Ummat ini sedang dalam kesakitan dan diambang maut, di manakah doktor kami?

BismillahirRahmanirRahim

rabiul awal

RabiulAwwal Mubarak. Semoga sepanjang hari-hari yang mendatang di bulan mulia ini akan  diberkati, InsyaAllah. Walaupun apabila kita melihat keadaan dunia masa kini, keberkatan sudah lama lenyap ditelan bumi. Semakin hari, dunia semakin tenat. Saban hari dunia ini dipenuhi dengan penderitaan, kezaliman, permusuhan, kerakusan dan pelbagai bencana alam yang melanda silih berganti.

Semua ini adalah angkara perbuatan kita sendiri. Segala bentuk penindasan, penyeksaan, kemiskinan, malapetaka dan bencana alam, adalah disebabkan oleh perbuatan kita sendiri. Jangan kita menuding jari menyalahkan takdir dan fenomena alam semulajadi atas apa yang berlaku. Kita sendiri yang telah mencemari alam sekitar dengan sikap tidak bertanggungjawab, dan ini menyebabkan keseimbangan alam semakin tergugat. Dan kini kita harus menanggung kesan buruk akibat dari sikap sambil lewa dan mementingkan diri sendiri. Lantaran itu di manakah keberkatan yang sepatutnya kita peroleh daripada bulan yang mulia ini?

Usah sesekali dilupai, orang yang beriman itu ibarat satu badan. Rasulullah (asws) telah bersabda, “Perumpamaan kaum Mukminin dalam kecintaan mereka, kasih sayang mereka, dan keakraban mereka seperti satu badan. Jika salah satu anggota badan sakit, maka untuknya seluruh anggota badan tidak bisa tidur, dan demam.”

Di manakah orang-orang yang beriman pada hari ini? Di manakah mereka ketika umat ini sedang tertindas dan menderita sakit tenat? Seluruh anggota tubuh badan sedang meraung dan merintih kesakitan, kehidupan umat Islam sedang ditekan dan ditindas dan didiskriminasi secara teruk, dan kini umat ini sedang sengsara di ambang maut.

Siapakah mereka yang terluka oleh semua ini? Siapakah yang sedang dalam kesakitan? Dan siapakah pula yang sedang berusaha untuk menyembuhkan luka, mengurangkan kesakitan serta bersungguh-sungguh mencari penyelesaian, memperbaiki keadaan menjadi lebih baik seperti sediakala?

Penawarnya bukan di tangan kita. Satu hakikat yang perlu kita sedari, penawarnya tidak akan datang dari diri kita sendiri. Ia akan datang dari atas. Apabila kamu sakit, kamu tidak perlu membuat penyelidikan sendiri untuk menemui penawar bagi penyakit itu. Tidak. Kamu hanya perlu melakukan pemeriksaan ke doktor untuk mengetahui diagnosis penyakit tersebut. Dan doktor akan memberitahu, ‘Ya, kamu sedang sakit.’ Seorang doktor yang baik akan menerangkan dengan terperinci, ‘ini adalah punca penyakit kamu dan ini adalah langkah-langkah yang perlu diambil untuk menyembuhkan penyakit kamu. Saya akan memberi ubat. Tetapi kamu harus merubah gaya hidup demi kesihatan tubuh badan.’ Benar bukan?

Kini, seluruh tubuh badan ummat ini sedang kesakitan dan diambang maut, di manakah doktor kami? Di manakah mereka?

Apa yang saya maksudkan di sini bukanlah mereka yang bergelar Negarawan dan ahli Politik yang kesemuanya korup dan tidak boleh dipercayai. Bukan mereka yang saya maksudkan. Saya kini sedang berbicara tentang mereka yang mengakui diri sebagai doktor pengubat Qalbu. Mereka yang bergelar Alim dan Ulama. Di manakah mereka? Sheykh-Sheykh dan Imam-Imam negara, dimanakah mereka? Apa yang telah kamu ajari? Apa yang telah kamu sampaikan? Apa yang sedang sibuk kamu lakukan di saat umat masih, sedang dan terus menderita?

Sekurang-kurangnya mereka harus berkata, ‘Ini adalah punca panyakit yang sedang kamu hadapi. Kamu sedang sakit! Ayuh bangkit. Sesungguhnya kamu itu sedang tenat sakit.’

Hoja1 (3)

Tiada gunanya kamu menghidangkan makanan yang lazat dan enak kepada orang yang sakit. Ia tidak akan dapat membantu mereka. Tiada gunanya kamu membelikan pakaian yang mahal dan cantik untuk mereka yang sedang sakit menderita. Semua ini tiada makna lagi bagi mereka. Begitu juga jika kamu berkata kepada orang yang sakit, ‘kamu harus menghafal isi seluruh Al-Quran.’ Ya, memang ini adalah satu amalan yang baik, tetapi dia sedang sakit! Sungguhpun kamu berkata, ‘Aku akan melengkapi segala keperluan hidupmu. Akan ku tunaikan segala permintaanmu.’ Tetapi semua itu tidak bermakna lagi, kerana orang itu sedang sakit. Dia tidak boleh menikmati segala sesuatu pun.

Jadi sekarang, apakah yang sedang dilakukan para Imam dan Sheykh–Sheykh?

Apakah mereka, terutama sekali pada masa dimana dunia kini sedang sarat dengan malapetaka dan bencana alam, apakah mereka sedang sibuk untuk mengenal pasti penyakit yang sedang melanda ummat. Adakah mereka sibuk dengan itu?

Tidak!

Mereka sibuk dengan fitnah dan penyebaran fitnah. Tanpa henti mereka mempersoalkan kekuasaan dan kedudukan, ‘Engkau itu Siapa? Aku ini Siapa?’ ‘ Ini adalah Aku! Itu adalah engkau.’ Sibuk dengan semua itu! Sibuk mengurusi urusan remeh temeh di saat ummat ini sedang lemah dan berpecah. Seluruh ummat harus diberi amaran. Seluruh ummat harus diberi peringatan, ‘Kamu sedang sakit. Sudah lama kamu menderita kesakitan ini.’

Sebab utama kamu jatuh sakit adalah kerana kamu telah memisahkan kepala dari badan. Dan kini kamu sedang hidup tanpa kepala. Kepala yang dimaksudkan ini adalah Khalifah kita. Kamu telah memisahkan diri darinya. Inilah sebab mengapa kamu sedang menderita sakit berpanjangan. Oh, dimanakah akan kita dapati Imam atau Sheykh yang akan menyentuh tentang persoalan ini? Tidak ada. Tiada sesiapa pun diantara mereka yang ingin membicarakan tentang hal ini. Setidak-tidaknya mereka harus memberi amaran dan berkata, ‘Bangkitlah wahai ummat manusia. Kamu sedang sakit. Bangkitlah segera kerana Dajjal yang sedang sibuk menubuhkan,’ hmm,  di sini saya tidak mahu menggunakan istilah Kerajaan, ‘Dajjal telah menubuhkan sistemnya di sini. Sekian lama Dajjal telah melakukan suatu perancangan rapi untuk menubuhkan sistemnya, kini sistem dajjal telah memperoleh kekuasaan yang cukup di seluruh dunia. Nilai-nilai Dajjal telah mendominasi segenap lini kehidupan ummat manusia dewasa ini. Bangkitlah segera dari sistem dajjal ini wahai ummat Manusia!’

Ya, mereka begitu ghairah apabila diperlihatkan sesuatu yang mempunyai sedikit unsur-unsur mistik dalam filem-filem seperti Matrix dan sebagainya. Dengan penuh keghairahan, ramai yang akan memberi ulasan dan berkata, ‘Oh ini adalah kesufian. Hakikat kesufian wujud di dalam filem ini.’ Tetapi, apabila berhadapan dengan realiti yang menyentuh tentang kehidupan kita yang nyata ini dan bagaimana untuk melepaskan diri dari belenggu kehidupan, mereka tidak ingin mengambil peduli. Mereka tidak berani untuk menyuarakan suara hati. Kerana mereka telah menjadi sebahagian daripada sistem itu. Kerana sistem itu telah membantu membiayai kebutuhan hidup mereka. Mereka telah dibayar oleh sistem itu. Mereka sepatutnya menyentuh tentang persoalan ini.

fitnah dunia

Bagaimana kamu jatuh sakit?

Persekitaran kamu. Mereka harus memberi amaran dan peringatan, ‘Wahai Ummat manusia, inilah sebab kenapa kamu jatuh sakit; Semuanya berasaskan perbuatan kamu sendiri.’ Malangnya semua ini tidak dilakukan. Kebanyakkan mereka sedang sibuk membicarakan tentang perpaduan ummah. Perpaduan, perpaduan, perpaduan. Perpaduan tidak akan membawa sebarang erti jika kamu tidak berpadu atas dasar Haqq, jika kamu hanya berpadu atas dasar bola sepak. Apakah kebaikan yang boleh didapati dari perpaduan yang begini? Ternyata perpaduan yang dicanang adalah hampas kerana ianya berlegar pada tuntutan ego. Adalah lebih dashyat dan menyedihkan jika kamu berpadu di atas dasar kebencian. Jadi apakah asas perpaduan ini?

Khilafat harus wujud.  Suatu masa dahulu, kita pernah hidup sejahtera bersatu padu di bawah naungan Khalifah. Sekarang ini kamu juga ingin mewujudkan perpaduan yang sebegitu?  Jalan penyelesaiannya  sama. Tidak perlulah kamu berfikir panjang dan mengeluh, ‘Oh Apakah yang perlu dilakukan kini? Apakah jalan penyelesaiannya?’

Penyelesaian telah pun diberikan seribu empat ratus tahun yang lalu, dan selama seribu tiga ratus tahun kita memiliki penyelesaian itu. Kita telah menjalani kehidupan ini berpandukan penyelesaian itu dan ianya berterusan hingga membawa kita ke arah kejayaan dunia dan akhirat. Jadi mengapa harus kita mencipta semula sesuatu yang baru?

Huh! Semua ini tidak mereka hiraukan. Mereka tidak memberitahu umat yang sedang menderita bahawa mereka sakit sebenarnya, dan penyakit yang dihidapi ini akan bertambah melarat, dan penyakit ini tidak lain adalah akibat perbuatan mereka sendiri.

Mereka tidak memberi jalan penyelesaian.  Mereka hanya sibuk menjual minyak kepada kita semua.  Minyak Ular.  Minyak ular? Ya, minyak ular. Mereka mengumumkan, ‘Oh, jika kita semua mempunyai pendidikan yang tinggi, kita semua akan bersatu padu. Lebih baik lagi jika kita mempunyai PHD…’ Pernah sekali saya menemui seorang Sheykh, dan dia berkata, ‘Jika menurut kehendak saya, akan saya mewajibkan seluruh umat Islam untuk memperolehi PHD.’  Itukah jalan penyelesaiannya? MashAllah. Penyelesaian cara Yahudi.

Jadi sedarlah wahai umat Islam. Bulan Rabi’ul Awal merupakan bulan yang sangat mulia bagi kaum muslimin. Limpahan rahmat dan barakat daripada Allah swt tidak pernah terputus di bulan ini. Namun kita yang membiarkan diri dibelenggu kejahilan, telah menyekat turunnya barakat. Ketahuilah bahawa di mana terdapat cahayu Nur, Nar tidak dapat meresapi. Malangnya kita tidak mengumpul Nur untuk diri sendiri. Itulah sebab maka Nar sentiasa datang bertandang dalam kehidupan kita. Kita tidak menjalani kehidupan sebagai ahli Nur, kehidupan yang menuruti cara hidup si pemilik cahaya di atas cahaya, iaitu Rasulullah (asws). Hmm, sekarang akan terdapat pihak-pihak yang tidak menyetujui dan mereka akan berkata kepada saya, ‘apa yang kamu maksudkan? Ayat al-Quran itu mengatakan cahaya di atas cahaya dan kini kamu katakan bahawa ia adalah Rasulullah?’

Bukankah Rasulullah (asws) sendiri pernah berkata, ‘sebelum sekalian alam ini di ciptakan, Allah swt ciptakan cahaya ku (Nur Muhammad) dahulu.’ Jadi janganlah bersikap bodoh sombong dan menunjukkan kejahilan diri sendiri. Usah bersikap serkap jarang dan tuduh melulu. Duduk dan renungkan kata-kata ini terlebih dahulu.

maulid @ Osmanli

Kita kini berada di bulan Maulidur Rasul, Bulan yang sangat dimuliakan dengan datangnya sang pembuka pintu kegelapan, dan bersamanya diturunkan limpahan barakat yang tidak terkira banyaknya. Tetapi kita telah menangkis kedatangan rahmat dengan meletakkan perisai api di sekeliling kita. Maka Barakat tidak akan turun menyentuh kita. Kerana jika hidup ini dihujani limpahan barakat, sudah tentu ia akan merubah segala-galanya.  Benar bukan? Tetapi kita sendiri yang telah menyekat kedatangan barakat dengan kedegilan, dengan segala macam penyakit diri, dengan perbuatan mungkar.

Ya, ummat ini sedang menderita  sakit tenat. Saban hari ummat ini berada dalam kesakitan yang amat. Merek-mereka yang mempunyai suara harus berbicara dari sudut Haqq. Mereka harus mengingatkan Ummat.

Bagi pihak  yang tidak bertanggungjawab, pihak yang sentiasa keliru dan mengelirukan, mereka akan terus sibuk dengan perkara-perkara yang lain. Mereka sibuk dengan cinta dan kasih sayang. Mereka kerap membicarakan soal cinta, seolah-olah mereka itu datang dari Syurga. Kekerapan mereka  menyentuh tentang soal cinta memberi gambaran seolah-olah ke mana jua mereka pergi, ia akan bertukar menjadi sebuah taman syurga. Tetapi ini tidak berlaku. Kerana mereka sebenarnya wujud dari sarang ular beludak dan mereka membuat sarang-sarang ular dan kalajengking di merata daerah. Mereka hanya sibuk menyebarkan Fitnah dan kekeliruan.

Siapakah yang memiliki cinta? Siapakah yang pertama dan harus dijadikan teladan dalam memiliki cinta sejati? Siapa? Sahabat e-Kiram. Cinta para Sahabat kepada Rasulullah (asws) adalah cinta agung . Kita mesti mencontohi mereka. insyaAllah.

Semoga Allah mengampuni saya. Kata-kata ini agak berat untuk diterima tetapi inilah hakikatnya. Usahlah kita tersesat jalan.  Usah kita dihanyut terus lalu menyimpang ke lubuk hitam. Kita kini hidup dalam keadaan yang serba mewah. Semuanya senang dan mudah didapati. Jangan sesekali kita manganggap hanya kerana kita boleh duduk dan menghadiri Maulidur Rasul kita telah mencapai tahap keimanan yang tinggi. Ini tidak benar. Kita belum diuji.

Baru-baru ini ada seseorang yang menceritakan kepada saya mengenai kehidupan orang-orang yang tinggal di Afghanistan, di Timur Tengah dan di China. Dia berkata, ‘Ya, ada penduduk yang tinggal dalam keadaan yang sangat sukar di atas gunung di sana. Mereka tidak memiliki apa-apa. Mereka tidak mempunyai bekalan makanan. Mereka tidak mempunyai pakaian. Tetapi mereka memelihara keimanan yang kukuh, dan mempunyai harapan yang besar untuk kehidupan akhirat.’ Itulah mereka yang mempunyai cinta dan cinta itu telah diuji. Bukan kita. InsyaAllah, semoga Allah tidak menguji kita. Tetapi kita tidak boleh terus leka dan alpa.

maulid

 WaminaAllahu Taufiq. Al-Fatiha.

 Sohbet oleh Hoja Lokman Efendi Hz, Khalifah kepada Shaykh Abdulkerim el Kibrisi (qs) * OSMANLI DERGAHI- New York

 December 26, 2014

This entry was posted in OsmanliJB. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s