Adakah menari dibenarkan dalam Tasawwuf dan apakah terdapat had-had tertentu kepada jenis tarian yang dibenarkan dengan syarat ia tidak melampaui batas?

BismillahirRahmanirRahim

Medet Ya SahibulSaif. Destur.

 Soalan: Adakah menari dibenarkan dalam Tasawwuf dan apakah terdapat had-had tertentu kepada jenis tarian yang dibenarkan dengan syarat ia tidak melampaui batas?

zikir8

Perjalanan Tasawwuf adalah sesuatu yang tidak terbuka. Ia adalah sesuatu yang terbentuk di bawah permukaan. Ia adalah sesuatu yang terselindung. Sama seperti jasad manusia, di dalamnya terselindung roh yang hidup di dalam kurungan tubuh itu. Hakikat yang perlu diketahui di sini ialah Islam ada zahir dan batin. Pembahagian Islam pada zahir dan batin tidak dapat dinafikan oleh setiap insan yang berpandangan dan berfikiran luas. Dan kebatinan, kerohanian itu adalah perjalanan Rasulullah (asws) yang agung yang telah dibawa baginda lebih kurang 1400 tahun dahulu dan inilah yang digelarkan Tasawwuf. Tasawwuf  adalah sebuah realiti tanpa nama pada masa itu. Dan seperti yang telah dikatakan oleh para Awliya Allah, kini  Tasawwuf adalah sebuah nama  tanpa realiti.

Kami tidak gemar untuk menggunakan istilah Tasawwuf, Sufi, Kesufian. Kerana  terlalu ramai orang kini yang menggunakan istilah tersebut. Dan kebanyakkan mereka yang suka menggunakan  istilah tasawwuf merasa amat bangga dengan gelaran itu. Tetapi apabila kami memerhatikan cara mereka, ia tidak sealiran dengan  perjalanan kami. Oleh kerana Tasawwuf adalah sesuatu yang terselindung, maka di sepanjang sejarah, ia sering disalah fahamkan atau disalah mengertikan lalu dirangkumkan ke dalam golongan yang sesat. Tasawwuf sering dijadikan bahan fitnah, cacian dan hinaan. Oleh siapa? Oleh orang-orang alim. Oleh ahli agama. Oleh orang yang tidak memahami, yang tidak bisa melihat kebatinan, kerohanian. Dan  apa yang dapat mereka melihat, menghakimi dan mengecam  hanya sekadar di luaran sahaja. Ini adalah sesuatu yang amat membahayakan. Kerana jika kamu membuat sebarang tuduhan berdasarkan apa yang dilihat secara luaran, maka ketahuilah bahwa luaran atau jasmani itu bukan sesuatu yang bersifat nyata. Unsur jasmani bersifat fana dan tidak bernilai tanpa unsur yang lainnya. Jasmani menampung  roh yang berfungsi sebagai penyempurna unsur jasmani dan merupakan hakikat manusia. Roh dalam tubuh manusia membanjirinya cahaya hidup. Ia merupakan motor penggerak dalam pendekatan diri kepada Allah.  Jasmani manusia tidak memberi nyawa kepada roh. Tetapi ia adalah sebaliknya.

Terdapat banyak perkara dalam Tasawwuf yang tidak difahami oleh  kebanyakan orang. Disebabkan  ini, maka akhirnya terjadi jurang yang semakin lama semakin jauh memisahkan mereka dengan ahli Tasawwuf. Lantaran berlakulah tuduh-menuduh, serang-menyerang sampai ke tahap kafir-mengafirkan antara satu sama lainnya. Bermacam cemuhan dan sindiran dilontarkan kepada orang-orang Sufi. Perselisihan ini berlaku terus-menerus dari dulu hingga sekarang. Mereka tidak faham dan tidak pernah berusaha untuk memahami. Hal yang serupa berlaku pada zaman para Sahaba e-Kiram. Kerana ada beberapa ilmu yang berbentuk tersembunyi, yang tidak dibuka kepada semua, kerana sama ada mereka akan menyalahgunakannya atau mereka tidak akan memahami dan akan menyeleweng. Ini  tidak bermakna bahawa Tasawwuf itu sesat. Tasawwuf adalah kehidupan kerohanian. Ia merupakan intipati atau isi ajaran Islam.

Apabila kita membicarakan kini tentang beberapa amalan-amalan dalam Tasawwuf, maka akan kita dapati bahawa berzikir dalam keadaan menari atau menggerakkan tubuh adalah salah satu daripada amalan tersebut. Terlebih dahulu kita perlu fahami maksud di sebalik amalan itu. Apakah niat dalam melakukan amalan-amalan ini? Kerana setiap amalan orang berakal yang mempunyai ikhtiar pasti terjadi karena adanya niat, dan Rasulullah (asws) bersabda, “Sesungguhnya semua amalan itu hanyalah dengan niat, dan bagi setiap orang mendapatkan apa yang telah ia niatkan.” Seterusnya kita perlu bertanya: Siapakah orang yang telah meletakkan dan membenarkan amalan itu? Apakah tujuan mengamalkannya dalam kehidupan? Apakah kesan dari amalan tersebut?

Contohnya:  Berzikir. Zikrullah adalah amalan yang paling mulia melalui pergerakan lidah, kesedaran akal budi dan keinsafan hati dan jiwa. Tiada sesiapa yang boleh mempertikaikan amalan Sunnat ini. Berselawat melantunkan pujian kepada Nabi (asws) dalam apa jua keadaan adalah sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan, kerana Allah dan para malaikat-Nya turut memuji Rasulullah (asws). Jadi kini, terdapat beberapa amalan-amalan dalam Tasawwuf. Jika amalan ini selaras dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah (asws) dan ia bertujuan untuk memuji Allah swt serta memberi selawat kepada Nabi (asws), di mana di dalam kesemua empat puluh aliran tarikat, Sheykh-Sheykh yang merupakan Guru sejati, di mana mereka adalah Wali yang Mursyid, yang telah terlebih dahulu mengamalkan ilmunya dan menyucikan hatinya, yang telah mencapai kelayakan dalam membimbing muridnya dan membawa mereka ke jalan makrifat kepada Allah, maka siapalah kita, siapalah kita hingga berani membuka mulut untuk mempersoalkan kewibawaan mereka? Siapalah kita untuk menilai insan yang dikasihi Allah swt? Siapalah kita umat yang telah lesu akibat dicengkam kejahilan untuk menghakimi mereka?

saints1

Jika kamu fikir bahawa Ilmu tentang Islam, atau Ilmu tentang Hadis dan amalan Rasulullah (asws) hanya terkandung dalam enam kitab-kitab hadis, maka ini jelas menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak waras dengan pemikiran kamu itu. Bagaimana mungkin riwayat hidup, ajaran dan amalan seseorang manusia itu dapat dibukukan hanya dalam enam buah kitab? Kehidupan kamu sendiri, jika kamu mencoretkan kisah sepanjang hidup, segala kejadian, pengalaman dan pengajaran, apakah enam buah buku itu mencukupi? Mungkin lebih dari itu. Bagaimana pula dengan seorang Insan mulia yang bergelar Kekasih (Habib) Allah swt?

Nabi Muhammad (asws) adalah sebaik-baik penyampai, sebaik-baik pembimbing. Baginda (asws) berkemampuan menyampaikan menurut tahap akal dan suasana kebatinan seseorang. Ahli falsafah mampu menerima pengajaran baginda (asws) dan ahli kerohanian juga mampu menerimanya. Terdapat mereka yang bilamana mereka ingin merujuk tentang sesuatu perkara, untuk memastikan sama ada ia adalah suatu amalan sunnat atau tidak, mereka akan membuka kitab hadis dan menyelidikinya. Terdapat juga mereka yang  bilamana ingin mendapatkan kepastian,  mereka hanya perlu bertaklid kepada baginda (asws). Apa yang baginda (asws) ajarkan akan terhunjam ke dalam akal fikiran dan hati nurani mereka. Kalam yang keluar daripada mulut baginda (asws) menanamkan pengertian pada akal dan penghayatan pada jiwa. Dan zahir itu sentiasa akan mempunyai masalah terhadap batin. Bukan sebaliknya. Batin tidak pernah mempunyai masalah dengan zahir. Tahukah kamu mengapa? Seperti apa yang pernah dijelaskan oleh Sheykh Effendi, Sheykh Maulana: sebaik sahaja kamu membebaskan roh daripada penjara jasadmu, kerana roh itu kini adalah tawanan di dalam tubuh kita. Apabila kita berjaya menjadikan jasad sebagai tawanan di dalam roh, maka kamu akan mengalami situasi yang digelar sebagai Tai al Makan; Tai al Zaman: masa di dalam masa dan ruang di dalam ruang. Pada waktu itu jasad tidak lagi menjadi abdi kepada undang-undang ciptaan manusia. Kerana kini ia  telah menjadi tawanan  di dalam roh. Dan Roh kini bebas bergerak tanpa pengaruh jasad.

Jadi, terdapat beberapa amalan tertentu walaupun pada zaman Rasulullah (asws), fahamkan ini, walaupun pada zaman baginda (asws), hanya sahabat-sahabat tertentu sahaja yang tahu. Sahabat yang lain tidak mengetahuinya. Dan terdapat ilmu yang telah dicurahkan pada masa itu, dimana sahabat tertentu seperti Hz Abu Bakar as-Siddiq, seperti Hz Abu Hurairah dan beberapa orang sahabi, dan mereka berkata, “Jika aku mengajarkan ilmu yang telah disampaikan oleh Rasulullah ini, nescaya mereka akan memenggal leher ku.” Siapa? Para sahabat. Para sahabat yang lain akan memenggal leher mereka. Ini menunjukkan bahawa terdapat beberapa ajaran yang memerlukan agar seseorang benar-benar telah bersedia untuk menerima ilmu itu. Dan dia harus membuat  persiapan asas yang kukuh, dan memiliki tahap pemahaman yang luas. Kerana jika ilmu itu dengan sewenangnya didedahkan kepada umum, nescaya mereka tidak akan dapat menerimanya, malah akan menepis segala curahan ilmu itu dan berkata, “Apakah semua ini?” Oleh sebab tidak mempunyai asas yang kukuh, mereka tidak dapat memahami dan dengan mudahnya mereka menyangkal kebenaran dan berkata, “semua ini adalah sesat!”

Jadi, apabila kita tiba kepada amalan-amalan tertentu dalam Tasawwuf, dalam Tarikat, dan salah satu daripadanya, katakanlah:  adalah menari, maka yang paling utama, sebelum membuat sebarang tuduhan,  perlu kita fahami bahawa ini bukan sekadar tarian untuk menghiburkan hati. Ia adalah sebagai suatu bentuk ibadah. Ia bukan sekadar Sema, bukan sekadar muzik, tetap adalah ibadah. Ia bukan sekadar puisi dan madah yang indah, ia adalah ibadah. Ini semua merupakan cara-cara berbeza dalam beribadah kepada Allah swt. Tetapi dengan mudahnya orang ramai mengatakan bahawa ianya adalah salah dan menyeleweng dari ajaran agama. Mereka mempersoalkan, ‘Huh amalan pelik apakah ini? Adakah ini amalan Sunnat?’

Pelik pada pandangan kita kerana kejahilan kita terhadapanya bukan kerana ia sesuatu yang salah. Pelik tidak dijadikan kaedah hukum untuk menyatakan sesuatu itu haram atau tidak. Apa yang kamu tahu tentang amalan Sunnat? Apa yang kamu tahu tentang segala yang terkandung di dalam kitab-kitab hadis itu? Apa yang kamu tahu tentang perkara yang tidak tercatat di dalam kitabi itu? Bagaimana jika saya katakan bahawa salah satu amalan Sunnat adalah melakukan pergerakan melompat dan melompat sebelah kaki. Melompat pada sebelah kaki dan sambil berselawat memberi pujian ke atas Nabi (asws). Bagaimana jika saya mengatakan bahawa ini adalah amalan sunnat? Pastinya ramai yang akan berkata, “Ini semua mengarut! Ini amalan sesat!Langsung tidak masuk akal! Melompat-lompat pada sebelah kaki! Menari berpusing-pusing! Kebodohan apakah ini? Kesesatan apakah ini?  Tiada siapa yang pernah melakukannya. Nabi sendiri tidak pernah melakukannya.”  Hmm, ini jelas menunjukkan bahawa kamu tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang ilmu hadis. Dengan pengetahuan yang cetek itu, adalah mustahil untuk kita duduk dan berbicara. Mustahil. Kerana bagai mencurah air ke daun keladi, kamu akan menafikan segala kebenaran. Apa yang ada di hadapan kamu hanyalah  ego. Dan ego itu telah meruntuhkan keteguhan iman. Dan pada ketika itu jika empat puluh Nabi sekalipun menghadirkan diri untuk cuba meyakinkan kamu, kamu tetap tidak akan berganjak dari kebatilan. Malah akan kamu katakan bahawa mereka semua salah. Mereka semua sesat.

Untuk pengetahuan kamu, ya, terdapat sahabat yang melakukan amalan itu. Siapakah beliau? Jafar E Tayyar Hazretleri. Terdapat dua orang sahabat yang turut berada di kamar itu bersama Nabi (asws). Apabila baginda (asws) memujinya, maka Ja’far menari dengan kelazatan perkataan Nabi (asws) kepadanya. Mereka mula melompat-lompat mengelilingi Nabi, Tawaf, sambil memuji  dan memberi salawat ke atas beliau.Nabi tidak mengingkari perbuatan menari-nari Ja’afar.

Ini hanya contoh-contoh mudah. Kami tidak berkumpul di sini sebagai sebuah kelas akademik. Semua maklumat ini boleh dicari sendiri, jika kamu tahu untuk menggunakan facebook, kamu akan tahu bagaimana untuk mencarinya. Ia amat mudah. Begitu juga dengan tarian berpusing sufi, di mana pengasasnya adalah Hz Abu Bakar Siddiq. Telah berulang kali saya menceritakan tentang kisah ini. Jadi terdapat beberapa jenis pergerakan khusus, dimana orang ramai telah menyifatkannya sebagai sebuah tarian. Dan pergerakan ini telah dibenarkan oleh Pir bagi Tarikat itu sendiri. Jika ia telah dibenarkan oleh Sheikh bagi Tarikat itu, maka tentunya ia adalah sesuatu yang yang utama dalam perjalanan Tarikat itu.  Perlu kamu fahamkan bahawa Tarikat, Tasawwuf adalah sebahagian daripada ahlul Sunnat wal jemaah. Ia bukan sesuatu yang  telah menyeleweng darinya.

Kita kini berada di Akhir Zaman. Zaman di mana manusia mempunyai  salah tanggapan terhadap  banyak perkara. Pada zaman kerajaan Uthmaniyyah, Kesufian, Tasawwuf adalah kepercayaan seluruh empayar. Tetapi menyusuli  kejatuhan Empayar Uthmaniyyah,  fahaman-fahaman wahabi segera menyelinap masuk dan dengan mudahnya ia diterima umum dan kini menjadi mentaliti negara Islam secara keseluruhannya. Walaupun mereka menggelarkan diri sebagai ahli Sunnat, namun kecenderungan terhadap Wahabi jelas kelihatan. Apabila  melihat sesuatu yang tidak mereka fahami, dengan segera mereka berkata, ‘ini adalah aqidah songsang.’ Aqidah sesat bererti kamu telah mengkafirkan seseorang. Saya sendiri telah memerhatikan tindakan beberapa orang  yang telah menonton video dimana GrandSheykh kami bersama dengan  beberapa orang muridnya sedang  berzikir dalam keadaan menari atau menggerakkan tubuh. Selesai menonton video tersebut, dengan pantasnya mereka berkata bahawa apa yang dilakukan GrandSheykh bersama Jemaah beliau adalah suatu kebodohan yang menyesatkan. Pantas sungguh mereka mengisytiharkan sesuatu yang sangat berat ke atas saudara seislamnya dan sekaligus menimbulkan fitnah dan persepsi buruk masyarakat terhadap perjalanan dan perjuangan murni seorang Kekasih Allah swt.  Ini jelas menunjukkan keangkuhan  diri kamu. Kamu fikir kamu lah yang terhandal.  Dengan sombongnya, tanpa perasaan segan silu, tanpa malu, kamu melihat seorang lelaki berusia lapan puluh tahun, berjanggut panjang,  kamu sendiri tidak mengenalinya, tetapi dengan pantasnya kamu menghukumnya. Kamu telah mengkafirkannya berdasarkan perkara yang kamu sendiri tidak mengerti.  Kamu tidak tahu dan kamu tidak ingin mengambil tahu apa yang sedang berlaku.  Ya, benar, terdapat beberapa orang di sekeliling yang kelihatan melakukan gerakan aneh, sambil terlompat-lompat di hadapannya. Tahukah kamu siapa mereka? Tahukah kamu bahawa mereka ini telah diselamatkan olehnya dari belantara dunia yang menyesatkan itu? Tahukah kamu bahawa orang-orang yang terlompat-lompat di hadapannya sambil melantunkan kalimah Allah, dua tiga hari yang lalu mereka sedang melompat-lompat, meloncat-loncat di atas pentas, di tempat konsert, di disko-disko?  Tetapi mereka kini telah beliau selamatkan dengan memberi suntikan kasih sayang Allah dalam hidup mereka. Dan mereka hadirkan diri dari jauh untuk berada dekat dengan kekasih Allah itu untuk sama-sama memuji kebesaran Allah. Sungguh kita kini berada di zaman Jahiliyyah kedua. Dan sama seperti zaman jahiliyah yang pertama, perkara yang utama yang harus diajar kepada manusia yang semakin hari semakin jahil adalah: La Ilaha Illallah. Untuk membuat mereka mengingati dan menyebut Allah.

sheykh Maulana

Apakah kamu memiliki sebuah kebijaksanaan yang sesungguhnya? hati dan fikiran yang luhur yang dapat memahami maksud yang tersirat? Atau kamu hanya pantas menghakimi orang lain? Huh, Manusia memang cenderung lebih pandai menghakimi orang lain dan bukan diri sendiri.

Tiada lagi ahli sunnah. Semuanya kini telah berakhir. Tiada lagi ulama ahli Sunnah. Semuanya telah lenyap. Islam kini telah menjadi sesuatu yang bersifat peribadi, individu atau hanya tertumpu kepada sebuah masyarakat kecil atau sebuah negara. Ia bukan lagi sebuah Ummat yang bersatu. Mengapakah begini jadinya? Kerana penjaga dan pembela ahli Sunnah telah dihapuskan seratus tahun yang lalu. Adakah kita memahami sejarah? Adakah kita memahami bagaimana orang-orang yang menggelarkan diri mereka ahli Sunnat tetapi kerana Dunia membelenggui mereka di mana-mana, mereka mula bermusuhan antara satu sama lain, dan walaupun terdapat Khalifah pada masa itu, tiada sesiapa pun yang mematuhinya. Adakah kamu mengerti apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Ummawiyah dan kerajaan Abbasiyah? Di mana pada waktu itu ajaran sesat Syiah mula menular ke dalam kerajaan Islam,dan racun-racun yang disemburkan oleh Syiah itu telah dapat juga melemahkan ummat Islam pada waktu itu sehingga menimbulkan huru hara yang berpanjangan. Dan jika tidak kerana kedatangan Seljuk  yang mula menubuhkan dan memperkukuhkan semula ahlul Sunnat, jika tidak kerana mereka, aqidah ahlul Sunnat akan lenyap sepenuhnya. Jika bukan kerana mereka, kita tentu tidak akan memiliki, Akidah Ahli Sunnah – ini kerana mereka semua (yakni ahli shi’ite) telah ditewaskan oleh Sultan Selim Khan Jannat Makam. Beliau telah mematah-matahkan azam Shia Shah Ismail yang bertekad untuk menyebarkan akidah shi’ite ke seluruh pelusuk dunia. Namun rancangan ini telah dapat disekat  oleh Sultan Selim, satu-satunya Sultan yang berjuang bermati-matian, berkorban menumpahkan darah, mengorbankan nyawa untuk menghidupkan dan mempertahankan akidah ahli e-Sunnah. Dan selepas kerajaan Seljuk , siapakah pula yang telah datang untuk mengambil alih kuasa  dan menegakkan perjalanan ahlul Sunnat yang merupakan perjalanan Tasawwuf? Uthmaniyyah.

Kesultanan Uthmaniyyah menjunjung tinggi perjalanan Tasawwuf, perjalanan Ahle Sunnat. Empayar Uthmaniyyah juga dikenali sebagai sebuah empayar kesufian yang terkenal dengan Syeikhul Islam-Syeikhul Islamnya. Kesemua para Sultan dan Alim ulama berjalan tetap di atas landasan Ahlus Sunnah wal Jamaah, mengamalkan fiqh Hanafi dan bertariqat tasawwuf. Kesultanan Uthmaniyyah menjadi lampu yang menerangi dunia yang hidup di dalam kegelapan. Khalifah-khalifah Uthmaniyyah berpegang teguh pada perjalanan tasawwuf. Selama enam ratus tahun, umat Islam benar-benar hidup di dalam rahmat dan kemuliaan di bawah pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah yang menerapkan hukum berdasarkan kitab Allah dan sunnah RasulNya. Tetapi apabila ummat mula berkata, ‘kami tidak mahu mengikut cara ahlul Sunnat,’ dan apabila ummat menubuhkan pakatan untuk menghapuskan Khilafah Islamiyyah yang menjadi nadi kekuatan umat Islam, maka sejak dari itu hingga sekarang ini, umat ini hidup berpecah belah. Kehidupan mereka terasa kosong (gelap) umpama ‘bergantung tidak bertali’ seperti pohon yang mati kekeringan kerana tiadanya air. Begitulah keadaan ummat Islam masa kini. Justeru, berlakulah pelbagai kerosakan akhlak dan kemaksiatan yang berleluasa. Namun semua orang berfikir yang mereka masih mengikuti perjalanan ahlul Sunnat, tetapi hakikatnya mereka hidup berpecah belah antara satu sama lain. Berpecah dari segala-galanya. Berpecah dari perjalanan ahli Sunnat.

Jadi ajaran-ajaran dalam tarikat, terlalu banyak yang tidak kamu fahami. Tumpukan pada diri sendiri. Jangan sibuk menghakimi orang lain. Jangan sibuk membuat fatwa terhadap orang  lain. Adakah terdapat perkara-perkara yang dilakukan oleh  Tarikat yang dianggp sesat dan salah? Yeah, mengapa tidak? Adakah kita mengatakan Tasawwuf itu sempurna. Siapa yang  mengatakan begitu?  Tetapi masakan kerana nyamuk seekor kelambu dibakar? Usahlah disamakan lembu dengan kerbau walaupun keduanya bertanduk. Jangan pantas menghakimi seseorang.  Bertanyalah kepada ahlinya. Pasti dia tahu membezakan yang mana intan dan yang mana kaca. Jangan ditanya tukang besi jika ingin mengetahui hakikat emas. Begitulah perumpamaan yang mudah untuk kita fahami. Terdapat kini ramai orang-orang kafir yang menuduh Islam sebagai agama pengganas.Ini akibat perbuatan segelintir kumpulan pengganas yang malaungkan, ‘Allahu Akhbar,’ dan mereka melakukan perkara-perkara yang tidak bersesuaian dengan Islam. Akibat perbuatan  mereka, ummat Islam seluruh dunia, turut dipersalahkan. Perbuatan kamu yang pantas menghakimi orang atas kesalahan orang lain, tidakkah ini mirip dengan apa yang sedang dilakukan orang-orang kafir yang bodoh itu? Tiada perbezaan antara kamu dengan mereka: menghakimi seluruh kumpulan dari tindakan beberapa orang tanpa memahami apakah maksud disebalik tindakan mereka, tanpa memahami apakah tujuan persatuan tersebut!

Kamu mempunyai seorang Sheikh? Patuhi Sheykh kamu itu. Kami mempunyai seorang Sheikh yang amat kami hormati dan patuhi. Ada beberapa amalan tertentu di tarikat kami, dan Sheykh kami telah memberi kelulusan. Ada juga beberapa amalan tertentu yang beliau tidak beri kelulusan. Dalam jemaah kami, ‘loud zikir ‘ (zikir kuat) yang kita lakukan, adalah sangat tegas, mengikut peraturan-peraturan yang ketat. Begitu juga dengan ‘silent zikir’ (zikir perlahan). Jika kami melakukan hadrah, maka itu merupakan sedikit kelainan. Jika terdapat beberapa orang murid yang merasa gembira dalam meraikan hari-hari kebesaran dalam seperti Hari Raya Fitr dan Hari Raya Kurban, maka  mereka akan menari, menggerakkan badan, melompat-lompat sedikit sambil berzikir, untuk itu, kami katakan, hanya dalam situasi begitu, hanya dalam situasi yang  terlindung dan terkawal, maka ia dibenarkan. Tetapi hanya dalam situasi sedemikian.

Insyallah, manusia yang bijak akan mengerti. Mereka yang tidak mempunyai kebijaksanaan tidak akan memahami apa-apa. Seperti yang dikatakan Nasruddin Hoja,“Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu, tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, karena orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu. Apabila orang bodoh mengajak berdiskusi dengan anda, maka sikap yang terbaik adalah diam, tidak menanggapi. Apabila anda melayani, maka anda akan susah sendiri.” Dunia kini dipenuhi dengan orang bodoh. Semoga Allah swt melindungi kita daripada kebodohan. Kami menghabiskan terlalu banyak masa hanya untuk mempertahankan diri kita sendiri, hingga kita tidak mempunyai masa untuk melakukan apa yang sepatutnya kita lakukan. Tugas kami, bukan untuk mempertahankan diri sendiri. Tugas kami adalah untuk mempertahankan kebenaran.

zikir

WaminaAllahu Taufiq al-Fatiha

Hoja Lokman Efendi Hz, Khalifah of Shaykh Abdulkerim el Kibrisi (qs) * OSMANLI DERGAHI- New York

19 Jamadilakhir 1436H

April 9, 2015

This entry was posted in OsmanliJB. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s