Sungguh Berhargakah Sayap Seekor Nyamuk?

BismillahirRahmanirRahim

SahibulSaif

Allah(swt) telah berfirman, “Andaikan dunia di sisi Allah seharga sayap seekor nyamuk, niscaya Allah tidak akan memberikan seteguk air pun untuk orang kafir”.

Telah Allah mengingatkan di dalam kitab-Nya bahawa dunia dan segala yang berada di dalamnya itu tidak langsung mempunyai sebarang nilai di kehadirat Illahi. Apa jua jenis kepuasan yang kamu nikmati di dunia tidak mempunyai sebarang nilai. Semuanya bersifat sementara, dan setiap apa yang bersifat sementara pastinya tidak akan memberi kepuasan. Adalah lebih bijak jika kita memberi keutamaan pada kehidupan yang abadi. Kita harus berusaha gigih untuk meraih kemenangan besar di akhirat.

Selagi masih ada hayat, selagi itulah kita harus  meneruskan usaha menanam saham akhirat. Jangan ditangguhkan lagi. Jika peluang untuk mengejar kebaikan ini terlepas, maka akan timbul persoalan sama ada kamu telah berjaya memiliki kenikmatan hidup di alam akhirat.

Ramai yang berkata, “Ohh, syurga itu terlalu besar dan luas. Apa yang akan berlaku di sana? Mana mungkin semua manusia akan dicampakkan ke dalam neraka?”

Tentu sekali tidak. Setiap manusia akan menuju ke arah sesuatu yang telah mereka bina untuk diri masing-masing. Jika seluruh umat manusia di dunia ini berada dalam kesesatan, ia tetap tidak akan mengubah penentuan Allah. Allah swt berkata, ‘Aku akan melenyapkan kamu semua dari muka bumi ini dan Aku mampu untuk menciptakan  sesuatu yang baru. Kamu tidak berharga.’

Allah  berkata, “kamu boleh meletakkan harga yang tertinggi buat diri kamu dengan memandang ke cermin sambil memuji, ‘Oh! Aku kelihatan begitu cantik sekali!’ Ini adalah terlalu mudah bagiKu, kecantikkan dan segala-galanya dapat ditarik balik dengan sekelip mata.’ Begitu juga dengan kehebatan kuasa yang berada pada diri manusia. Semuanya boleh dilenyapkan dengan serta-merta.

Tidakkah kamu faham serta insaf mempelajari dari kisah yang berlaku di sebalik sejarah silam? Mengapa kamu tidak menghayati kisah yang pernah menimpa manusia pada zaman silam dan mempelajari dari kesilapan mereka. Sesungguhnya Allah swt telah mencatatkan kisah-kisah ini di kitab-kitab suci sebagai pengajaran buat umat manusia.

Mungkin juga ramai yang tidak suka dengan apa yang terkandung di dalam Quran. Tidak mengapa, ambil kata-kata dari kitab Taurat.  Lihat apa yang disebutkan di kitab Taurat mengenai Namrud dan Ibrahim (as). Hayati juga kisah yang berlaku diantara Firaun dan Musa (as).

Apakah yang telah  Namrud umumkan kepada dunia?

Dia berkata, ‘Aku adalah Tuhan semesta alam. Semua ini adalah kepunyaan aku.’

Dek kesombongan dan keangkuhan Namrud, Allah telah meletakkan seorang hamba dihadapannya, Ibrahim (a.s), yang berkata,

‘Tinggalkan keangkuhan kamu Ya Namrud. Bersujudlah kepada Tuhan yang telah menganugerahkan segala kuasa yang ada pada diri kamu itu.’

Namrud menjawab, ‘Tuhan? Akulah tuhan. Akulah pencipta.  Apa yang mampu dilakukan oleh Tuhan kamu itu?’

‘Dia memberi dan mengambil nyawa.’

‘ Ahhh….!! Itu mudah sekali. Aku juga boleh melakukan itu’ kata Namrud.

Diperintahkan dua orang tawanan penjara untuk menghadapinya. Seterusnya dia memberi arahan,

‘Aku akan bebaskan tawanan yang satu ini. Bererti aku memberi nyawa kepadanya.  Kepada yang satu itu, aku akan ambil nyawanya. Bunuh dia!’

Ibrahim (as) berkata, ‘Kalau begitu keadaannya, Tuhan ku mampu untuk menerbitkan matahari dari  arah Timur. Dapatkah kamu menghentikannya dan menerbitkan pula dari arah Barat.’

Namrud mula menggeletar.  Sudah tentu dia tidak dapat melakukan keajaiban ini.

Ibrahim (as) mencabar terus, ‘Lihatlah sendiri, tuhan yang kamu sembah itu tidak dapat melakukan perkara ini. Tetapi Tuhanku boleh.’

Untuk itu, Allah telah menjanjikan bahawa sebelum berlakunya hari Kiamat, manusia akan dapat menyaksikan, hanya sekali, terbitnya matahari dari arah Barat. Pastikan kamu sentiasa memohon keampunan hingga ke saat itu. Kerana, pada ketika matahari terbit dari arah Barat dan terbenamnya semula ke arah yang sama, semua pintu keampunan akan tertutup. Sebarang keampunan tidak akan diterima selepas itu.

Hari-hari yang dijanjikan ini sedang berada terlalu dekat dengan kita. Malang sekali, manusia sedang asyik mengejar nikmat dunia bagaikan mereka akan hidup selamanya. Mereka berlumba-lumba untuk mencari penemuan-penemuan terbaru di muka bumi ini. Ada yang sedang sibuk untuk membuat penemuan baru tentang serangga, penemuan tentang jenis haiwan itu dan ini seperti yang dapat kamu saksikan sendiri di chanel Discoveri.

Mereka begitu sibuk sekali dalam usaha membuat penemuan-penemuan baru.  Tetapi anehnya, tidak pernah saya melihat rancangan di chanel Discoveri yang mengisahkan tentang manusia membuat penemuan terhadap dirinya sendiri. Apa kamu pernah menyaksikannya? program yang berjudul : ‘Manusia cuba untuk mengenal dirinya sendiri,  Siapakah itu Manusia?.’

ijazah

Kamu sedang menuntut?

Ya. Dalam abad yang serba canggih ini, kita dapati bahawa orang ramai kini sedang sibuk menuntut ilmu.  Apa yang akan berlaku seterusnya?

Kamu akan mendapat segulung ijazah. Seterusnya? kamu akan berusaha mendapatkan pencapaian yang lebih tinggi. Dan seterusnya?

Apakah kamu telah menemui siapa diri kamu yang sebenarnya? Kenalkah kamu akan diri sendiri?  Fahamkah kamu betapa kerdilnya seorang insan yang bergelar manusia? Dan kepada insan kerdil ini, Allah swt telah memberi kurniaan kuasa serta hak yang tidak terkira nilainya. Bersama kuasa ini Allah telah berkata,

“Aku telah melantik kamu sebagai Khalifah, duta serta wakil Ku di muka bumi ini. Selagi kamu belum mencapai ke tahap seorang hamba, selagi Aku belum menerima kamu sebagai seorang hamba yang baik, selagi itulah pintu-pintu di langit akan tertutup bagi kamu.  Jika Aku senang dengan pengabdian kamu, akan Aku buka pintu-pintu langit seluas-luasnya.  Kamu bebas untuk memasuki dari mana-mana arah sekalipun.’

Sekarang ini, manusia sibuk mencipta roket-roket untuk ke bulan dan bintang. Hah! Roket ciptaan manusia itu ibarat belalang yang sedang melompat-lompat.  Kejahilan manusia itu sendiri telah memberi salah tanggapan bahawa mereka telah mencapai ke arah kemajuan yang tertinggi.

Dengan megahnya mereka berkata, ‘kami telah mengirim sebuah teleskop yang jauhnya menjangkau ratusan…..jutaan tahun ke hadapan dan ia amat berguna kepada kita kerana telah dapat mengirim gambar-gambar serta imbasan. Ciptaan ini membolehkan manusia untuk meneroka hingga lebih sebilion tahun ke hadapan.’

Di mana kamu? Apakah kamu mampu untuk menjejakkan kaki ke sana?

Hakikatnya, semua ini tidak mungkin boleh berlaku walaupun dalam dunia khayalan kamu sendiri. Hingga ke saat ini, masih lagi tidak diketahui jenis-jenis makhluk apakah yang wujud di luar sana.

Jika kamu lihat kembali pada rekaan-rekaan tersebut, akan kamu sedari betapa besarnya kuasa yang telah diberikan kepada manusia menerusi roh pemberian Allah swt. Sekiranya kamu mampu untuk mendalami pengertian di sebalik kewujudan manusia,  nescaya tiada tempat yang tidak dapat kamu terokai. Ini berberbeza dengan teknologi canggih ciptaan manusia yang mempunyai kegunaan terhad.

Maka Namrud membuat pengumuman, ‘Akulah Tuhan.’

Ibrahim (as) berkata, ‘gilakah kamu?  Kamu tidak boleh menjadi Tuhan dengan berkeadaan begini.  Insaf dan bersujud memohon keampunan. Allah telah meletakkan aku, hamba yang paling lemah dan hina, untuk berbicara di hadapan kamu.  Apa kamu masih tidak mengerti? Dan aku sekarang berdiri tegak di hadapan kamu. Aku telah berjaya untuk mematahkan kuasamu dan berdiri di hadapan sambil berbicara dengan kamu.’

Namrud menjawab, ‘Aku sangat marah dengan Tuhan kamu. Khabarkan padanya bahawa aku mengisytiharkan peperangan terhadap kerajaan langitnya.’

Maka Ibrahim (as) berkata, ‘Ohhh, kamu kini sedang dalam bahaya.  Kamu isytiharkan peperangan? Tuhan ku sedikit pun tidak memandang pada diri mu yang hina ini.’

Namun perintah telah diturunkan kepada Ibrahim (as) yang mengatakan, ‘Katakan kepadanya Ya Ibrahim, Kami menerima. Kami menyahut cabaran itu. Akan Aku kirimkan pasukan tenteraKu untuk menentangnya.’

Namrud mengerahkan pasukan tenteranya untuk membuat persedian. Seperti masa kini, pemerintah di seluruh kawasan sedang mempersiapkan pasukan tentera, pasukan SWAT, tentera Udara, darat dan pelbagai persiapan, pengiraan, sambil berkata, ‘Kami adalah yang terhandal.’

Namrud pastikan hanya yang terbaik dipilih untuk misi peperangan ini. Dia berkata, ‘Sekarang, Tuhan dari kayangan akan datang untuk berperang dengan aku. Bersiap sedia. Ini bukan senda gurauan.’

Namrud membuat persediaan yang rapi bagi pasukan tenteranya. Sementara menantikan peperangan bermula, dia bertanya kepada Ibrahim (as), ‘Apakah tuhan kamu itu takut? Mengapa dia masih belum menghantar lagi tenteranya?’

Ibrahim menjawab, ‘Sabar. Ia sedang menghampiri. Tidakkah kamu nampak? Lihat di atas sana.’

Dan mereka ternampak satu titik hitam yang sedang bergerak di langit. Titik hitam itu semakin menuju dekat, dekat, lebih dekat hingga mereka semua bertanya, ‘Apakah itu?’

Ibrahim berkata, ‘Inilah pasukan tentera nyamuk. Teruskan dengan niat kamu untuk menghapuskan mereka. Silakan.’

Maka perperangan bermula. Nyamuk-nyamuk mula menyerang masuk ke dalam tubuh badan para tentera sungguhpun pakaian seragam telah menutupi seluruh anggota mereka dari hujung rambut ke hujung kaki. Tentera Namrud digigit teruk oleh nyamuk sehingga mereka rebah dalam keadaan mengerikan seperti tengkorak hidup.

Namrud yang ketakutan mula mengunci diri di dalam kamar teratas di istananya. Cermin kaca diletakkan di keliling kamar. Dia mengawasi setiap pergerakkan di ruang itu. Jiwanya bergetar.

‘Ya…ini adalah satu tindakan yang bijak. Aku bersembunyi’ fikir Namrud.

Tiba-tiba dia terlihat seekor nyamuk yang sedang menyelit masuk ke ruang kamar menerusi lubang kunci. Nyamuk itu mula berligar-ligar di dalam kamar.

‘Ohh! Apa yang harus aku lakukan?’

Hanya seekor nyamuk. Allah telah menerangkan bahawa nyamuk itu kurang sempurna anggota tubuhnya. Kaki serta sayapnya patah. Tidak seperti nyamuk-nyamuk yang lain.

Allah berkata, ‘Oleh kerana Namrud membuat pengakuan umum bahawa dia adalah Tuhan yang amat berkuasa, maka Kami telah mengirimkan seekor nyamuk yang paling lemah dikalangan tentera nyamuk itu.’

Begitu rumit sekali keadaan yang dihadapi Namrud. Dia terpaksa berlari-lari ke sana sini di sekeliling kamarnya untuk cuba membunuh hanya seekor nyamuk. Akhirnya, nyamuk itu menemui jalan masuk ke dalam tubuh Namrud menerusi rongga hidungnya.

Ini kisah benar. Nyamuk berjaya masuk ke dalam otak Namrud dan mula memakannya. Nyamuk menggigit sedikit demi sedikit. Setiap kali otaknya digigit, Namrud  menjerit, ‘Arrgghh!!!’

Kamu beranggapan bahawa sakit gigi itu amat perit rasanya bukan?

Jika dibandingkan dengan kesakitan yang sedang dialami Namrud,  keperitan sakit gigi itu tidak seteruk mana. Ini kerana sakit gigi berakibat daripada tersentuhnya urat saraf yang tersalur ke bahagian otak manusia. Bayangkan jika urat saraf di otak itu sendiri digigt bertalu-talu oleh seekor nyamuk. Peritnya bukan kepalang.

Meraung-raung Namrud dalam kesakitan. Saban hari rasa sakit semakin berlarutan. Akhirnya, oleh kerana terdesak dek kesakitan yang tidak terkawal, Namrud mula mengetuk-ngetuk kepalanya.

‘Ahhh…..’, lega dapat dirasakan apabila sakit mula reda setiap kali kepalanya diketuk. Sebenarnya, rasa sakit itu hilang kerana sang nyamuk henti bergerak.  Sebaik sahaja Namrud berhenti mengetuk, nyamuk mula bergerak dan rasa sakit kembali semula.

Lama kelamaan, tindakkan mengetuk kepala dengan tangan tidak lagi mendatangkan hasil . Namrud mula menggunakan sebatang tukul kayu yang besar. Dia menggenggam sebatang tukul gergasi manakala seorang pengawalnya memegang tukul yang satu lagi.

Namrud memberi arahan, ‘Setiap kali aku menjerit, kau hayunkan tukul ini sekuat yang mampu ke arah kepala aku.’

Begitulah keadaannya. Kepalanya diketuk dengan sebatang tukul dan sang nyamuk berhenti bergerak. Kesakitan reda. Tetapi untuk sementara. Selang beberapa minit, nyamuk bergerak semula dan mula menggigit. Namrud mengerang kesakitan sambil menjerit,

‘Kuat!Kuat! Kuat lagi!

Akhirnya, si pengawal yang diupah untuk melakukan tugas itu merasa bosan dengan gelagat Tuannya.

Bukalah. Buka kitab Taurat. Kisah ini ada tercatat di situ. Buka kitab Injil. Ia juga tertera di situ. Buka kitab al-Quran. Ia jelas dicatatkan. Kamu fikir kitab-kitab ini hanya mengisahkan cerita-cerita dongeng?

      

Kitab-kitab ini diturunkan pada waktu yang berbeza. Sebuah kitab diturunkan seabad yang lalu, sebuah lagi diturunkan berkurun-kurun yang lalu, dan yang sebuah itu beberapa abad yang silam. Namun, kisahnya tetap sama.

Akhir sekali, akibat merasa bosan melayan kerenah tuannya, pengawal itu mula menghayunkan tukul kayu dengan sekuat hati hingga menyebabkan tempurung kepala Namrud retak dan terbelah dua. Maka keluar haiwan yang kelihatan seperti seekor burung dari kepala Namrud. Nyamuk yang pada mulanya itu kecil telah menjadi begitu besar akibat memakan otak Namrud. Ia terbang keluar.

Apa tujuannya maka Allah memaparkan kisah-kisah sedemikian di kitab-kitab sucinya? Pernahkah kamu memikirkan hal ini?

Allah sedang memberi kita pengajaran dengan berkata, ‘Kamu hanya seorang hamba. Tidak lebih dari itu. Apa juga kedudukan serta martabat duniawi yang telah kamu capai sejauh ini, ia tetap tidak akan merubah hakikat yang kamu itu adalah seorang hamba. Jika kamu menyatakan sebaliknya, Aku tidak akan menerima.

Sesiapa sahaja yang sedang berusaha untuk menjadi seorang hamba yang terbaik, Aku akan memberikan gelaran tertinggi kepada diri itu. Kamu akan Aku lantik sebagai seorang Sultan. Ini merupakan satu perlantikkan khas yang diturunkan terus dari Syurgawi. Tiada sesiapa yang dapat merebut gelaran itu dari kamu jika ia diturunkan dari atas situ. Dunia mungkin akan mengejar untuk mendapatkannya.  Mereka tidak akan berjaya. Ini adalah pemberian Istimewa. Pemberian Syurgawi.’

Kisah-kisah benar ini merupakan penjelasan serta didikkan Allah kepada manusia agar mereka tidak harus memiliki sikap angkuh. Ini sama sekali tidak dibenarkan.

Kisah Namrud yang takbur jelas mengajar kita bahwa insan kerdil lebih berupaya untuk menumpaskan mereka yang memiliki sifat angkuh yang tercela.

Satu lagi peristiwa yang Allah jadikan sebagai teladan bagi umat manusia adalah kisah Firaun yang bongkak. Dengan hanya sebatang tongkat, kuasa Firaun dapat ditumpaskan dengan serta merta. Allah swt memberikan tongkat itu kepada Musa (as) dengan berkata, ‘Dengan tongkat ini, kau jatuhkan kerajaan Firaun.’

Dengan tongkat yang memiliki pelbagai mukjizat, Musa (as) mampu meruntuhkan kerajaan Firaun. Firaun yang bangga dengan menggelarkan dirinya Tuhan akhirnya mati lemas ditenggalami lautan luas. Begitulah kesudahan riwayat hidup Firaun.

Pada kurun ke-21 ini, siapa di antara manusia di muka bumi yang tidak menentang kuasa Allah? Hmm?

Manusia semua sedang melarikan diri sejauh yang mungkin daripada perintah yang diturunkan Allah.  Berbekalkan ilmu pengetahuan yang mendalam, manusia semakin berlari jauh untuk mengabaikan perintah Allah swt.

Mereka berkata, ‘Aku tidak suka kepada perintah itu. Aku hanya akan menurut  kemahuan ego.  Apa yang Allah inginkan dari ku,  itu amat tidak bersesuaian dengan ego aku.’

Manusia kurun ke-21 kini tidak akan dihukum menerusi seekor nyamuk atau pula sebatang tongkat.  Bagi golongan ini, hanya satu perkataan sudah mencukupi. Perkataan yang menjadi kebencian ramai manusia, terutama sekali mereka di Barat. Itulah laungan Takbir, “ Allahu Akhbar! “

Bergetaran seluruh anggota tubuh manusia. Takut dan cemas. Hanya dengan satu laungan Takbir. Hinggakan para ahli Sufi sendiri turut berkata, ‘ Jangan disebutkan itu wahai saudaraku’

Hmmm.  Apa yang menyebabkan jiwa mereka menggeletar ketakutan?

‘Allahu Akbar!’

Laungan takbir ini akan membawa kepada keruntuhan serta menamatkan kejahilan kurun ke-21. Satu laungan Takbir oleh Mahdi (as) akan mengakhiri segala kezaliman.

Saya begitu yakin sekali, menurut ilmu yang telah dibuka kepada diri ini, bahawa hampir semua yang berada di sini akan menemui hari yang dijanjikan itu.

Tetapi AWAS, Pastikan bahawa kamu berada di pihak yang HAQQ dan bukan pada yang BATIL.

Wa min Allahu tawfiq

Bihurmatil Habib

Bihurmatil Fatiha

– SahibulSaif Sheykh Abd Kerim Effendi Hz

This entry was posted in OsmanliJB. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s