Benarkah Tarikat Naqshbandi Haqqani itu sesat?

BismillahirRahmanirRahim

Soalan : Majlis agama Islam di negeri saya telah mengumumkan bahawa Tarikat Naqshbandi Haqqani telah menyimpang dari ajaran Islam dan sekaligus diisytiharkan sebagai sesat. Saya baru sahaja mengambil Bai’at menerusi seorang Sheykh dari Tarikat ini dan sekarang ini saya menjadi keliru dan sangat terkejut dengan berita sebegini. Adakah ini benar?

three saints

Dakwaan ini sama sekali tidak benar. Sangat mudah, ia tidak benar sama sekali. Mereka yang berfahaman wahabi sudah tentu akan mengatakan bahawa Tasawuf dan Tarikat adalah sebuah perjalanan yang mereka wartakan sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam. Tuduhan yang tidak berasas ini bukan hanya berlaku pada masa-masa kini, atau di negara ini, atau dalam abad ini. Tidak. Tuduhan dan tudingan miring yang dilemparkan terhadap perjalanan Tarikat ini telah berakar umbi sejak berabad lalu dan ianya berterusan hingga ke hari ini.

Sejak zaman permulaan Islam lagi, barangsiapa yang menyebarkan ajaran Tasawuf, Tarikat, atau yang lebih dikenali sebagai jalan keSufian, mereka semua dituduh mengamalkan ajaran yang bercanggah dengan hukum syarak dan langsung dicap sebagai penganut aliran sesat. Seringkali golongan-golongan yang membuat tuduhan-tuduhan yang tidak berasas itu hanyalah di kalangan mereka yang tidak memahami, kerana mereka memiliki kadar keimanan yang tipis lagi lemah.

Biar saya jelaskan dengan lebih terperinci apa yang berlaku. Apabila Nabi Muhammad (asws) wafat, Hazrat Abu Bakar Siddique (ra) yang merupakan sahabat paling akrab dengan Baginda (asws), yang hampir selalu mendampinginya, beliau mempunyai akses kepada lautan ilmu yang dimiliki Nabi (asws). Bukan sekadar memiliki akses, bahkan Rasulullah (asws) juga telah berkata bahawa segala rahsia yang telah Allah tanamkan di hatinya telah beliau curahkan ke dalam hati nurani sahabat karibnya itu.  Segala rahsia telah dicurahkan ke dalam jiwa Abu Bakr as-Siddique. Namun, apabila kita lihat pada koleksi Hadis -Hadis, akan kita dapati bahawa hadis-hadis yang  diberitakan oleh Hz Abu Bakar hanya segelintir sahaja, dan itupun ia hanya menyentuh hal hal tentang Islam dan Syariat. Bagaimana mungkin seorang sahabat yang paling akrab, yang sepanjang hayatnya sentiasa berada di sisi Nabi (asws) dan Nabi sendiri berkata, ‘segala ilmu yang telah Allah tanam ke dalam hati ini, telah saya curahkan ke dalam hati Abu Bakar Siddique,’ bagaimana mungkin sahabat yang terkandung di dalam jiwanya ilmu dan cahaya keRasulan hanya mampu menyebarkan hanya segelintir hadis dari timbunan hadis-hadis yang dinaqalkan daripada Rasulullah (asws)? Di manakah perginya hadis-hadis yang lain? Apakah yang telah beliau lakukan dengan hadis-hadis itu?

Inilah yang sebenarnya terjadi kepada kesemua hadis-hadis itu; beliau telah membakarnya. Sayidinna Abu Bakar telah membakar catatan-catatan hadis miliknya. Putri Abu Bakar, Aisyah bertanya, ‘wahai ayahku, apakah sebabnya maka dibakar segala ilmu pengetahuan yang telah dipelajari ini?’ Bapanya menjawab, ‘jika para sahabat,’ (Ingat bahawa ini adalah zaman Rasulullah, sejurus selepas kewafatan baginda. Kita tidak membicarakan tentang kerajaan wahabbi atau kaum muslim yang biasa seperti kita. Tidak. Kita sedang membicarakan tentang para sahabat e-kiram), dan Hz Abu Bakar berkata, ‘Oh, anakku! Jika para sahabat mengetahui apa yang ayah ketahui, nescaya mereka akan memenggal leher ini.’

sahabii

Para sahabat yang tinggi kedudukannya di sisi Nabi dan mereka juga turut memiliki ilmu kerohanian, seperti  Hz Abu Hurairah, Hz Ali, Hz Osman, Hz Abu Zair dan yang lainnya, mereka tidak termasuk dalam golongan yang dimaksudkan oleh Hz Abu Bakr ini. Mereka yang dimaksudkan itu adalah dari golongan sahabat yang lainnya. Kami tidak akan duduk membuat penilaian  untuk mengatakan, ‘sahabat yang satu ini adalah lebih tinggi, yang satu ini baik, yang ini adalah kurang baik.’ Tidak, kami bukan Syiah!

Kami mengakui bahawa semua diantara para sahabat itu amat diberkati, mereka mempunyai kedudukan yang berbeza-beza dan kita tidak layak untuk berdiri seiringan dengan mereka, apatah lagi untuk menghakimi mereka. Tetapi Hz Abu Bakar telah mengatakan dengan secara terbuka, ‘jika mereka tahu apa yang aku tahu, nescaya mereka akan memenggal leher ini.’ Perkara yang serupa juga dilakukan oleh Hz Abu Hurairah dan beliau turut berkata, ‘jika mereka tahu apa yang aku tahu, mereka pasti akan memenggal leher ini.’ Jadi, apakah maksud yang tersirat disebalik tindakan dua orang para sahabat ini? Apakah ertinya semua ini? Ini semua bererti bahawa jika mereka (para sahabat) tahu apa yang aku tahu, mereka akan mengatakan bahawa aku  sudah terkeluar dari Islam, aku sesat,  dan akibat dari itu mereka akan membunuh diriku ini. Hz Abu Bakar mengatakan demikian. Hz Abu Hurairah turut berkata begitu dan ianya berterusan sejak dari saat itu hingga ke setiap abad yang berlalu. Setiap orang, terutamanya para ulama yang mengaku bahawa diri mereka mengetahui segala-galanya tentang Islam, tetapi zahir Islam, Islam yang hanya di permukaan, mereka tidak mendalami inti ilmu Islam, dan mereka akan berkata, ‘ini adalah Syirik. Ini adalah bid’at. Ini adalah sesat, ini adalah ini, ini adalah itu….’

Imam Ghazali adalah salah seorang pemikir terbesar dunia Islam, Hujjatul Islam (Pembela Islam), sufi saleh yang tersohor. Sebelum berguru dengan seorang guru Tarikat yang Mursyid, seorang Sheykh, dimana beliau sepenuhnya menyerahkan diri kepada gurunya itu, sebelum itu beliau memiliki ketinggian ilmu. Pengetahuannya tentang Shari’at cukup luas dan mendalam. Ilmu Shari’at yang bersifat zahir dan membicara perkara-perkara yang zahir semata-mata. Kami tidak memperlekehkan Shari’at. Shari’at itu penting. Shari’at menetapkan bahawa lelaki Islam wajib menyimpan janggut. Kami semua menyimpan janggut. Shari’at menetapkan setiap lelaki Islam menutup kepala mereka, terutama sekali dengan menggunakan Turban. Kami semua melakukan itu.

Ya, kami semua melaksanakan tuntutan Shari’at sebanyak yang termampu. Namun demikian, kami mengatakan bahawa ia bukan segala-galanya maupun juzuk besar dari ajaran Islam yang sangat luas. Shari’at bukan sagala-galanya tetapi Islam, Islam adalah agama yang syumul (menyeluruh), mencakupi semua bidang kehidupan. Hadis Jibreel  (as) membincangkan tiga asas utama dalam Islam iaitu Islam, Iman dan Ihsan. Iman merangkumi tiga unsur utama, pengetahuan yang mendalam, kepercayaan yang jitu dan keyakinan yang teguh. Ketiga-tiga unsur ini akan membentuk iman yang kukuh yang menjadi tonggak kekuatan ruhaniyah yang cukup kental untuk membina jiwa dan jasmani manusia.

solat 7

Tasawuf Itu adalah Ihsan, dimana manusia mengabdi kepada Allah, seakan-akan kita melihat Dia dan jika kita tidak dapat melihat-Nya, kita yakin bahawa Dia pasti sedang melihat kita. Keindahan sangat terkait dengan Ihsan. Benar bukan? Ihsan mendorong manusia untuk memiliki kesempurnaan hati/akidah, untuk memiliki keikhlasan dan sekaligus ia membawa manusia menuju ke puncak kesempurnaan Iman. Islam adalah agama yang berintikan keimanan dan perbuatan (amal). Keimanan adalah keyakinan, yang dalam Islam wajib dicapai dengan penuh kesadaran dan pengertian. Ihsan (Tasawuf) adalah jiwa iman dan Islam. Ihsan adalah merupakan dari cabang rahsia ilmu pengetahuan para kekasih-kekasih Allah, yang merupakan pewaris Nabi. Mungkin juga mereka adalah dari golongan ulama yang, dengan cara tersendiri, telah mengajar ilmu dengan tujuan untuk menyempurnakan serta mencantikkan Iman manusia. Tanpa memiliki tujuan begitu, ia tidak akan menuju ke tahap kesempurnaan Iman.

Hujattul Islam Imam al-Ghazali, boleh dikatakan adalah seorang yang mengetahui segala sesuatu dan dahaga kepada cabang-cabang pengetahuan. Walaupun sudah bergelar Hujjatul Islam dan menjadi rujukan puluhan ribu penuntut seluruh dunia, beliau mendapati diri beliau belum mendapat keikhlasan dan tiada khusyu dalam Ibadah. Beliau sedang menghadapi krisis keimanan dan melihat dirinya itu tenggelam dalam samudera godaan dan rintangan hingga akhirnya beliau mendapat petunjuk untuk mendampingi ahli-ahli Sufi, duduk bersama-sama mereka yang Salihin dan mempelajari ilmu dari mereka, seperti yang disebutkan di dalam Al Quran. Imam Ghazali mula mendalami ilmu Tasawuff, dari situ beliau dianggap sebagai pembela kebenaran Islam yang terbesar sehingga digelar Hujjatul Islam atau “pembela Islam” dan beliau menulis kitab, ‘Kebangkitan Ilmu-Ilmu Agama, Ihya Ulumuddin’ yang memberi sumbangan besar kepada masyarakat dan pemikiran manusia dalam semua masalah dan menjadi asas yang kukuh bagi Islam, bagi akidah Ahli Sunnah. Tanpa menyelami ilmu Tasauwff, beliau sentiasa akan dilanda keraguan, dan beliau sendiri mengakui, ‘jika tidak kerana masa beberapa tahun yang telah aku luangkan untuk menerima asuhan daripada Ahli Tarikat, Ahli Tasawwuf, maka kehidupanku ini pasti akan ditimpa musibah dan bala bencana.’

yunusemre1

Yunus Emre adalah seorang penyair dan juga seorang darwis yang telah memberi khidmat kepada Sheykhnya selama lebih kurang empat puluh tahun. Tugasnya mudah, hanya mencari kayu di dalam hutan untuk dibawa pulang. Bertahun lamanya Yunus Emre menjalankan tugas itu dengan tekun. Dia tidak pernah duduk dan makan semeja serta bersenda gurauan dengan Sheykhnya. Malah dia juga tidak pernah melakukan zikir bersama Sheykhnya. Dia hanya memberi tumpuan sepenuhnya untuk berkhidmat kepada Sheykhnya. Ini amat berbeza dengan keadaan murid pada masa kini yang langsung tidak ingin memberi khidmat, malah mereka menjadi jemu, jenuh bosan dan mulai merasa rimas dengan kehidupan dergah. Jemu dan bosan dengan kehidupan seharian. Allah, Allah.

Tetapi Yunus Emre, oleh kerana penyerahan diri sepenuhnya kepada Sheykhnya, maka penyerahan itu datang dengan kegembiraan, kecintaan dan keimanan yang teguh dan jitu. Hinggakan setiap kali ke gunung untuk mencari kayu, dia akan berbicara dengan pohon-pohon bunga,  burung-burung, ikan-ikan di kolam dan pelbagai lagi binatang dan tumbuhan di situ. Mereka saling berbicara. Ya, begitulah tingginya Karamat yand dimiliki Yunus Emre hingga satu hari, beliau mula mengarang untaian kata-kata puisi memuji kebesaran Allah swt, memuji Rasulullah (asws), memuji Guru Mursyidnya. Pada satu hari,  Yunus Emre sedang dalam perjalanan jauh bersama dengan beberapa orang para Darwis. Bila malam menjelma, para darwis itu menadah tangan sambil berdoa, ‘Ya Rabbi, hanya kepada Mu kami mampu berserah. Dalam sepinya malam ini kami harapkan uluran tanganMu. Berilah peruntukan kami,’ dan berlakulah satu keajaiban, makanan diturunkan kepada mereka. Yunus Emre dan rakan darwisnya itu mula makan. Alhamdulillah.

Keesokan hari malam, si Darwis bermohon lagi, dan makanan tersedia. Pada malam seterusnya, si Darwis berkata kepada Yunus Emre, ‘Ya Yunus, apa kata kalau kamu pula yang berdoa agar Allah memberi kita rezki pada malam ini.  Allah telah makbulkan doa kami. Kini, tiba giliran kamu pula untuk berdoa. Mudah-mudahan kita akan mendapat sesuatu yang lebih baik.’

Mendengarkan ini, debar jantungnya memukul dada, ketakutan mula bergayut di sudut hatinya. Yunus Emre berkata pada diri sendiri, ‘mereka semua adalah murid dan para darwis yang memiliki kedudukan derajat yang tinggi di sisi Allah, sedangkan aku hanya seorang murid yang biasa-biasa sahaja. Oh, apa yang patut aku lakukan sekarang?’ maka Yunus Emre pun menadah tangannya dan berdoa, ‘Ya Rabbi, demi Awliyah Allah yang para Darwis itu pohon dariMu,’ Perlu diketahui disini bahawa para Darwis tidak pernah secara langsung bermohon kepada Allah.  Mereka juga tidak pernah bermohon secara langsung kepada Rasulullah (asws). Mereka selalu meminta kepada Allah dengan (perantaraan) kedudukan para nabi atau kedudukan seorang wali dari wali-wali Allah.

yunus emre

Maka Yunus Emre menadah tangan, ‘Ya Rabbi, demi Awliya Allah yang mereka (si darwis itu) pohon dariMu, demi Awliya Allah yang sama itu, Kau berikanlah sesuatu untuk kami pada malam ini.’

Sebaik sahaja selesai berdoa, langit terbuka luas dan dengan serta merta, meja yang dipenuhi makanan dari Syurgawi turun dari langit. Para Darwis semua terpegun dengan keajaiban dan keramah yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Dan mereka pun berkata, ‘kamu mestilah seorang Awliyah yang besar kerana Allah telah mengurniakan sesuatu yang menakjubkan kepada diri kamu.’

Tanpa berlengah, mereka makan makanan yang tersedia itu. Apabila selesai makan, mereka bertanya Yunus Emre, ‘bolehkah kamu beritahu kami, perantaraan wali Allah yang mana satukah kamu mohon hinggakan Allah memberi begitu banyak sekali?”

Yunus Emre adalah seorang yang jujur.  Dia sendiri tidak tahu wali Allah yang mana satu yang dijadikan sebagai perantaraan dalam doanya itu, kerana dia tidak tahu nama wali Allah itu. Sewaktu membuat dua, Yunus Emre hanya berkata, ‘si darwis itu memohon padaMu dengan perantaraan seorang wali Allah. Aku tidak tahu wali Allah yang mana satukah itu. Tetapi demi wali yang sama itu, kau perkenankanlah doaku ini.’ Maka berkatalah Yunus Emre, ‘sebelum menjawab soalan itu, bolehkah kamu semua memberitahuku nama wali yang kamu gunakan sebagai perantaraan dalam doamu itu?’  Mereka pun menjawab, ‘ baiklah. Kami pernah diberitahu tentang seorang Awliya yang derajatnya amat mulia di sisi Allah.  Kami belum pernah bertemu dengannya. Tetapi sewaktu berdoa, kami mohon kepada Allah demi Awliya itu yang bernama Yunus Emre.’ Dan kedua-dua darwis itu tidak tahu bahawa mereka sebenarnya sedang bersama Yunus Emre di sepanjang perjalanan itu. Apakah yang telah dilakukan Yunus Emre hingga beliau mendapat derajat yang sangat tinggi di sisi Allah swt?

Kerana dia memberi penyerahan diri yang sepenuhnya. Penyerahan bererti menyerah jiwa-raga untuk dicatur dan dipimpin oleh guru mursyid. Apa saja arahan dan kehendak mursyid, sama ada yang baik dan yang tidak baik, yang manis dan yang pahit, yang mudah dan yang sukar, sama ada mawar merah atau pun duri-duri yang diberi, itulah yang akan diterima dan dilakukan oleh si murid. Ketaatan itulah jaminan keselamatan dunia akhirat untuknya. Sekalipun apa yang Mursyid lakukan padanya sesuatu yang amat pedih, sakit atau memalukan pada pandangan orang lain, tetapi itu semua tidak mencacatkan hatinya. Lintasan yang masuk ke hati kalau berlaku sekalipun, segera ia menepis dan mendoakan perlindungan dari Tuhannya.

Percintaan Yunus Emre dengan Mursyid sangat eksklusif, sangat istimewa. Dia dapat merasa buah yang manis dan lazat hasil percintaannya itu. Dan dia mula menulis puisi memberi puji-pujian pada Nabi (asws), puji-pujian pada Sheyknya dan puji-pujian kepada Awliya Allah. Begitu mendalam sekali apa yang dikaryakan Yunus Emre sebagai luahan hati, bisikan rindu yang mendayu, hinggakan apabila puisinya itu dibaca oleh orang-orang biasa, dengan serta mertanya mereka akan berkata, ‘ini adalah salah! Ini adalah syirik!’ Namun Yunus Emre tetap menulis walaupun tanpa adanya dukungan orang ramai.  Malah, beliau menulis beberapa perkara yang tertentu, yang di kemudian harinya ramai orang mendapati segala apa yang ditulis itu adalah benar belaka.

Setelah beberapa tahun berselang, ada seorang Mullah, kamu tahu apa itu Mullah? Ia adalah satu gelaran yang biasa diberikan kepada seorang tokoh agama Islam yang seringkali mempunyai cetek ilmu kerohanian. Si Mullah itu bertugas di sebuah perpustakaan yang menyimpan puisi-puisi karya asli Yunus Emre. Pada suatu hari, dia mengambil sebuah puisi tulisan Yunus Emre, membacanya dan terus berkata, ‘Apakah erti semua ini? Memberi puji-pujian yang terlalu tinggi pada Awliya-Awliya Allah!  Mengatakan semua ini mengenai manusia-manusia biasa? Memberi puji-pujian yang tinggi dan sifat-sifat yang tinggi kepada manusia biasa? Ini semua syirik! Ini sesat!’

Maka si Mullah itu mengambil semua karya-karya Yunus Emre, dan sambil duduk di tebing sungai, dia membaca puisi-puisi itu dan berkata, ‘Ini adalah Syirik!” sehelai demi sehelai, puisi itu dikoyakkan dan dicampakkan ke dalam sungai. Dia baca dan terus membaca sambil berkata, ‘Oh yang ini juga syirik!’ ‘Oh! ini syirik yang lebih dahsyat!’ dikoyakkan terus puisi-puisi itu. Ratusan, malah ribuan karya puisi Yunus Emre dicampakkan ke dalam sungai. Akhirnya dia tiba ke sebuah puisi dan mula membacanya. Puisi itu berbunyi, ‘Wahai Mullah Kassim, puisi ini ku tulis khas buat kamu, kamu yang sedang duduk di tebing sungai itu sambil membuat penilaian sendiri tentang tulisan ku.  Tegarnya kamu mengatakan aku melakukan syirik!’

Dengan serta merta, akibat terkejut, si Mullah itu mencampakkan buku yang dibacanya dan berkata, ‘Astaghfirullah. Astaghfirullah. Apa yang telah aku lakukan? Betapa mulianya kekasih Allah ini hinggakan beliau dapat berbicara dengan ku selepas bertahun-tahun dia meninggalkan dunia ini. Astaghfirullah.’ Namun semuanya sudah terlambat. Puisi-puisi yang hilang tidak dapat diselamatkan. Awliya Allah berkata, ‘semua puisi dan Ilahi hasil karya Yunus Emre telah hanyut dibawa oleh arus lautan, dan ikan-ikan di lautan luas kini sedang melantunkan kalam Ilahi tulisan Yunus Emre.

seaII

Yunus Emre sangat dipuji oleh Jallaludin Rumi (qs). Hazreti Rumi mengatakan, ‘setiap kali aku menjejakkan kaki ke satu derajat (peringkat) yang tinggi, kelihatan di situ bekas tapak kaki Yunus Emre . Setiap kali aku melangkah ke derajat yang lebih tinggi, bekas tapak kaki Yunus Emre sentiasa kelihatan di mana mana.’

Wahai kaum Muslimin, jelas kelihatan disini betapa Ahli-Ahli Tarikat selalu disalah mengerti dan dijadikan sasaran fitnah  Mereka sentiasa dilabel sebagai sesat dan tersasar dari landasan Islam. Tetapi semuanya sudah jelas dan nyata. Jika kamu dapati sesebuah kumpulan itu berusaha bersungguh-sungguh mengamalkan dan melaksanakan hukum shari’at, lalu dia melaksanakan atau beramal dengan ilmu shari’at tersebut, maka itulah yang diertikan dengan Tarikat.  Mereka itu tidak sesat kerana itulah jalan yang dilalui oleh Rasulullah (asws) dan para sahabat serta tabiin dan orang di zaman salafussoleh. Jika mereka hanya membawa ilmu Tarikat tanpa Shariat, maka harus diletakkan tanda tanya yang besar di situ. Bagi mereka yang membawa kedua-duanya, maka akan lahirlah manusia yang ingin sentiasa bertaqarrub kepada Allah. Akan lahirlah manusia yang akan menunaikan titah perintah Allah, dalam dirinya, keluarganya, masyarakatnya dan seterusnya di dalam ummahnya.

Adakah kita membawa kedua-duanya? Alhamdulillah, dengan berkat Sheykh kami, itulah yang sedang dilakukan. Adakah kita mendapat kritikan dari orang ramai? Ya. Dari kedua-dua belah pihak; “Mengapa kamu terlalu banyak melakukan zikir? Mengapa kamu terlalu banyak mengenakan pakaian sunnah? Mengapa begini, mengapa begitu?…” itulah soalan-soalan dan kritikan yang sering dilontarkan kepada pihak kami. Ya, dari kedua-dua belah pihak mereka menyerang dan menuduh itu dan ini. Tidak mengapa. Usah biarkan diri dikelirukan oleh tuduhan-tuduhan yang tidak berasas. Harus kamu sedari bahawa pada masa masa kini, terutama sekali dalam soal agama, jika ianya diberi kelulusan yang rasmi dari kerajaan maka ketahuilah bahawa mereka itu adalah pegawa-pegawai Ahir Zaman yang mempunyai agenda yang tersendiri. Maka harus kita letakkan tanda tanya yang besar di situ.

Jika pihak media massa memberi pengesahan secara rasmi kepada kamu, maka harus diletakkan tanda tanya di sana. Jika dunia mengiktirafi kamu, Media Massa dan media elektronik menyokong segala aktiviti yang dijalankan dan turut memberi dorongan dalam mempromosikan aktiviti kamu, maka harus ada tanda tanya besar yang menggelayut di benak fikiran itu. Kerana musuh-musuh Islam baik dulu mahupun sekarang menyadari hakikat mutlak bahawa Allah swt pasti akan memenangkan umat Islam atas semua agama dan  oleh disebabkan itu  mereka akan senantiasa berusaha membasmi, menghancur  atau melemahkan kaum muslimin.  Jika musuh-musuh Islam memberi sokongan padu kepada kamu, pasti ada sesuatu yang tidak kena.

Wahai orang-orang yang beriman, usahlah keliru. Lihatlah dengan mata hati kamu kerana mata hati itu tak pernah buta. Haq itu sifatnya tinggi, sentiasa terjulang di pundak para pejuang. Menggenggamnya bagai menggenggam duri, menjunjungnya bagai menatang api. Apabila Haq tuntas di minda, keadilan tersulam di jiwa, kepalsuan yang terhegeh membina megah akan direntap kebenaran yang menugu tulus. InsyaAllah ar-Rahman,  kami hanya sedang berusaha untuk menjadi hamba Allah yang rendah hati, yang ikhlas.

shahadat

Wa MinAllahu Taufiq

Bi Hurmatil Habib, Bi Hurmatil Fatiha

Sheykh Lokman Efendi Hz, Khalifah kepada Shaykh Abdulkerim el Kibrisi (qs) OSMANLI DERGAHI- New York

December 5, 2013

 

This entry was posted in OsmanliJB. Bookmark the permalink.

3 Responses to Benarkah Tarikat Naqshbandi Haqqani itu sesat?

  1. Edy Moin says:

    Astaqfirullah alazim.. alhamdulillah.

  2. Aliah says:

    Alhamdulillah. memahami dan terjawab semua persoalan.

  3. nizam ahmad says:

    Assalamualaikum..sesudah sy membaca tulisan ini..hampir terjawab sudah rasanya persoalan mengenai kedudukan aqidah kumpulan tarekat naqshabandi al haqqani ini agak bertentangan dari tuntunan2 Rasulullah SAW..semoga Allah memelihara hati dan perbuatan kita dari mengadakan sesuatu hal yg menyimpangi jalan menuju redho Allah SWT..maha suci Allah dari hal2 yg syirik..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s