Sohbet memperingati Milad Sahib-ul Saif Shaykh Abdulkerim el Kibrisi el Rabbani

BismillahirRahmanirRahim

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatu

Mari sama-sama kita perbaharui kalimah syahadat kita dan menyatu demi Allah dan Rasulullah (asws). ‘Ashadu an-la ilaha il-Allah wa ashadu anna Muhammadan Abduhu wa Rasuluhu. Salallahu Ta’ala alayhi wa alihi wa sahbihi wa sallim.’

shahadat

Pernyataan Syahadat yang benar dengan landasan iman yang kukuh membuka sebuah permulaan yang baru dan suci. Permulaan yang suci adalah asas segala perkara, insyaAllah,  bagi  mereka yang sedang  berusaha untuk membersihkan kotornya makam diri.

Bagi golongan mereka yang telah jemu, jenuh dan bosan, yang mulai merasa rimas dan hilang keghairahan untuk terus tetap bersatu dalam suatu jamaah dan kepemimpinan yang kuat dan mereka menganggap ini sebagai sebuah rutin yang tidak dapat dielakkan,  kepada mereka, kami katakan bahawa dunia ini amat sangat luas. Tidak usah memaksa diri untuk bersama kami.

Bagi golongan mereka yang terlalu sibuk dengan urusan dunia, yang lebih mengutamakan kehidupan dunia daripada akhirat, yang lebih mengutamakan kemewahan dunia tanpa mengambil peduli tentang perintah Allah serta RasulNya dan juga perintah Sheykh mereka, maka cakrawala dunia ini luas terbentang. Kamu bebas mengelilingi ruang dunia yang tak terbatas ini.

Tetapi awas, jangan dilupakan apa yang pernah Sheykh Effendi katakan sewaktu beliau masih hidup. Ya, pada waktu itu beliau sentiasa mengingatkan kita bahawa tali rantai berada dalam genggamannya. Pergilah mengelilingi dunia ini sejauh yang mungkin, nescaya satu hari nanti tali rantai itu akan beliau tarik sekuat hati dan mereka yang masih merayau-rayau pasti akan tercekik dan meronta-ronta kelemasan meminta ruang untuk bernafas. Jika kita fikir bahawa kita bebas melakukan sehendak hati, maka ketahuilah bahawa kita belum melangkah setapak pun ke hadapan dalam perjalanan Tarikat ini.

Apakah kita masih belum sedar bahawa sebagai manusia, kita hanya seorang tawanan yang terperangkap diantara dua helaan nafas? Dan kita terus berdegil dengan kesilapan yang lalu? Kesilapan yang menghanyutkan diri jauh dari Maha Pencipta, dan kita biarkan diri terus hanyut dibawa ombak kelalaian?

Hari silir berganti, dua tahun sudah berlalu sejak pemergian Sheykh Effendi dan kamu terus dilamun kelekaan dan kelalaian. Teruskan dengan cara begini. Semoga berjaya.

lakukan sesuka hatimu

Untuk apa memaksa diri untuk hadir ke majlis kami?

Ternyata kamu tidak bahagia di sini. Pulanglah, kerana kamu lebih suka menghabiskan masa di rumah.

Teruskan makan, minum dan menghabiskan waktu menonton televisyen, mengurus anak-anak,melayani isteri , melayani suami di rumah. Tak usah lagi kamu datang ke mari.

Sesungguhnya keredhaan Allah adalah matlamat kami. Selagi ada nyawa, kami akan berusaha untuk berkhidmat  dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh kepada Allah swt dan RasulNya.

Jika kamu turut menjadikan Allah sebagai tujuan hidup, jika kamu turut mendambarkan kesucian nurani dan kemuliaan sejati dan ingin menghirup kesegaran Iman, sesegar iman mereka yang baru mengucapkan Syahadat, maka kami mengalu-alukan kehadiran kamu ke mari. Ya, ada ruang yang tersedia di dergah ini untuk kamu. Kami sentiasa menyediakan ruang untuk kamu di dunia dan di akhirat.

Tapi, usahlah terlalu sibuk memikirkan tentang soal ruang. Terkadang kita terlalu disibukkan oleh hal-hal yang begitu remeh sehingga kita terlupa untuk memikirkan hal yang lebih besar.  Kita sepatutnya memikirkan tentang tanggung-jawab kita terhadap Allah swt. Kita sepatutnya memikirkan tentang kemampuan diri dalam bertahan ketika menentang tuntutan-tuntutan ego. Kita seharusnya bertanya pada diri sendiri, ‘setahun sudah Sheykh Effendi pergi meninggalkan alam fana, namun ego tetap masih terus memperdayai diri ini.’ Dan kita mulai kecewa terhadap diri sendiri dan  bertekad untuk mengatasi pengaruh nafsu dan mengendalikan ego dengan sepenuh hati. Sekali kaki melangkah ke jalan Allah swt, usahlah kita berundur walau setapak kerana bantuan dari Allah pasti akan datang.

pertolongan dari Allah

Tetapi malangnya, semangat untuk memperbaiki diri tidak kelihatan. Hanya kelemahan yang terlihat di sana-sini. Ramai yang acuh tak acuh, tidak mengambil berat, tidak memberikan perhatian terhadap sambutan hari-hari dan malam-malam yang suci, yang dimuliai oleh Allah swt. Kamu datang pada saat-saat terakhir dan berlengah-lengah masuk ke Dergah ini untuk mengikuti  majlis mengingati Allah.

Ingatlah, kecintaan yang dilakukan oleh seorang manusia kepada Rabbnya pasti akan dibalas dengan lebih baik oleh-Nya. Dia-lah Allah swt., Dzat Yang paling baik di dalam membalas segala kebaikan yang dilakukan oleh hamba-Nya. Oleh yang demikian, apabila kamu mengutamakan Allah serta Rasul-Nya dan Sheykh kamu  atas segala apa yang dilakukan, maka kamu juga akan diberi keutamaan oleh mereka. Kamu akan dianugerahi banyak kemudahan di dalam menjalin hubungan dengan sesama manusia sehingga akan mudah pula bagi kamu dalam memperoleh kebahagiaan.

Tetapi jika kamu hadirkan diri pada saat-saat terakhir ke majlis yang diberkati Allah, kamu memperlekehkan segala urasan Allah, maka kamu juga yang akan diperlekehkan. Allah akan memerintahkan agar kamu dimasukkan ke Syurga pada saat-saat  terakhir. Mungkin juga kamu tidak akan dimasukkan terus ke Syurga kerana kamu harus membersihkan diri dari kekotaran dan dosa-dosa yang  masih berbaki sebelum dimasukkan ke syurga.

Kehadiran hari dan malam yang dimuliakan Allah swt seharusnya dinanti dengan penuh keghairahan terutama sekali dikalangan mereka yang menganggap diri sebagai seorang murid. Sebagai murid dalam perjalanan tarekat ini, khususnya murid yang dibawah bimbingan SahibulSaif, kamu seharusnya lebih kerap hadirkan diri ke Dergah ini untuk bersama-sama meraikan hari-hari yang mulia sebagai jemaah yang bersatu dan tidak bercerai-berai. Tetapi peluang untuk meraih keredhaan Allah swt dan curahan rahmat-Nya serta mengukuhkan ikatan dengan Sheykh kamu langsung dipersiakan. Kamu mengambil sikap sambil lewa. Ibarat Mencurah Air Ke daun keladi, kata-kata mutiara dan nasihat yang seringkali dilantunkan oleh Sheykh kamu sama sekali tidak dipedulikan.  Kamu datang dan pergi  dengan sesuka hati dan mengikut emosi.  Kamu munculkan diri pada saat-saat terakhir dan mengharapkan layanan seperti Raja dan Ratu. Ini jelas menunjukkan prinsip yang paling dasariah dalam hidup kamu.

Jika kamu tidak menyukai kata-kata ini, terserahlah. Tiada paksaan untuk kamu menyukainya.  Mungkin juga kamu akan berkata, ‘ Ah! Dia terlalu banyak bercakap,’ maka usah dipedulikan kata-kata ini. Butakan mata, pekakkan telinga. Anggap sahaja kamu tidak mendengar apa-apa.  Biar saya yang mengambil kata-kata ini buat diri sendiri. Tetapi bagi mereka yang sudi menerima nasihat dan kebenaran, dipersilakan.

Lihatlah kebenaran dengan mata hatimu. Inilah peluang keemasan untuk mencedok lautan ilmu sejati.  Sesungguhnya ilmu sejati  adalah kalam Ilahi yang membawa jalan menuju syurgawi. Andai jalan itu terbuka, cepat-cepatlah merebut peluang untuk insafi diri. Jangan biarkan peluang itu pergi dengan begitu sahaja. Sungguh dalam kerugian besar sesiapa yang memperbuat begitu kerana peluang ini mungkin tidak akan datang untuk kali kedua.

solat 7

Hoja Lokman Efendi, Khalifah bagi Shaykh Abdulkerim el kibrisi (qs) OSMANLI DERGAHI- New York

30hb Jun, 2013

This entry was posted in OsmanliJB. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s