Contohi Puasa Rasulullah (asws) dan Para Sahaba e-Kiram

BismillahirRahmanirRahim

Soalan: Bagaimana Rasulullah (asws) dan para Sahaba e-Kiram boleh mengharungi peperangan Badar dalam bulan Ramadhan dan berbuka hanya dengan sebiji kurma? Adakah ianya  mustahil bagi kita untuk mencapai ke derajat keimanan yang tinggi itu?

Sheykh Lokman Effendi

Ha! jawapan kepada pertanyaan tersebut telahpun kamu jawab sendiri. Perjuangan serta pengorbanan sebegini hanya dapat dilakukan jika dilandasi oleh dorongan keimanan yang utuh, yang tidak pernah tunduk dan rebah walau ditiup angin kencang. Jangan kita fikir bahawa cara puasa Nabi (asws) dan para sahabatnya sama seperti cara kita berpuasa. Tidak. Mereka berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Sekiranya itulah yang menjadi matlamat kita, maka kita hanya sekadar memenuhi syarat puasa zahir dan ini tiada bezanya dengan ber’diet’. Ya, kamu masih tetap berpuasa, tetapi kamu hanya memberi tumpuan dalam menegah kehendak nafsu haiwani.

Menahan lapar dan dahaga adalah salah satu syarat sah puasa zahir untuk menuju kepada puasa yang sebenar; Hakikat puasa. Dengan puasa zahirlah kita akan mencapai kepada puasa yang Hakiki, iaitu derajat puasa yang dimiliki oleh Nabi (asws) dan para sahabatnya. Ketahuilah bahwa puasa itu ada tingkatan tertentu. Saya tidak ingin membicarakan tentang soal itu kini. Apa yang penting kini adalah untuk kita memahami bahawa puasa para Sahabat bukan sekadar mengawal kehendak perut dan syahwat semata-mata. Menerusi ibadah berpuasa, mereka telah berjaya menjadi raja kepada  ego dan anggota-anggota tubuh yang lain. Dengan cara ini, mereka tidak akan menjadi lemah akibat berpuasa bahkan  mereka akan lebih mampu untuk mengekang diri daripada melakukan sesuatu yang mazmumah (tercela) dan sia-sia.

Inilah sebenarnya puasa yang sempurna dan yang dituntut daripada seorang muslim, Puasa yang dapat membebaskan roh yang terkurung dalam sarang fizikalnya sehingga ia dapat bergerak bebas melakukan perubahan ke arah kebaikan buat diri itu. Apakah roh membutuhkan makanan dan minuman? Tidak. Dari mana roh itu mendapat kekuatan? Dari mengingati  Allah. Apakah para Malaikat membutuhkan makanan dan minuman? Tidak.  Adakah mereka menjadi lemah, letih dan lesu akibat tidak makan dan minum? Tidak. Dari mana  mereka mendapat kekuatan? Dari mengingati Allah.

Semakin banyak kita mengingat Allah, semakin kuat pula Allah mengingat kita, dan Allah akan memberikan beragam keutamaan kepada orang yang banyak mengingat-Nya, terutama sekali sewaktu mereka sedang berpuasa. Allah berjanji untuk sentiasa membantu hambaNya yang menyerah diri kepadaNya. Dengan ini apabila kamu sedang berpuasa dengan keimanan penuh, kamu  tidak hanya berpuasa dari menahan lapar dan dahaga merantai sifat haiwani. Puasa kamu kini telah berhasil mencapai tujuannya, iaitu ketakwaan, melahirkan sifat-sifat terpuji seperti kejujuran, kesabaran, ketabahan, kepedulian sosial, kedermawanan, kasih sayang, keramahan, dan toleransi. Ini adalah adalah sifat-sifat insani yang berbeza dengan sifat-sifat haiwani. Sifat-sifat insani mengangkat derajat kemanusiaan manusia sekaligus memberi kekuatan kepada Roh.

Kita semua sudah sedia maklum bahawa berpuasa itu amat berat serta banyak sekali godaan-godaannya, terutama sekali untuk memulakan puasa pada awal Ramadhan. Ramai yang terasa letih dan tidak bermaya pada hari pertama berpuasa bukan? Apabila masuk ke hari kedua dan ketiga, badan mula lebih bertenaga, benar? Selepas beberapa hari berpuasa, tubuh sudah mulai menyesuaikan diri dengan kondisi puasa hingga kamu sendiri tidak sedar bahawa kamu sedang berlapar dan menahan dahaga. Kamu tidak terfikir untuk melihat waktu dan seperti biasanya berkata, ‘Oh, kini tiba masa untuk makan tengahari, makan malam, bersarapan pagi…’ Kamu tidak lagi menjadikan waktu berbuka puasa medan untuk melepaskan geram kerana sehari suntuk tidak menjamah makanan atau minuman.

Jika makan dijadikan sebagai tumpuan hidup, binatang di hutan juga hidup begitu.  Imam Al-Ghazzali telah berkata, ‘Sesiapa yang memusatkan perhatiannya untuk menuruti keinginan hawa nafsu dan kelazatan badan, ia makan seperti binatang, maka ia akan jatuh menurun (darjatnya) bersama kelompok binatang. Ia adakalanya menjadi bodoh seperti binatang, atau pelahap seperti babi, bergulat seperti anjing, dengki seperti unta, sombong seperti harimau, membuat liang membelak-belok seperti musang, atau mengumpulkan sifat-sifat tersebut seperti syaitan yang jahat.”

Orang-orang yang beriman dan beramal sholeh  seharusnya menjadikan solat sebagai tonggak mengatur jadual hidup harian.  Sebagai contoh, pada jam satu petang : waktu untuk solat Zuhr, jam empat petang: waktu untuk solat Asar.  Dan bukannya, waktu untuk makan tengahari , waktu untuk makan malam, dan sebagainya.

Jadi, apa sebenarnya yang terjadi pada tubuh kita sepanjang berpuasa di bulan Ramadhan? Kamu boleh katakan bahawa tubuh itu mula menyesuaikan diri dengan kebiasaan saat berpuasa, atau kamu juga boleh  katakan bahwa diri itu telah dilatih untuk berdisiplin menahan lapar, haus, dan nafsu ketika berpuasa. Tetapi soalannya ialah dari mana datangnya kuasa yang membolehkan tubuh manusia ini untuk menjadi lebih bertenaga?

Ya, kini kamu mula befikir secara terperinci untuk mendapatkan petunjuk. Kamu mulai redha dan pasrah dengan ketentuan Allah swt. Kamu tidak lagi membuat tuntutan kepada Allah swt tetapi membuka hati nurani untuk menerima taufik dan hidayah daripada Allah swt. Di sinilah permulaan detik dimana Roh akan dibersihkan dan dikurniai rasa yang tepat atau firasat.  Roh yang suci ini peranannya lebih kuat daripada jasad fizikal. Ia sentiasa aktif  daripada fizikalnya. Dengan memiliki kekuatan roh yang aktif kamu akan lebih berupaya mengawal hawa nafsu. Jika pada hari pertama berpuasa kamu akan terus menerkam kelazatan makanan sewaktu berbuka, kamu akan dapati bahawa setelah masuk pada hari kedua, ketiga dan seterusnya berpuasa, kamu dapat mengawal diri dan bersifat lebih sederhana dalam menghidang juadah berbuka atau bersahur. Setelah masuk beberapa hari dalam Ramadhan, kamu akan dapati diri itu tidak lagi merasa lapar. Pada saat berbuka, hanya sedikit makanan dan minuman sudah cukup untuk membuat perut kenyang dan memuaskan nafsu makan.  Makanan yang sedikit ini juga mampu memberi tenaga dan nutrisi kepada tubuh manusia.

Ingatlah, tujuan kita berpuasa bukan sekadar untuk menahan diri dari makan di siang hari agar apabila masuk waktu berbuka kelak, kita akan makan dengan sepuas-puasnya seolah-olah mengqadakan atau menggantikan makan waktu siang. Tabiat buruk ini perlu dielakkan, makanlah secara sederhana. Rasulullah(asws) amat melarang umatnya untuk makan lagi sesudah kenyang. Baginda(asws) berkata, ‘Kami adalah kaum yang tidak makan sebelum merasa lapar dan bila kami makan tidak pernah kekenyangan.’ Dengan cara begini, kamu akan menjadi lebih bertenaga dan berada dalam keadaan yang sentiasa berjaga-jaga.

Sesungguhnya pangkal penyakit kebanyakan bersumber dari apa yang dimasukkan menerusi saluran yang terbuka ini (mulut). Segala sesuatu yang masuk ke dalam mulut akan tersalurkan kebagian perut. Dari situlah bermula segala penyakit.  Dewasa ini perut manusia sentiasa penuh, namun begitu mereka tetap ingin terus menikmati pelbagai jenis makanan dan minuman. Mereka tidak pernah berhenti. Islam menekankan bahwa prinsip makanan sehat adalah tidak berlebih-lebihan. Rasulullah (asws) pernah berkata, ‘Anak Adam tidak memenuhkan suatu tempat yang lebih buruk dari perutnya. Cukuplah bagi mereka mengisi perutnya dengan sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiganya lagi untuk pernafasan.’

iftar di Osmanli Dergahi

Yang perlu ditekankan disini adalah untuk kita tidak berlebihan dalam makan dan minum. Jangan membiarkan ego  merusak semua akhlak kita, menurunkan derajat kita dimata Allah. Sememangnya sifat ego itu kuat, terbukti saat ia diuji Allah tatkala dimasukkan neraka berkali-kali. Namun ego tetap berpegang teguh pada pendiriannya meskipun itu salah, itu karena ego tidak berfikir, itu karena ego mengutamakan dirinya sendiri, mengutamakan kepuasan sendiri. Sampai ego itu ditempatkan di lembah kelaparan selama 1000 tahun, barulah kemudian ia keluar dan berkata, “Aku adalah hamba-Mu yang lemah dan Engkau adalah Tuhanku.” Dan akhirnya ego itu menyerah kalah. Itulah intinya, puasa dapat mengendalikan ego dan itulah masanya roh kita akan menjadi lebih berkuasa.

Ya, begitu juga keadaannya dengan  Baginda Rasulullah (asws) serta para Sahaba e-Kiram. Sheykh kami juga seringkali berbuka puasa dengan hanya sebiji kurma.  Bukan setakat itu sahaja, sejurus selepas berbuka puasa, beliau langsung menjatuhkan niat untuk berpuasa pada keesokan hari. Rasulullah (asws) dan para Sahabat tidak punya kemewahan untuk mengasup aneka makanan sepanjang malam setelah berbuka puasa. Tidak. Sebaik sahaja berbuka dengan sebiji kurma, mereka berkata, ‘kini kami berniat untuk meneruskan puasa.’

Terdapat banyak perkara yang perlu dikupas mengenai puasa di bulan Ramadhan. Tapi cukuplah sekadar kita memahami bahawa matlamat utama di sebalik persyariatan puasa kepada umat Islam ialah untuk mengenyahkan ego, melemahkannya, kemudian melenyapkan terus ego itu. Karena selama ego masih memberi perintah dan kita masih mematuhinya, maka kita akan terjatuh dalam tingkatan yang terendah, sehingga tidak ada tempat lagi selain bersama haiwan. Apabila kita mampu untuk mengatasinya, maka kita akan terangkat ke tingkatan para Malaikat. Berpuasa melatih kita untuk mengendalikan ego diri sendiri sehingga ia akan mematuhi arahan kita. Oleh sebab itu, sejak awal hingga akhir puasa, ia merupakan pilar terpenting dalam penghambaan. Tanpa puasa, tidak seorang pun dapat menjadi hamba sejati, karena ego akan selalu menang. Ego akan sentiasa memperalatkan diri kamu dengan berkata, ‘Turuti aku.’  Ya, kita harus berusaha untuk  mengatasi ego diri sendiri dan Allah swt akan  memberi kita kekuatan dan kemampuan untuk kita mengendalikan ego itu.

Sering kita mendengar dari rakan yang bukan beragama Islam, betapa mereka kagum pada keteguhan dan kemampuan kita untuk menahan lapar, dahaga dan amarah sepanjang hari sewaktu berpuasa. Mereka bertanya, ‘bagaimana kamu melakukannya? Tanpa seteguk air sekalipun? Ohh, ini mustahil. Aku tidak boleh melakukannya.’

Ya. Mereka tidak boleh melakukannya. Sesuatu yang agak mustahil bagi mereka, tetapi  tidak bagi diri kita kerana telah biasa melakukannya, maka tiada terasa lagi kesukarannya. Begitu juga dengan Nabi (asws) dan para sahabatnya, juga para Awliyah Allah. Adalah mudah bagi mereka untuk berpuasa dengan sepenuh hati, akal, dan roh, serta meraih ketakwaan kepada Allah swt . Cukup bagi mereka, sekadar berbuka dengan sebiji kurma dan seteguk  air dan ia mampu memberi kekuatan yang luar biasa hingga membolehkan mereka mengharungi peperangan yang sengit. Mereka boleh melakukannya tetapi kita menganggapnya sebagai suatu perkara yang amat mustahil untuk dilakukan.

Ya, agak payah untuk kita mencapai ke derajat keimanan dan ketakwaan para kekasih Allah. Tetapi, sekurang-kurangnya kita harus menanam niat untuk menuju ke arah itu. Insya’Allah, apabila niat kita tulus dan ikhlas, Allah swt dengan segala kemurahan dan kemulian-Nya, akan menganugerahkan ganjaran pahala kepada kita. Allah akan memberi kekuatan dan permudahkan jalan untuk kita mencapai matlamat murni tersebut.

Para sahabat Nabi berdaya memperolehi puasa yang hakiki kerana mereka begitu berpegang teguh pada pembimbing yang berada di hadapan, iaitu Sheykh mereka. Siapakah Sheykh mereka itu? Nabi Muhammad (asws). Maka untuk kamu mencapai ke derajat keimanan yang tinggi ini, kamu harus mempunyai seorang Sheykh.  Sheykh kamu akan membimbing dan memberi nasihat  tentang cara yang terbaik untuk meningkatkan tahap ketakwaan kepada Allah swt.

Benar, para Sahabat berperang dalam bulan Ramadhan, di tengah terik matahari yang amat panas, hingga menyengat tubuh. Dan di tengah gurun pasir tandus, dan dalam dalam keadaan lapar, perut tanpa terisi, serta kekongkongan kering menahan rasa haus karena berpuasa. Namun dengan kekuatan ketakwaan dan keimanan serta penyerahan sepenuhnya kepada Nabi (asws), maka Allah berikan kemenangan kepada mereka. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi cinta mereka kepada Rasulullah (asws), demi Islam. Bila diuji, mereka tidak mengeluh dan merungut.  Bila kesukaran melanda, mereka tidak mengkhianati dan lari meninggalkan Rasulullah keseorangan. Begitulah betapa teguhnya keimanan para sahabat, kerana rasa cinta mereka terhadap pembimbing mereka.

Para Sahabat harus dijadikan contoh dalam keimanan dan kehidupan yang dipenuhi dengan cahaya iman. Allah swt sendiri telah memuji dan mengisytiharkan keredhaan-Nya terhadap para Sahabat. Biarpun mereka bukan maksum, tetapi mereka adalah kelompok insan pilihan yang telah berjaya membuatkan Allah swt  jatuh hati dengan mereka.

Insya’Allah ar-Rahman, semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita, semoga puasa yang kita jalankan mampu meningkatkan keimanan dan ketakwaan diri agar kita dapat terus mentaati Sheykh kita sebagaimana para Sahabat mentaati Sheykh mereka, alaihi salatu wasalam. Ini adalah amat penting bagi kita kerana hari-hari yang mendatang akan membawa bersamanya suatu musibah yang akan melanda seluruh umat manusia. Negeri Amerika ini akan diuji dengan kelaparan. Jika kita tidak membiasakan diri dengan berpuasa, puasa yang bukan hanya sekedar menahan makan dan minum  tetapi puasa yang berhasil membuat kita mengendalikan hawa nafsu, puasa yang dapat menghancurkan dinding dan tembok  ego. Jika kita berjaya mendapatkan manfaat Ramadhan dan memperolehi kemenangan ini, barulah kala ujian datang melanda, duka datang menyapa, kita rasa kuat dan tabah untuk menghadapinya. Insya’Allah. Al-Fatiha. SelamAleykum Warahmatullahi Wabarakatuhu

LokmanHoja (2)

border

Sheykh Lokman Efendi Hz,
Khalifah Kepada SahibulSaif Shaykh Abdulkerim el-Kibrisi(qs)
OSMANLI DERGAHI- New York
July 5, 2013
border (3)

This entry was posted in OsmanliJB. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s