Apabila Ummat Menolak Bayangan Allah Di Bumi

BismillahirRahmanirRahim

 Medet Ya SahibulSaif Sheykh Abd Kerim Effendi Hz. Medet.

khutbah

Ayyuhal Mukminun. Wahai orang-orang yang beriman! Selamat datang kepada kamu di hari Jumaat yang penuh dengan kemuliaan serta keberkatan ini.  Selamat datang  kepada kamu di mana pada hari ini, kita telah memasuki tanggal 22 Jumadiul Awwal 1436 Hijri. Selamat datang kepada kamu kerana kita hanya tinggal kurang  40 hari sebelum ketibaan bulan Rajab Shahrullah yang sangat dimuliakan Allah swt. Orang yang beriman wajib mempersiapkan diri untuk memasuki bulan yang agung ini. Mereka harus terus-menerus meneguhkan keimanan diri dan sentiasa berusaha untuk memastikan kehidupan mereka bermatlamat dan mempunyai arah tuju yang jelas.

Wahai orang-orang yang beriman! Allah (swt) berfirman dalam Surah Aal-e-Imran: “BismillahirRahmanirRahim. Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali(agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai. Dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya.” Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk. Dan Rasulullah (asws) bersabda dalam satu hadis bermaksud: “Umat Islam merupakan umat yang unik, yang mempunyai keistimewaan dan kelebihannya dibandingkan umat-umat yang lain. Tanah mereka satu. Perjuangan mereka satu. Keamanan mereka satu. Kehormatan mereka satu dan kepercayaan mereka satu.” Dan Rasulullah (asws) bersabda lagi dalam sebuah Hadis Sharif, “Perumpamaan kaum mukmin dalam kasih sayang dan belas kasih serta cinta adalah seperti satu tubuh. Apabila matanya sakit, seluruhnya ikut merasakan sakit. Dan apabila kepalanya sakit, maka seluruhnya ikut merasakan sakit”.

Dan Hazreti Umar (ra) mengatakan, ‘‘sesungguhnya kami adalah seburuk-buruk, sehina-hina manusia, dan Allah telah jadikan semulia-mulia manusia di dunia ini adalah kerana agama. Jika kami memilih jalan selain dari jalan Allah swt muliakan kami dalam Islam, maka pasti kami tidak akan dapat kejayaan bahkan kami akan dapat kehinaan.”

beyatt

Wahai umat Islam abad Ke-21. Kita harus melihat keadaan kita dengan sejujurnya. Lihatlah keadaan umat Islam disekeliling kita. Lihatlah kebenaran dengan mata hatimu karena mata hati itu tak pernah bisa berdusta. Lihatlah dunia nan luas ini dengan mata hati, nescaya kamu akan ketahui betapa umat ini telah jatuh ke tahap yang paling hina sejak zaman permulaan Islam. Mengapakah harus terjadi situasi yang amat memilukan ini?

Jawapannya tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kita sebagai umat Islam telah melepaskan tali Allah.  Kerana umat Islam kini hidup berpecah belah mengikut kumpulan tertentu, ta’asub kepada kepimpinan tertentu sehingga tidak dapat menilai kebenaran dan kepalsuan. Kerana tanah Islam dibahagi-bahagikan mengikut sesuka hati. Kerana perjuangan kita tidak lagi memiliki kekuatan dan ia mulai runtuh akibat perpecahan dan perbalahan sesama kita. Kerana nikmat keamanan diruntuhkan. Kerana maruah kita dirobek-robek. Karena keyakinan dan kepercayaan kita kini semakin berbelah bagi. Kerana umat Islam kini bukan lagi tubuh yang satu – anggota tubuh umat ini telah dikerat dan dicampak di merata tempat: dari timur ke barat, utara ke selatan. Mengapakah begini jadinya? Apakah yang sedang berlaku kepada umat ini?

Hz Umar el-Faruk, Imam bagi lembaga kehakiman dan peradilan, telah berkata, ‘orang-orang Islam meninggalkan agama mereka dan memiliki kecenderungan yang kuat terhadap dunia, dan mereka  memandang kepada kemuliaan dalam selain daripada apa yang telah diberikan kepada mereka oleh Allah (swt).’ Apa yang telah diberikan oleh Allah swt kepada umat Islam yang telah memberikan kemuliaan kepada kita? Apa yang telah kita ketepikan sebagai umat Islam  hingga akhirnya menjerumuskan kita ke lembah penghinaan ini?

Rasulullah (asws) telah bersabda, “Sultan adalah bayangan Allah di bumi. Yang lemah berlindung dengannya, yang tertindas diberi kemenangan olehnya. Barangsiapa yang menghormati sultan Allah Subhana wa Ta’ala di dunia maka Allah akan memuliakannya di hari kiamat.” Dan Faruk el-Azam telah berkata, ‘ Takuti dan taati Allah sehingga hari kiamat, seolah-olah kamu melihat-Nya. Taati Raja kamu biarpun seorang hamba sahaya dari Abyssinia yang memimpinmu: Jika dipukulnya, bersabarlah. Jika dirompaknya, bersabarlah. Jika kamu diperkecilkannya, bersabarlah. Jangan sekali-kali meninggalkan Jemaah Umat Islam yang utama lagi mulia.”

Umat Islam seluruh dunia hari ini ibarat kain buruk atau debu-debu yang berterbangan yang tidak ada harga satu sen pun atau ibarat buih-buih di laut yang dipecah belahkan oleh ombak laut. Itulah yang sedang berlaku pada dunia Islam hari ini. Akibat dari itu umat Islam menjadi hina dan ia mengalami keruntuhan dan kehinaan di mana-mana. Keadaan ini menjadi bualan malah kegembiraan kepada musuh-musuh Islam. Antara punca utama kepada kemunduran, kemerosotan dan kehinaan yang dialami oleh umat Islam hari ini adalah kerana kita telah kehilangan suatu anugerah Allah yang paling berharga. Ya, kita telah kehilangan Khalifah yang dapat membimbing  umat ini kepada jalan Allah swt. Kita telah menolak bayangan Allah swt di bumi. Ummat ini telah berkata dengan sebulat suara bahawa kita tidak memerlukan Pemimpin yang benar, yang amanah dan bertanggungjawab. Kita tidak ingin berada di bawah perintah Pemimpin yang juga adalah cucunda kepada Rasulullah (asws). Dan amat menyedihkan sekali apabila kita melihat umat Islam  mencari kemuliaan, penghormatan, dan perhatian dari orang-orang kafir, walaupun telah diketahui bahwa kekuasaan yang terbesar hanya milik Allah swt.

Sejak saat itu umat ini mulai tenggelam. Umat Islam di merata negara ditaburi dengan realiti kehidupan yang telah menyimpang jauh daripada ajaran Islam yang asal dan yang diperintahkan oleh Allah swt. Peradaban dan tradisi Islam sudah semakin menipis. Umat Islam semakin dihimpit dengan pelbagai masalah hidup dan pelbagai anasir yang boleh menggugat keyakinan dan keimanan mereka.

Jika direnungkan secara mendalam akan tampak bahwa semua permasalahan yang menimpa umat Islam di seluruh dunia ini adalah berakibat daripada perpisahan Khalifah sebagai kepala umat dari tubuh umat Islam. Maka dalam kedudukan umat Islam yang lemah ini, apa yang boleh kita lakukan?

Sheykh kami, SahibulSaif berkata, ‘segala apa yang telah berlaku kepada umat Islam, apakah puncanya? Jawapannya tidak lain ialah kerana kita telah memisahkan diri dari Allah. Lebih dari seratus tahun yang lalu, kita telah bangkit menentang pemerintah yang telah Allah kirimkan kepada kita: Khalifah.  Kita telah bangkit dengan penuh semangat untuk menjatuhkan Khalifah. Seluruh bangsa dan negara-negara Islam bangkit bersatu untuk melenyapkan Khalifah. Dengan sebulat suara mereka berkata, ‘Kami tidak inginkan pemerintahan Khalifah. Kami tidak inginkan lagi undang-undang seperti ini! Undang-undang apakah ini? Hapuskannya! Biarkan kami sahaja yang menggubal undang-undang sendiri.’

Huh! Lihatlah apa yang telah berlaku pada umat Islam kini? Perkara-perkara yang tidak pernah dijangka akan berlaku, sedang melanda kehidupan dan pemikiran umat ini saban hari. Gejala sosial yang melanda umat Islam hari ini adalah jauh lebih teruk dan mencemaskan jika dibandingkan dengan sebagian besar negara-negara Barat. Lihatlah dengan mata sendiri. Tidak perlu untuk saya menceritakan segalanya. Kamu sendiri tahu apa yang berlaku.  Malah kamu lebih tahu dari saya. Namun itu apakah pengajarannya dengan kehidupan kita?

Kita tidak terlepas dari apa yang berlaku ini.  Kita adalah sebahagian daripadanya. Kita harus duduk dan berdoa, ‘Ya, kami akui Ya Rabbi, kami turut bertanggungjawab. Kami turut terbabit dalam hal ini. Kami mohon keampunanMu.’ Mohonlah ampun kepada Tuhanmu dan katakan kepadaNya, ‘Ya Rabbi, jika Kau berikan kuasa padaku, akan ku bangkit, akan ku terus bangkit untuk merubah segala kesalahan ini. Dan aku akan bermula dengan merubah kesalahan-kesalahan diri sendiri. PadaMu aku berjanji ya Allah untuk sentiasa hidup mengikut undang-undang dan peraturanMu dan bukan mengikut kemahuan ego.’

dua

Maka itu, kita harus bermohon kepada Allah swt agar dikembalikan Sultan ke tahta. Kita harus menginginkan Sultan kembali menerajui pucuk pimpinan ummat ini. Kerinduan pada Khalifah, kerinduan pada Sultan, kerinduan kepada kemunculan Daulah Uthmaniyyah harus  sentiasa menderu dera pada setiap detak degub jantung ini.  Kerinduan itu harus mendebur debar di dada. Kerinduan itu harus mewujud di tiap sudut sujud kita. Agar keinginan itu menusuk ke dalam hati dan sanubari ini, kita harus memberi penghormatan yang tertinggi buat mereka yang telah berjuang bermati-matian demi Khalifah.

Hanya dalam masa beberapa hari sahaja, kita akan memperingati sebuah hari yang bersejarah. Kita akan memperingati perjuangan Pembela –Pembela Islam sejati.  Sesungguhnya mereka adalah hamba Allah yang sebenarnya. Mereka adalah hamba kepada Rasulullah yang sejati. Mereka adalah hamba para Awliya Allah yang tulin. Mereka adalah sebenar-benarnya hamba kepada Khalifah yang telah membuktikan kesetiaan dan kecintaan  mereka dengan mengorbankan nyawa dan harta untuk mempertahankan Islam dan muslimin.  Apa yang sedang diperkatakan ini? Ya, kita sedang memperkatakan tentang  mereka yang telah terkorban dan menemui syahid di Canakkale. Kita sedang memperkatakan tentang  sekumpulan kecil orang-orang yang beriman yang telah bangkit bersatu untuk menghadapi tentangan dari kuasa-kuasa besar dunia. Semua ini dilakukan demi untuk mempertahankan Khalifatullah. Mereka yang dimaksudkan ini adalah tidak lain dari tentera –tentera  Islam Turki, Kurdish  dan Cherkez yang telah berdiri teguh dan berjuang untuk Khalifah. Manakala umat Islam yang lainnya, terutama sekali dari India dan Afrika telah berjuang di pihak musuh-musuh Islam untuk menjatuhkan Khalifah.

Kita sedang membicarakan tentang askar-askar Islam Uthmaniyyah yang berlawan bermatian-matian dengan penuh kesabaran dalam mengharungi dahaga dan kelaparan di medan pertempuran di Canakkale. Kita sedang membicarakan tentang pembela-pembela Islam yang menghadapi musuh yang handal, hanya dengan mereka berbekalkan peralatan perang yang serba kekurangan. Kebanyakkan mereka tidak berkasut, namun mereka memiliki semangat yang kental untuk mempertahankan Islam. Dan mereka ini adalah barisan pejuang terawal yang rela menggadaikan darah dan jiwa demi melindungi Sultan Allah.

Sepertimana yang telah dijelaskan oleh Sheykh kami:  “Canakkale adalah sebuah peperangan yang belum pernah terjadi  sebelum ini.  Dunia belum pernah menyaksikan suatu peperangan di mana  hampir 250 000 nyawa yang terkorban di medan peperangan dalam masa yang singkat. Untuk apa? Mereka tidak pergi berperang untuk melindungi kediaman serta harta benda dan anak-anak mereka. Tidak. Tujuan mereka hanyalah satu. Tujuan perjuangan mereka bukan tertumpu kepada hal ehwal urusan keduniaan, bukan untuk mempertahankan harta kekayaan, anak isteri serta keluarga tercinta. Tidak. Tujuan mereka adalah untuk mempertahankan keutuhan agama Islam, untuk membela  Khalifah dan untuk terus menegakkan panji-panji Islam. Dan mereka terkorban. Mereka telah menggadaikan nyawa, harta dan masa demi Islam.  Mereka adalah Mehmetciks.  Mereka adalah Muhamad yang Kecil. Hamba-hamba Rasulullah (asws) yang kecil, yang telah menyerahkan nyawa kembali kehadirat Allah (swt) demi Rasul mereka. Demi Khalifah mereka.”

perang canakkale

Hendaklah kita mengingati Pembela-Pembela Islam ini. Memberi penghormatan sewajarnya kepada mereka. Meletakkan Syahid Canakkale di dalam hati kita. Sama ada kita menghormati mereka atau tidak, mereka tetap diberi penghormatan oleh Penduduk Langit dan Bumi. Mereka diberi penghormatan oleh Allah (swt). Namun kita tetap harus menghormati mereka, dan kita perlu bermohon kepada-Nya agar diberi hati yang bersemangat, keikhlasan, dan hizmet yang mereka miliki. Kita harus bermohon agar diberikan jiwa yang teguh seperti jiwa-jiwa pejuang Islam Canakkale. Kerana hanya dengan memiliki hati yang seumpama mereka itu maka kita akan dapat bersama dengan Sheykh kita untuk mengembalikan Khilafat, untuk mengembalikan Kesultanan, untuk bersama dengan Mahdi (as). Tanpa memiliki semangat yang jitu, sangat sulit bagi kita untuk bersama mereka.  Marilah kita bersama-sama membulatkan kata dan menanam tekad untuk sedarkan diri dari terus leka dan hanyut dibuai keinginan ego. Marilah kita segera bangkit dan bersatu bagi sama-sama mempertahankan agama dari terus diceroboh dan difitnah oleh musush-musuh yang tidak  berperikemanusian.

Sebagaimana yang dikatakan oleh Sheykh kami:, ‘Inilah apa yang dilakukan pejuang-pejuang Islam di Canakkale. Tiada sesiapa pun dikalangan manusia yang boleh membalas segala pengorbanan mereka  dan tiada sesiapa pun yang boleh memberi mereka gelaran dan pangkat yang tinggi, melainkan seperti yang apa yang dikatakan oleh seorang penyair, “Aku tidak bisa memberi apa-apa pun pada kalian. Aku tidak bisa membalas segala budi baik kalian. Tetapi Rasulullah (asws) sedang menanti di hadapan sana. Beliau telah membuka Jubbahnya pada setiap kamu.”

Apabila kita duduk, befikir, menghayati dan memahami apa yang telah berlaku dan bagaimana ratusan ribu pejuang Islam telah menyerahkan nyawa mereka,  jika tidak terdetik di hati untuk mengatakan, “andainya aku berada dalam situasi seperti itu, aku juga rela untuk mengorbankan nyawa demi Islam,” jika  tidak terdetik di hati untuk mengatakan begitu, maka kita harus memeriksa  keimanan diri. Ya, itulah bentuk keimanan yang diperlukan oleh setiap manusia agar dapat melintasi titian Sirat dengan selamatnya.Kekuatan iman yang sanggup meninggalkan segala-galanya hanya untuk menggapai keredhaan  Allah dan RasulNya (asws). Jika jiwa itu tidak mempunyai kesanggupan untuk mengorbankan segala-galanya demi kerana Allah, maka kita harus memeriksa diri sendiri. Dan kita harus berusaha untuk memahami istilah pengorbanan, pengorbanan suci demi menegakkan kedaulatan Islam.

Ya segala-galanya indah hanya dengan kata kata. Ramai yang mudah mengungkapkan kata-kata akan tetapi  untuk melaksanakannya teramat payah.  Kita harus berusaha untuk duduk merenung sesaat dalam kehiningan secara khusuk untuk memahami, menghayati dan memikirkan setiap yang telah berlaku.  Fikirkanlah agar kita tidak terperdaya oleh kehidupan dunia. Dan agar terbuka mata hati dalam mengobarkan kembali jiwa yang bersemangat agar kita lepas dari fikiran jahiliyah modern. Apabila kita dapat menyelami makna dan hakikat tersebut, maka keimanan akan tumbuh berkembang dan akan terbukalah di hati bahwa sesungguhnya hidayah milik Allah yang sangat berharga itu tidak dapat dinilai dengan materi apapun di dunia ini.

Ya Allah Ya Rabb. Suburkanlah benih keimanan, jadikan kami mendapat keimanan yang sempurna yang akan membawa diri ini sentiasa berada dekat dengan Sheykh  kami dalam kehidupan ini dan kehidupan yang akan datang. Amin. Al-Fatiha.

night of barat1

Khutbah Jumaat oleh Hoja Lokman Efendi Hz, Khalifah of Shaykh Abdulkerim el Kibrisi (qs) * OSMANLI DERGAHI- New York

Jumaat 22 Jumadil Awwal 1436

March 13, 2015

This entry was posted in OsmanliJB. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s