Kebenaran yang Haqq dari Allah swt

BismillahirRahmanirRahim

Soalan: Banyak isu-isu yang telah timbul dan banyak lagi yang sedang dipertikaikan tentang filem, ‘The Passion of Christ’ yang ditayangkan di pawagam baru-baru ini. Saya sendiri ingin tahu tentang versi asalnya. Apakah sebenarnya yang telah berlaku ke atas diri Nabi Isa (a.s)?

Meded Ya Sayyidi, Ya Sultan Evliya, Mevlana Sheykh Nazim al-Hakkani, Meded.

Apakah yang telah berlaku ke atas Nabi Isa (alayhi salam)?

Di sepanjang dua ribu tahun ini, manusia telah semakin diperbodohkan oleh ego mereka sendiri. Mereka  telah memberi sokongan penuh kepada ego itu dan sekaligus menjadi sekutu dengan sheytan. Tidak terkecuali adalah golongan manusia yang jahil dan buta dalam mengejari kebodohan ini. Mereka telah membenarkan diri untuk mempercayai sesuatu yang langsung tidak wujud.

Allah swt. telah menganugerahkan akal fikiran kepada manusia supaya manusia berusaha mencari rahsia-rahsia yang terdapat di bumi untuk dimanfaatkan dalam kehidupan harian. Akal adalah tempat bersemadinya kearifan dan kebijaksanaan (hikmah). Akal adalah merupakan kurniaan Allah swt. yang sangat berharga kepada hambaNya.

Malangnya, manusia tidak tahu untuk mensyukuri dan menghargai anugerah Allah yang cukup bernilai itu dan mereka langsung tidak mengambil kesempatan dari pemberian istimewa itu untuk mencari kebenaran, mencari kebenaran yang hakiki kerana kebenaran itu pasti mengatasi kebatilan.

Keputusan-keputusan dan tindakan-tindakan yang dibuat oleh manusia ada kaitan dengan kemahiran berfikir. Dengan membuat penilaian berdasarkan kebijaksanaan, manusia akan mampu membezakan yang haqq dan yang batil. Mereka tidak akan mudah mempercayai kepalsuan yang sedang dilaung-laungkan kepada dunia.

Apakah yang menyebabkan manusia begitu mudah mempercayai kepalsuan ini?

Tentu sekali nilai ketakwaan yang masih kurang dan maka itu,  akal akan lebih condong menuruti ego.

Apakah sebabnya maka Nabi Isa (a.s) telah diutus Allah swt di tengah-tengah kaum materialis yang mengingkari ruh dan hari kebangkitan?

Pertama sekali, sebelum diteruskan, harus kamu sedia maklum bahawa terdapat begitu banyak perbezaan pendapat dikalangan ummat manusia mengenai pelbagai isu-isu penting melibatkan kehidupan di dunia ini. Percanggahan ini telah wujud dari sejak zaman Nabi Adam dan ia akan berterusan hingga ke hari kebangkitan.

Antara persoalan yang sering dipertikaikan ialah tentang asal kejadian manusia dan tentang ciptaan Adam (a.s).   Satu pihak menyakini bahwa Allah, dengan kuasa dan zat kebesaranNya telah mencipta Adam (a.s) dan terdapat  juga pihak-pihak yang berpendapat bahawa manusia yang ada sekarang ini merupakan hasil evolusi dari monyet besar selama bertahun-tahun dan telah mencapai bentuk yang paling sempurna.

Teori evolusi manusia-monyet ini dipelopori oleh Darwin, shaitan-Darwin. Tetapi kita sebagai manusia yang beriman tetap mengatakan bahwa manusia itu berasal dari Adam dan Adam itu dicipta Allah swt dari tanah.

Pemahaman yang berbeda ini telah menimbulkan perbalahan dan perpecahan dikalangan umat manusia.

Begitu juga dengan riwayat  Nabi Isa (a.s) yang telah mencetuskan perbezaan tafsiran dan pendapat. Soal kelahiran beliau yang luar biasa itu sendiri tidak putus-putus dipersoalkan, malah Tafsir tentang kewafatan Nabi Isa turut menimbulkan kontroversi. Bagi umat Islam,  al-Quran dan terdapat banyak hadiths shahih yang menjelaskan kepada kita bahwa Nabi Isa belum wafat. Namun demikian, akan sentiasa terdapat golongan mereka yang tidak akan henti mengutarakan buah fikiran tersendiri tentang apa yang mereka fikir berlaku ke atas Nabi Isa (a.s).

Bagaimana untuk kita memahami apakah yang sebenarnya berlaku ke atas Nabi Isa?

Dengan menggunakan kebijaksanaan akal untuk duduk bertafakur, merenung dan memikirkan secara dalam dan berkata  kepada diri sendiri, ‘Mustahil bagi kejadian itu untuk berlaku.’ Tetapi, sebelum melakukan ini, kita memerlukan sokongan. Sokongan dari  ayat-ayat al-Quran yang akan dapat memberi penjelasan yang amat terperinci tentang rentetan peristiwa yang berlaku ke atas Nabi Isa a.s.

Mengapa harus kita berpegang kepada al-Quran?

Harus kita fahamkan dahulu rahsia dan kelebihan yang tersirat. Kita bukanlah orang-orang yang bodoh. Kita adalah manusia yang telah diberi kebijaksanaan dan kepintaran akal.  Maka dengan anugerah istimewa ini harus kita fahami apakah yang terkandung di dalam al-Quran itu? Apakah  latar belakang turunnya ayat Al Quran? Adakah terdapat sesiapa yang berani mempersoalkan kesucian dan kebenaran  kitab Allah ini?

Quran pertama

Al-Quran tidak diturunkan secara terus menerus dari langit ibarat hujan yang turun mencurah membasahi bumi. Tidak . Seperti yang kita ketahui, al-Quran diturunkan secara berperingkat kepada Nabi melalui Jibril a.s. Penurunannya juga mengikut sebab atau perkara-perkara yang berlaku kepada Nabi Muhammad sws.

Baginda akan berkata, ‘Ini adalah wahyu yang telah diturunkan di mana Allah mengatakan begini, begini dan begini….Inilah ayat-ayatnya.’

Para Sahabat berusaha dan bersungguh-sungguh menghafal dan mempelajari serta memahaminya. Pada masa sama, Nabi (sws) melantik beberapa sahabat sebagai penulis wahyu. Sebaik sahaja wahyu diterima, Baginda mengarahkan penulis-penulis wahyu mencatatkan ayat-ayat al-Quran yang diterimanya. Seterusnya Baginda menyebarkan ajaran dari wahyu Allah ini kepada pengikut-pengikutnya.

Telah dirawayatkan bahawa Nabi Muhammad (sws) adalah seorang yang ummi, yakni buta huruf . Jauh beza situasinya zaman Rasulullah jika dibandingkan dengan zaman kita kini. Sekarang, jika dilihat hanya pada bandar New York , akan kita dapati perpustakaan dan tokoh-tokoh buku di merata  daerah.  Kemudahan ini ditambahkan lagi dengan kecanggihan komputer dan internet menjadikan tugas menceduk ilmu menjadi begitu mudah sekali bagi mereka yang mahu mencarinya.

  

Semua ini tidak wujud pada zaman Rasulullah (sws).

Baginda adalah seorang ummi yang telah dibesarkan di sebuah perkampungan kecil.  Setiap pergerakkan dan perbuatannya amat diketahui oleh penduduk di daerah itu. Baginda tidak pernah keluar merayau jauh dari kawasan kediamannya.  Rasulullah juga tidak pernah bersemuka atau bertegur-sapa dengan orang-orang yang mengenali Isa (a.s). Baginda sendiri tidak pernah menemui penganut-penganut agama yang dibawa Isa (a.s). Namun Rasulullah (sws) berkata, ‘Allah (swt) telah menurunkan wahyu serta ayat-ayat untuk menerangkan kebenaran tentang peristiwa yang dilalui oleh nabi Isa (a.s)

Firman Allah swt di dalam al-Quran telah menjelaskan bahawa Isa (a.s) telah dikhianati sahabat karibnya, Judas.

Seperti masa silam, pengkhianatan dan pembelotan kini sering juga berlaku di mana kita pernah didedahkan dengan kisah-kisah pengkhianatan terhadap sesebuah kepimpinan.

Judas adalah salah seorang pengikut Nabi Isa (a.s). Harta dan kemewahan dunia telah menggelapkan mata hatinya lalu mendorongnya untuk mengkhianati sahabat karib sendiri.

Orang-orang yang telah berhasrat untuk membunuh Isa (as) telah pergi menghadapi pihak Romawi. Mereka mendapati ajaran Isa tidak sealiran dengan keinginan materialistik mereka. Mereka itu terdiri dari keturunan Israel yang menjadi pengikut Samiri, bukan dari pengikut Musa (as).

Mereka adalah shaitan-shaitan yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan semesta alam dan juga kehidupan akhirat. Mereka hanya menyanjungi lembu emas yang disembah sebagai Tuhan.

Ajaran Nabi Isa berdasarkan keimanan terhadap hari kiamat dan kebangkitan. Nilai-nilai dan pemikiran tersebut tidak ditemukan dalam kehidupan orang-orang Yahudi. Dakwah Nabi Isa juga berbenturan dengan arus materialisme yang sangat mendominasi masyarakat saat itu. Setiap yang disampaikan oleh Isa dianggap sebagai satu ancaman yang menggugat prestasi ekonomi mereka dan menentangnya dengan kekerasan. Namun Isa (a.s) merupakan seorang yang tabah dan berani. Dakwahnya  mula berkembang pesat dengan bilangan pengikut yang semakin bertembah. Golongan bijak pandai mulai  menerima kebenaran kata-katanya  dan menolak rancangan kejam orang-orang  yang berniat jahat.

Dakwah Nabi Isa a.s.

Isa terus melangsungkan dakwahnya sehingga kejahatan dan keburukan mengetahui bahwa keududukan mereka terancam hancur. Orang-orang zalim ini amat berpengaruh dan berkuasa. Oleh kerana terlalu bimbang akan kehilangan kuasa, mereka mulai mempengaruhi orang-orang Romawi. Mereka menghasut Raja Romawi dengan mengatakan, ‘Lihatlah sendiri,  dia sedang mengisytiharkan Kerajaannya yang tersendiri. Dia pasti akan melumpuhkan kerajaan kamu.”

Pada mulanya, pemerintahan Romawi tidak turut campur karena mereka tahu kedudukan Isa yang sebenar. Dengan yakin, mereka berkata, ‘Isa yang hanya mempunyai segelintir pengikut itu tidak akan dapat menumpaskan kerajaan yang hebat ini. Mustahil untuk dia melakukannya. Bodoh sekali kamu semua. Pergi dari sini!’

Para pendeta Yahudi tidak memiliki kekuasaan untuk menetapkan hukum bunuh pada saat itu. Semua itu dilakukan oleh kekuasaan penguasa Romawi. Orang-orang Yahudi masih berkeras hati. Mereka mempergiatkan lagi usaha untuk mempengaruhi pihak Romawi.

Isa dikatakan sebagai penyihir dan sebagai orang yang mengubah syariat . Isa adalah itu dan ini. Isa adalah begitu dan begini…. Orang-orang Yahudi  terus menyakitinya dan menuduhnya dengan berbagai macam tuduhan hingga akhirnya kerajaan Romawi termakan dengan kata-kata palsu ini.

Gabenor Romawi

Gabenor Romawi bersetuju dan berkata, ‘Lakukan sehendak hati kamu. Aku tidak mahu terbabit dalam hal ini. Aku masih tidak mempercayai kata-kata kamu tentang orang itu. Namun dia adalah dari kaum kamu (Nabi Isa (as) adalah dari Bani Israel), maka kamu bebas untuk bertindak ke atas dirinya. Aku tidak ingin terlibat.’

Sebaik sahaja  keizinan diberi dari pihak Romawi, orang-orang Yahudi memulakan gerakkan untuk mencari Isa (a.s). Mereka mula bertanya, ‘Di manakah dia berada?’

Begitu juga keadaannya di Amerika kini. Mereka semua ingin tahu di mana Usama bin Laden berada. Mereka mendapatkan khidmat perisik-perisik terhandal untuk mencari dan membawa mereka ke tempat persembunyian Usama.  Tetapi berbeza keadaannya dengan si tikus Usama bin Laden,  Nabi Isa (a.s) tidak menyembunyikan diri.  Malah beliau masih kelihatan bebas berjalan-jalan di sekitar kawasan di situ. Allah telah memberi perlindungan ke atas Rasul-Nya itu.

Salah seorang dari sahabat karib Isa a.s  yang bernama Judas telah pergi kepada mereka dan berkata kepada mereka, “Apa yang kamu berikan jika aku berhasil menyerahkannya kepada kamu semua?  Aku tahu dimana dia berada kini. Aku juga tahu dimana mereka akan berhimpun. Biar aku bawa kamu kepadanya.”

Sebelum tibanya rombongan Yahudi itu, Isa (a.s) sedang bersama dengan beberapa orang pengikutnya. Beliau telah mengarahkan mereka semua untuk pulang awal kerana telah diberi alamat tentang kejadian yang bakal menimpa dirinya.  Oleh kerana tidak ingin membebankan pengikut-pengikutnya, beliau menyuruh semua yang hadir untuk pulang sambil berpesan, ‘Sekarang, saya akan menemui kamu semua di sebelah sana.’

Para pengikut yang mentaati  perintah  Isa (a.s), satu demi satu melangkah pulang hingga tinggallah Isa keseorangan di dalam kamar itu.

Setibanya mereka di tempat yang telah ditetapkan, askar-askar Yahudi berkata kepada Judas, ‘Sekarang kamu masuk ke dalam kamar untuk mendapatkannya kerana dia adalah sahabatmu. Cari dia di dalam situ. Kami akan menangkapnya.’

Judas masuk ke dalam. Para askar menanti di luar.

Di dalam kamar, Judas melihat Isa sedang bersendirian. Isa (a.s) sempat berkata kepada sahabatnya itu  bahawa dia adalah seorang  pengkhianat dan hukuman besar sedang menanti untuk diturunkan kepadanya akibat perbuatan yang terkutuk itu. Sejurus selepas melafazkan kata-kata ini, Allah (swt) telah menukar paras  rupa Judas untuk menyerupai Isa (a.s). Judas kini kelihatan seperti Isa. Hanya penampilan luaran yang mengalami perubahan. Namun jiwanya tetap tidak berubah.

Judas amat terkejut dengan perubahan yang sedang dialamninya pada ketika itu. Pada masa yang sama, para Malaikat tiba untuk mengangkat Isa (a.s) ke langit. Maka tinggallah Judas seorang diri di dalam kamar.

Tentera Yahudi yang telah lama menunggu di luar menjadi semakin resah. Mereka berkata, ‘dia mengambil masa yang sangat panjang. Mungkin Isa telah membunuhnya.  Mari kita masuk!’

Tepat disaat itu tentera musuh menyerbu masuk, mereka melihat Judas yang berbentuk Nabi Isa itu segera ditangkapnya serta dipukulinya. Mereka berkata, ‘Inilah Isa! ‘

Judas yang disangkakan Isa (a.s) mula meronta-ronta dan menjerit , ‘Bukan aku, bukan aku!’ Tetapi askar Yahudi itu sedikit pun tidak mengendahkannya. Mereka berkata, ‘Diam! Memang kamu yang sedang kami cari-cari. Wajah kamu menjadi  bukti yang jelas.’

“Dan kerana ucapan mereka, ‘Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih, Isa putera Maryam, Rasul Allah.’ Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh adalah) orang yang diserupakan dengan Isa. Sesungguhnya mereka yang berselisih pendapat tentang (pembunuhan) Isa, selalu dalam keragu-raguan tentang yang dibunuh itu. Mereka benar-benar tidak tahu (siapa yang sebenarnya dibunuh itu), melainkan mengikuti persangkaan belaka, jadi mereka tidak yakin telah membunuhnya. Tetapi Allah telah mengangkat Isa ke hadirat-Nya. Allah Maha perkasa, Maha bijaksana.” (An-Nisa`: 157-158)

Tanpa sebarang keraguan,  mereka mengikat Judas yang disangka Isa, dan mengheretnya keluar dari kamar itu. Suasana yang kecoh, ditambahkan pula dengan jeritan Judas mendorong askar-askar untuk bertindak dengan pantas hinggakan mereka tiada masa untuk bertanya, ‘di mana orang yang telah kami hantar tadi?’

Semua tugas dijalankan dengan tergesa-gesa kerana mereka sendiri sedar bahawa tindakkan menawan Isa itu adalah satu kesalahan besar. Maka untuk menutup perasaan bersalah, mereka cuba untuk menyelesaikan segala urusan dengan secepat mungkin. Mereka sendiri tidak mempunyai masa untuk berhenti  dan memikirkan, ‘Jika dia ini adalah Isa, ke mana pula perginya orang yang kami hantar tadi?’

Tawanan itu diheret pergi dengan segera dan mereka berkata, ‘Cepat! Jangan berlengah-lengah. Kita harus meletakkannya di atas salib sebelum Gabenor mula merubah fikirannya.’

Apakah fungsi Salib yang sebenarnya?

Penganut-penganut agama Kristian yang bodoh itu, hingga ke hari ini, begitu bangga menggantungkan salib di leher mereka.

Salib adalah alat hukuman mati yang ngeri dan memalukan. Hukuman mati ini berasal dari negeri Persia, kemudian diambil alih oleh Yunani, dan tidak lama kemudian, orang Roma pun menggunakan hukuman salib. Oleh bangsa Romawi salib dijadikan alat hukuman yang paling kejam terhadap para budak dan orang-orang asing (terutama jajahan) yang memberontak. Kedua tangan dan kaki si terhukum direntang, dipaku atas kayu salib. Kemudian salib dipancang ke tanah, sementara si terhukum dibiarkan tergantung sampai mati. Harus difahamkan di sini bahawa salib itu bukanlah sesuatu yang dicipta khusus untuk Isa (a.s).

Apabila hukuman telah dijalankan,  orang ramai mula melaung-laungkan,  ‘Jesus telah disalib.’ Ini sama sekali tidak benar kerana yang disalib itu sebenarnya adalah Judas, bukan Isa (a.s).  Judas telah dibiarkan terpaku di atas salib itu.

Apabila berita tersebar luas yang mengatakan, ‘Mereka telah menggantung Isa!’ beberapa  pengikut-pengikut Isa (a.s) mula bergegas ke tempat hukuman dijalankan.  Diantara pengikutnya yang hadir adalah beberapa orang yang telah Isa (a.s) bantu dan tarik keluar dari belenggu kehidupan yang liar lagi terhimpit.

Ini termasuklah  pelacur-pelacur wanita dan juga mereka yang berakhlak rendah yang telah Isa (a.s) selamatkan dari gejala maksiat. Isa (a.s) telah membawa mereka ke sebuah sungai untuk membersihkan diri dari segala kekotaran yang telah mencemari tubuh masing-masing. Mereka amat mengenali Isa (a.s).  Mereka kenal benar dengan susuk badan Isa (a.s) dan apabila dipandang pada orang yang disalib itu, mereka semua berkata, ‘tsk, orang ini memang menyerupai Isa. Tetapi susuk badannya amat berlainan.’

Sebagai contoh, kita mengenali  ‘X’ sebagai seseorang yang mempunyai berat badan 300 paun dan pada masa yang sama, kita juga mengenali ‘Y’ yang berat badannya hanya 100 paun, jika pada satu hari  wajah mereka ditukar ganti dengan sekelip mata, kita pasti akan berkata, “Ada sesuatu yang tidak kena disini.  Ini bukan bentuk tubuh badan mereka yang sebenar. Ini amat berlainan.” Adakah kamu mengerti?

Apabila kekejaman telah pun dilakukan, mereka kini terpaksa menutup perbuatan salah itu dengan satu penipuan.

Sewaktu Judas diletakkan di atas salib, mereka dapati bahawa susuk badan orang yang ditawan itu amat berbeza dengan susuk badan milik Isa.

Mereka mula menyedari  kesilapan yang dilakukan dan bertanya  “Bagaimana ini boleh terjadi?”

Mereka percaya bahawa satu keajaiban telah berlaku dan mula meyakini bahawa sungguhpun tawanan itu tidak menyerupai Judas, namun bentuk badannya adalah bentuk badan Judas.

“Jika dia adalah Judas, ke mana pula perginya Isa? Dan jika dia adalah Isa, dimanakah Judas?”

Kemusykilan itu mendorong mereka mengirim pasukan tentera untuk mencari Judas. Namun Judas tidak dapat ditemui. Dia hilang tanpa meninggalkan sebarang kesan. Hakikat yang tidak mereka ketahui ialah Judas itu adalah tawanan yang telah mereka salib, manakala Isa (as) telah diangkat naik ke langit.

Demi untuk menutup kesalahan dan kepalsuan yang telah dilakukan, mereka memutuskan untuk berbohong kepada umum tentang peristiwa yang telah terjadi di situ.

Apakah pembohongan yang  dilakukan mereka?

‘Good Friday’.

Sememangnya bagi ummat Islam, Hari Jumaat adalah hari-hari besar di sisi Allah dan dikhususkan bagi umatnya. Sohbet ini juga telah disampaikan pada malam Jumaat.

Tetapi orang-orang Yahudi tu berkata, “Ini adalah hari dimana Isa telah disalib. Selepas itu, dia telah dikebumikan di tanah perkuburan  dan sebuah batu nisan telah dipacakkan disitu. Tiga hari kemudian, mereka menggali kubur itu dan mendapati bahawa Isa tidak lagi berada di dalam kubur. “

Allah, Allah. Bagaimana mungkin ini boleh berlaku?

Jika mereka sendiri  tidak dapat menerima kuasa mukjizat Allah ( dengan menafikan kebenaran bahawa Isa telah diangkat ke langit), bagaimana pula dapat dipercayai bahawa batu nisan itu telah beralih tempat dan mayat mampu keluar dari kubur?

Mereka menganggap semua ini sebagai satu kejadian yang luar biasa.

Untuk menutup penipuan asal, mereka menggubah penipuan yang baru.  Penipuan demi penipuan dilakukan. Cuba kamu periksa kebenaran kata-kata ini. Ia bukan satu rekaan atau andaian semata.

Kita sendiri pernah mengalami keadaan yang serupa.  Apabila kita berbohong tentang sesebuah perkara, lambat laun di kemudian hari, persoalan itu akan terungkit semula. Dan kita harus menutupinya semula dengan satu pembohongan yang segar. Keadaan begini akan berlarutan hingga di satu masa nanti, ibarat pepatah melayu yang mengatakan , ‘sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.’ Lembing yang tajam sudah pasti tidak dapat disembunyikan di dalam bakul yang sempit.  Di satu masa nanti, mata tajam lembing itu sendiri akan tertusuk keluar dari bakul itu.

Begitu juga keadaannya dengan satu penipuan. Lambat laun, kebenaran akan terbukti kerana kebenaran adalah satu perkara suci yang mesti zahir di dalam kehidupan kita. Seandainya ia tersembunyi atau disembunyikan, maka akan berlakulah berbagai-bagai bentuk kerosakan, kepincangan, penyelewengan dan sebagainya.

Maka sewaktu Isa (as) diangkat ke langit, Judas yang telah ditangkap dan disalib. Itulah yang sebenarnya berlaku.

Orang-orang Yahudi telah menghasilkan penipuan-penipuan besar di sepanjang 2000 tahun ini.

Bertanyalah sendiri kepada kaum Yahudi, akan kamu dapati bahawa tiada seorang pun di antara mereka yang mempercayai bahawa Isa telah disalib.

Dari Pendeta-pendeta tertinggi  hingga ke pegawai rendah Yahudi dari organisasi Yahud, kesemua mereka menolak kepercayaan ini. Mereka tidak akan berani untuk membuat pengakuan itu kerana mereka tahu bahawa ianya tidak benar. Mereka tidak ingin dibebani dengan pelbagai masalah.

Mereka hanya mendiamkan diri sambil mengatakan, “Biarkan orang-orang Kristian yang bodoh mempercayainya. Kita hanya akan memberi sokongan. Biarkan mereka.”

Orang Yahudi tidak mempercayainya. Pergi bertanya sendiri kepada mereka, “Apakah yang telah kamu lakukan kepada Isa?”

Pergi kepada Pendeta Yahuda dan bertanya, “Benarkah bahawa kamu telah menggantung Isa?”

Mereka pasti tidak akan mensia-siakan  masa  untuk melayani soalan kamu itu.

Ternyata semua ini adalah satu penipuan terbesar yang telah disusun secara teliti agar kebenaran tidak akan tercungkil. 2000 tahun lamanya, dan penipuan masih berterusan.

Siapakah yang dapat menghentikan  kebatilan yang semakin berleluasa ini?

Isa (alayhi salam).

Nabi Isa (a.s) akan diturunkan oleh Allah swt dari langit ke bumi. Beliau akan bertanya kepada ummat manusia, ‘Wahai orang-orang yang bodoh lagi jahil, mengapa kamu mempercayai kebohongan dan kedustaan itu”’

Penganut agama Kristian akan menjawab, ‘sesungguhnya Tuhan telah meletakkan Isa di atas salib sebagai pencuci dosa ummat manusia.’

Lihatlah betapa bodohnya pengakuan mereka itu. Apakah Tuhan itu sendiri tidak dapat menghapuskan dosa-dosa manusia sehingga dia tergamak mengorbankan nyawa seorang manusia  untuk tujuan itu?

Allah, Allah!

Penganut Kristian juga mengakui Isa sebagai anak Tuhan. Hasha Astaghfirullah! ‘Anak Tuhan???’

Tergamak sungguh seorang Tuhan membiarkan anaknya dizalimi dan dibunuh  agar dapat menghapuskan dosa-dosa kamu dan saya?

Kebodohan jenis apakah ini?

Teramat bodoh!

Jika inilah keadaan seorang Tuhan dan jika saya ditakdirkan hidup pada waktu itu, akan saya bertanya, “Apakah benar kamu adalah anak Tuhan?”

Jika dia berkata “Ya,” akan saya menangkapnya untuk dijadikan tebusan. Saya akan mengugutnya, “Berikan segala kuasa yang kamu miliki itu kepadaku! Jika kamu engkar, aku akan membunuh mu.” (Sheykh Ketawa).

Bukankah ini satu perkara yang tidak dapat diterima akal yang waras?

Kebodohon!

Sesungguhnya kebodohan itulah yang sedang dikejari manusia masa kini. Kerana takut hilang pengaruh. Ada golongan yang tidak mahu menonjolkan kebenaran  atau dengan kata lain mereka menyembunyikan kebenaran lantaran takut hilang pengaruh atau hilang kedudukan yang dikecapi selama ini.

Kerana sifat Takbur atau sombong. Walaupun seseorang itu mengetahui dan mengakui kebenaran itu, namun ia menolak kebenaran itu kerana sifat buruk ini telah menguasai hati dan dirinya.

Tetapi usah kita memikirkan sangat tentang hal ini. Ia bukan urusan kita. Mereka bebas untuk mempercayai apa sahaja. Manusia telah diberi akal dan mereka bebas membuat pemilihan. Tiada paksaan.

Yang jelas, kita harus memahami bahawa  Al-Quran adalah kitab mukjizat sepanjang zaman. Hakikat yang dinyatakan Allah bukanlah menjadi sejarah untuk dibaca sahaja, tetapi ia menjadi sejarah yang akan berulang dan manusia wajib mengambil pelajaran dan iktibar.

Kebenaran mesti menjadi agenda semua. Ia wajib didokong dan disokong. Kita tidak boleh memberikan tempat kepada  hawa nafsu dan keinginan sementara kita dengan menolak kebenaran.

Jika kamu ingin ke Syurga, maka pintu Syurga sedang dibuka luas. Kamu harus melakukan ini, ini dan ini untuk memasukinya. Jika kamu ingin ke neraka, ianya begitu mudah sekali. Hiduplah mengikut ego kamu dan ego itu juga akan menjamin dan mengiringi kamu ke api neraka.

sheykh-abdul-kerim

Wa min Allahu taufiq

Bihurmatil Habib, Bihurmatil Fatiha. Amin.

Sohbet oleh Sheykh Abdul Kerim el-Hakkani el-Kibrisi

July, 2004

This entry was posted in OsmanliJB. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s