnya dan puncaknya?”

Para sahabi menjawab: “Ya! Wahai Rasulullah,”

lalu Baginda bersabda: “Dasar (punca) segala urusan adalah dua kalimah Syahadah dan tiangnya ialah sembahyang dan puncaknya ialah jihad”.

Maka jika seseorang hamba Allah memulakan harinya dengan melafazkan kalimah Syahadah dengan niat memperbaharui nilai iman dan Islam, memperbaharui janji-janjinya kepada maha Agung Allah swt, nescaya Allah tidak akan membiarkan harinya itu berlalu dalam kesempitan dan bahaya. Kerana seseorang yang melafazkan syahadah adalah seorang yang telah mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

Ungkapan dua kalimah syahadah merupakan dua susunan perkataan yang nilainya di sisi Allah dan orang-orang yang beriman adalah melebihi daripada nilai dunia dan segala isinya. Diriwayatkan daripada Nabi sws bahawa “Sekiranya ingin ditimbang nilai dua kalimah syahadah dengan segala isi dunia, nescaya timbangan yang membawa dua kalimah itulah yang terlebih berat”.

Mereka yang  mengucapkan kalimah tauhid ini telah memperbahrui iktikad diri dan sesungguhnya mereka sedang berada dalam keadaan suci. Dan seandainya malaikat maut datang di untuk mencabut nyawanya maka dia akan meninggalkan dunia ini dalam keadaan yang suci dari segala dosa dan perbuatan salah.

Itulah jaminan yang telah Allah swt dan Rasulnya sws berikan kepada sekian ummat manusia dan khabar gembira ini telah sampai ke pengetahuan kami berkat asuhan dan didikan dari Sheykh kami.

Jika seorang kafir yang hidup bergelumang dengan dosa dan sepanjang hidupnya tidak pernah kenal akan sujud merendahkan diri  kehadirat Illahi tetapi pada saat-saat terakhirnya, dia telah diberi sentuhan rahmat dari Allah swt, maka beliau akan meninggalkan dunia ini dalam keadaan yang beriman.

Mungkin di sepanjang hidup orang itu, dia telah melakukan sesuatu yang disenangi para Awliya Allah, para kekasih Allah dan perbuatannya itu turut disenangi oleh Penciptanya swt. Disebabkan itu, dia telah menemui jalan keluar dari kekufuran.

Dan ketahuilah bahawa pada masa kini, akan terdapat ramai diantara golongan kafir yang akan diberi pertolongan dan mendapatkan keselamatan kerana hati mereka telah terpaut dan perasaan cinta telah berputik terhadap para kekasih Allah.

Perasaan mawaddah dan rahmah ini dibina bukan atas sebarang sebab-sebab yang tertentu. Mungkin mereka hanya menyukai penampilan, raut wajah serta kata-kata hikmah dari Awliya Allah. Jiwa menjadi tenang dan aman ketika mendampingi para awliya dan akan terdetik di hati mereka untuk berkata, ‘dia adalah orang yang alim. Aku tidak tahu apa-apa tentang agama ini. Namun aku merasa begitu tenang sewaktu berada disisinya.  Aku adalah seorang yang daif  tentang agama, namun hati ini amat mengenali bahawa dia itu adalah seorang yang alim.’

Perasaan kasih sayang terhadap para Awliya akan memberi keselamatan kepada orang itu. Awliya Allah tidak akan membiarkan dirinya merana di saat menghadapi sakaratul maut sedangkan jauh di sudut hatinya terpendam perasaan cinta yang tulus dan ikhlas terhadap kekasih Allah swt.

Begitu mudah sekali bagi Awliya untuk menghulurkan sentuhan rahmat dari Illahi dan menariknya keluar dari  belenggu siksaan yang sedang dihadapi.

Seterusnya awliya Allah itu akan memberi pedoman dan bimbingan agar orang itu dapat menuju ke arah keselamatan. Lidah dan hati yang dahulunya keras dan sempit akan dilembutkan agar mudah untuk melafazkan kalimah, Ashadu an-la ilaha il Allah, ve Ashadu anna Muhammadan Abduh ve Rasuluhu.

Begitu mudah untuk para Awliya melakukannya.

Namun demikian, yang amat menyedihkan sekali ialah apabila kita melihat sendiri betapa ramai dikalangan kaum muslim yang tidak dapat menerima pertolongan yang serupa daripada para Awliya Allah. Bukan sahaja dari golongan muslim, malah ada juga diantara mereka yang bergelar murid, yang mengikuti sheykh-sheykh tertentu. Lebih menyedihkan lagi ialah mereka juga turut berada dibawah naungan Sultanul Evliya. Namun mereka tidak dapat dibantu kerana menaruh perasaan syak wasangka terhadap kekasih Allah, kekasih Rasulullah sws.

Tanpa sebarang sebab, mereka mempunyai pandangan serong dan memandang rendah terhadap awliya Allah.

Mereka telah mengizinkan diri untuk dihanyuti dalam gejala fitnah. Tanpa sebarang penyiasatan, tanpa menggunakan kebijaksanaan untuk membuat penilaian  yang waras, mereka telah membenarkan diri dikuasai ego. Dengan serta merta, mereka membuat keputusan untuk membenci dan menyimpan prasangka buruk terhadap kekasih-kekasih Allah itu.

Kemungkinan besar, orang-orang ini akan mendapati diri mereka dalam keadaan sakaratul maut yang amat tersiksa. Dan jika mereka berhadapan dengan keperitan sewaktu menghadapi maut, maka di kubur dan di hari perhitungan kelak, Allah u Alem.

Ya. Terdapat orang-orang  yang bersifat sedemikian. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman -dalam hadits Qudsi: “Barangsiapa memusuhi kekasih-Ku, maka sungguh Aku menyatakan perang dengannya.”

Begitulah hebatnya amaran Allah swt kepada umat manusia yang cuba untuk memusuhi para kekasih-Nya.

Sama ada kita mempercayainya atau tidak, inilah hakikat yang harus ditelan. Untuk kita menyatakan perang terhadap Allah adalah amat berbeza degan Allah sendiri yang mengatakan, ‘jika kamu menyentuh yang satu itu, yang Aku kasihi, maka Aku memberitahu kepadanya bahawa dia akan Aku perangi.’

Ya. Allah mengisytiharkan peperangan ke atas diri kita.

Di dalam diri manusia terdapat satu ciptaan Allah yang sifatnya adalah lebih buruk dari sheytan, lebih dashyat dari Firaun dan lebih kejam dari Namrud.  Ciptaan ini tidak hanya tegar untuk memerangi kekashi-kekasih Allah dan para Rasul Allah, malah ia juga berani untuk menyatakan perang ke atas Maha Penciptanya, Allah swt.

Ya, itulah Ego manusia. Ego adalah penyakit paling besar di hati manusia. Ego yang tidak kenal erti penat, tidak kenal erti kalah, tidak kenal erti rehat, berada di dalam diri kamu dan juga saya. Sehari suntuk, sepanjang masa,  Ego akan berada dalam keadaan awas dan berjaga-jaga dan ia tidak akan melepaskan sebarang peluang untuk menjerat manusia masuk ke dalam perangkap-perangkapnya. Manusia yang leka akan terjerumus ke dalam perangkap durjananya. Keadaan begini akan berterusan hingga ke liang lahad, hingga ke hari kebangkitan. Ego tidak akan pernah meninggalkan kita keseorangan.

Alhamdulillah, kami mengucap syukur yang tidak terhingga kepada Allah swt kerana telah dipertemukan dengan Sheykh kami. Dengan berpegang teguh kepada ajaran dan sunnah Rasulullah sws, beliau telah memberi bimbingan dan dorongan kuat di sepanjang usaha kami untuk memperkukuhkan iman dan memperbaiki akhlak diri agar tidak termasuk perangkap musuh yang amat dashyat. Musuh yang berada di dalam diri manusia.

Di dalam. Musuh tidak menanti di luar. Andaikata musuh itu berada di luar, maka adalah mudah bagi kita untuk melihat dan membina benteng pertahanan,  memasang perangkap dan penghadang-penghadang untuk menyekat kemasukan musuh.

Memang benar, amalan solat, berpuasa, berzikir dan menunaikan haji adalah rukun Islam yang didirikan atas dasar memperkukuhkan benteng pertahanan diri.  Tetapi, musuh itu kini berada di dalam diri kita. Dan ego itu adalah lebih kejam , lebih dashyat, lebih merbahaya dari kejahatan sheytan, Firaun dan Namrud. Maka bagi menghadapi kekejaman musuh yang sehebat ini, kita memerlukan Rasulullah sws.

Hanya Rasulullah sws yang mampu untuk melatih dan melengkapkan diri kita dengan persiapan-persiapan menentang musuh yang kejam.

Yang paling utama, Baginda akan melatih diri ini untuk menjadi lebih prihatin terhadap kehadiran musuh yang telah sekian lama bertakhta di dalam diri ini. Ramai yang tidak sedar bahawa diri itu telah berada di bawah kawalan musuh yang kian bermaharajalela. Terutama sekali bagi mereka yang menetap di daerah barat ini.

Di daerah ini, manusia telah diberi pendedahan yang luas tentang peri pentingnya ego dalam mencorak keperibadian diri. Istilah-istilah yang serba canggih telah diperkenalkan, antaranya ialah ‘SuperEgo,’ ‘Ego,’ ‘Id’, dan bermacam lagi. Semua ini hanya untuk menimbulkan kekeliruan.

Mereka mengambil sesuatu dari Islam, merubah dan memperbaharuinya untuk dijadikan wadah untuk menggarap impian duniawi semata.

Tugas dan tanggungjawab besar mengekang segala ego telah diberikan kepada Rasul-rasul, kepada para pewaris Rasul dan para kekasih Allah. Sheykh-sheykh kami adalah diantara para kekasih Allah yang telah ditugaskan untuk memikul amanat tanggung jawab yang paling besar ini.

Mereka telah ditugaskan untuk mengasuh dan mendidik kita untuk mengenali serta memahami ego ciptaan Allah swt. Ego tidak pernah lekang menipu manusia dengan tujuan untuk mengheret kita ke neraka jahannam. Ego akan terus memperdayai diri manusia agar kita akan bersekutu, bukan dengan sahabat dan kekasih Allah tetapi dengan sahabat sheytan. Dengan sheytan.

Sememangnya ini adalah tugas yang amat besar dan mencabar.  Tidak ramai calon yang telah dilantik Allah swt untuk menjalankan tugas ini. Tidak ramai. Di antara berbilion-bilion manusia dari zaman nabi Adam a.s. hingga ke zaman Rasulullah sws, hanya seratus dua puluh empat ribu para Nabi dan sebilangan kecil diantara para pewaris mereka yang telah diberi amanah ini.

Dan di dalam perjalanan Tarikat, di penghujung masa bagi akhir zaman, di zaman jahiliyya yang kedua, di zaman umat Rasulullah sws, seribu empat ratus tahun lamanya, penghormatan ini telah diberikan kepada Tarikat Naqshibendi,  aliran kesufian yang terunggul.

Di mana Sheykh kami telah berkata, ‘akhir perjalanan mereka adalah permulaan bagi perjalanan kami. Di mana Tarikat lain berakhir, di situlah Tarikat kami bermula.’

Maka tamatkan pengajian kamu dari kesemua empat puluh aliran Tarikat itu, dan seterusnya hadirkan diri kamu untuk memulakan satu perjalanan di Tarikat Naqshibendi.

Ya. Tarikat Naqshibendi. Dan di masa kini adalah Tarikat Naqshibendi Haqqani Osmanli, perjalanan lurus yang memberi tumpuan dalam melatih ego diri , di mana Sheykh kami sentiasa berdoa, ‘‘ya Rabbi, jangan Kau biarkan diri ini diperdayai oleh ego walau hanya dalam sekelip mata sekalipun.’

Begitulah beratnya tugas ini. Kamu tidak akan mendapatinya di tempat-tempat pengajian yang lagi. Ia khusus diberikan kepada aliran kesufian terunggul, Tarikat Naqshibendi Haqqani Osmanli.

Wamina Allahu taufiq

Bihurmatil Habib, Bihurmatil Fatiha

Sohbet oleh Hoja Lokman Effendi

16 Ogos 2012

This entry was posted in OsmanliJB. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s