Jadilah seperti  Askar yang sentiasa bersedia untuk dikerah pada bila-bila masa

BismillahirRahmanirRahim

Sheykh

 Auzu billahi min ash-sheytanir rajim BismillahirRahmanirRahim. Medet Ya Seyyidi Sultanul Awliya, Medet. Astaghfirullah, astaghfirullah wa shukr Allah.

Kami mengucapkan syukur kehadirat Tuhan Yang Maha Esa, Allah (swt), kerana dengan kekuasaan dan rahmat kasih sayang-Nya, Dia telah menciptakan kita dari kalangan orang-orang yang beriman. Ini sudah mencukupi bagi seorang insan untuk mengucapkan syukur dengan rasa insaf, rendah diri dan khusyuk sehingga Hari Kiamat. Hanya kerana ini: bahawa Dia (swt) telah menerima kita untuk berada di kehadiranNya.

Namun demikian, malang sekali apabila dilihat kondisi Muslim dunia di zaman sekarang ini, kesibukkan dunia menjadikan sebagian besar manusia tidak peduli lagi dengan urusan agamanya. Sebilangan besar daripada kalangan umat Islam yang tidak sedar atau menghargai nikmat yang paling besar dikurniakan kepada manusia, iaitu nikmat Iman dan Islam. Iman adalah sumber kekuatan umat. Imanlah yang menjana hati-hati kita ke arah melakukan kebaikan, kebajikan dan perpaduan (ukhuwah). Nikmat Islam dan Iman itu sesuatu yang amat berharga untuk kita. Kita sepatutnya merasa beruntung dan bangga memilikinya.  Tetapi umat manusia abad ke-21 telah kehilangan pertimbangan akal yang waras. Sehari-hari dan sepanjang masa, mereka hanya merungut-rungut, mengeluh dan memberontak.

Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun. Dari Allah kita datang, kepadaNya jua kita kembali. Ya, kita semua yang berada di dunia ini adalah milik Allah tentu akan kembali pada Allah (swt). Tiada yang dapat melarikan diri. Namun segala kunci dan rahsia adalah bagaimana akan kamu kembali menghadap  Allah? Adakah kamu akan kembali dengan janji kepada Tuhan mu yang sudah  kamu tepati? Sudahkah kamu menunaikan janji? Atau kamu akan kembali sebagai individu yang angkuh di mana mereka (para malaikat) akan membelitkan rantai di leher kamu dan mengheret kamu ke Tempat Pengadilan?

Terdapat dua jenis: sama ada kamu akan pergi ke Tempat Pengadilan secara tenang dan damai atau kamu akan diheret  dan ditarik ke sana. Apakah ianya sukar untuk kita ketahui jawapannya? Tidak. Lihatlah aktiviti, tugas-tugas, tindakan serta niat kamu di dunia. Akan kamu tahu jawapannya. Dengan sendirinya kamu akan tahu arah yang mana sedang ditujui.  Usah berkata, “Ah, masih terlalu awal untuk ku.” Tidak benar.  Seseorang yang masuk tidur di malam hari, pada keesokan paginya, mereka berkata, “Oh! Dia telah meninggal.”

“Apa yang terjadi? Adakah dia kelaparan? ”

“Tidak”

“Adakah dia sedang sakit?”

“Tidak”

“Apakah dia sudah tua?”

“Tidak. Dia masih muda. Dia pergi dengan secara mendadak. Dia mengalami serangan jantung! ”

kematian

Hmm. Azrail telah meletakkan tangannya di sana. Tamat segala-galanya. Bukan soal makan, minum, sakit atau tidak, apabila masa telah tamat, dia harus pergi. Maka kita harus lebih berwaspada. Kita tidak mempunyai kewenangan untuk bermain-main dengan kehidupan yang singkat di dunia ini serta mempersia-siakan sisa-sisa hidup yang masih berbaki. Dalam setiap nafas yang kita hirup dan langkah kaki kita setiap hari, harus dimanfaatkan dengan amal dan taqwa. Kita lupa bahawa kita pernah berjanji taat setia kepada Allah di alam roh suatu ketika dahulu. Tetapi bila kita diutuskan ke dunia, kita lupa kepada janji-janji kita kepada Allah. Kita telah berjanji dan orang yang tidak menepati janjinya akan hilang kehormatannya di Dunya dan Akhirat. Kita harus bersegera untuk memenuhi janji kepada yang Maha Esa Allah (swt). Itulah tujuan ciptaan manusia.

Kita tidak diciptakan untuk dunia. Dunia bukan tujuan utama hidup kita. Malangnya manusia kini lebih sibuk memburu dan mengejar keuntungan dunia. Demi keuntungan di dunia manusia rela berbuat dan berkorban apa sahaja. Maka dengan itu, tidak hairanlah manusia kini dibebani pelbagai masalah. Dari pelbagai peringkat umur, dari yang berusia tujuh tahun hingga ke tujuh puluh tahun, lapan puluh, sembilan puluh tahun, hati mereka tidak pernah tenang, hidup mereka sentiasa dirundung masalah. Ya Hu. Kanak-kanak berumur tujuh belas tahun kini sudah mempunyai banyak impian dan rancangan untuk mengumpulkan kekayaan dunia. Mereka masih muda. Mereka tidak mempunyai akal pemikiran yang matang. Mungkin mereka mempunyai alasan untuk bertindak demikian. Kami faham semua itu.  Tetapi bagi diri kamu yang telah mencapai usia senja, saat usia sudah mencapai  tujuh puluh, lapan puluh, sembilan puluh tahun, apakah masalah kamu? Apa yang sedang difikirkan? Apa yang sedang dibimbangkan? Bukankah kamu memiliki makanan yang cukup, pakaian  yang sempurna, dan tempat tinggal yang selamat. Jadi apa masalah kamu?

Pangkal masalahnya ialah karena hilangnya kedamaian serta ketenangan diri. Ini kerana mereka tidak termasuk dalam senarai  ‘Hamba Allah.’ Jika kamu tergolong dalam senarai mereka yang bergelar ‘Hamba Allah,’ maka keamanan akan hadir dalam jiwa. Dengan kedamaian yang dimiliki ini, kamu akan memberi penyerahan sepenuhnya kepada Allah (swt). Sungguhpun kamu bergerak, kamu berikhtiar, namun kamu akur bahawa setiap gerak dan ikhtiar diri sendiri itu tidak akan membuahkan sebarang hasil. Maka kamu akan sentiasa berdoa, “Ya Rabbi, sesungguhnya aku adalah hamba-Mu yang lemah. Aku amat memerlukan bantuan dari-Mu. Bantulah hambaMu yang lemah ini.’ Bantuan dan pertolongan Allah pasti akan diturunkan. Bantuan kini tidak sampai kepada kita kerana kita tidak memelihara janji-janji kita kepada Tuhan Maha berkuasa, Allah (swt).  Sebaik sahaja kamu menepati janji-janji itu, dengan segeranya bantuan akan tiba .

Dalam hadits Qudsi dijelaskan bahwa Allah Subhana wa Ta’ala berfirman, ‘kamu tidak memenuhi janji mu kepada-Ku , dan Aku tidak akan mempermudahkan segala urusanmu. Tepatilah janjimu terhadapKu dan segala-galanya akan berlari kepadamu. Kamu tidak perlu bekejaran.  Segala-galanya akan berlari kepada mu.’

Saya faham jika mereka yang menderita dan bermasalah adalah dari golongan orang-orang kafir yang tidak melakukan apa-apa di jalan Islam. Saya mengerti itu. Tetapi jika seorang mukmin yang mendirikan solat lima kali sehari, membasahi lisannya dengan zikir kepada Allah sepanjang masa, mereka sentiasa dibelenggu masalah duniawi, ini saya tidak mengerti.  Huh, dia mungkin boleh menderita apabila melihatkan kejahilan orang lain dan berkata, ‘begitu sombong dan angkuh  si fulan ini kepada Tuhan-Nya.’ Dia boleh bersedih kerana itu, kerana memikirkan keadaan umat ini yang angkuh, dan kesedihan itu bukan hanya akibat memikirkan keadaan diri sendiri dan kemewahan dunia ini. Tetapi hanya segelintir orang pada hari ini yang berada dalam keselamatan ini. Kebanyakkan manusia, dari timur, barat, utara dan selatan semuanya sedang dalam penderitaan.  Mereka berkata, ‘kami hidup di negara-negara dunia ketiga.  Hidup kami sentiasa dibebani masalah. Masalah kewangan yang tidak putus-putus. Mari kita ke Amerika untuk memperbaiki mutu kehidupan ini.’ Maka mereka berhijrah ke Amerika dan menjadi abdi-abdi dunia. Dunia yang seharusnya dijadikan sebagai hamba, telah berbalik menjadi tuan. Dunia yang seharusnya tidak pernah bertakhta di dalam sanubari, malah menjadi raja yang mengatur semua organ tubuh mereka. Sesungguhnya mereka benar-benar telah tewas.

Bangunlah dan sedarlah sebelum malaikat maut datang mengetuk pintu bertanya adakah sempurna iman kamu untuk kamu sembahkah kepada Allah Rabbul Alamin. Azrail tidak akan menanti  untuk kamu memberi kebenaran, ‘Hadirlah, aku telah bersedia.’ Tidak. Dia tahu bila saat dia akan datang menjalankan tugas yang telah diamanahkan oleh Allah. Ketika ia datang menjemput kita, lidah kelu tidak lagi punya upaya untuk meminta pertolongan. Dengan matilah ditutupnya lembaran amalan kita dan terkuncilah sudah pintu taubat. Maka siapalah yang lebih bijak dari manusia yang mempersiapkan dirinya untuk itu. Walaupun kita tahu bila Azrail akan datang mengunjungi, pada setiap masa dan ketika, kita perlu bersedia. Siapa kata yang Allah tidak akan mengubah? Jika Allah berkehendak atau menghendaki sesuatu, adalah mudah bagi Allah, dan terjadilah segala sesuatu hanya dengan kehendakNya. Sekiranya kamu tahu bahawa kamu akan mati sepuluh tahun dari sekarang,  jika Allah ingin mengubahnya, Dia hanya akan berkata kepada Azrail, “Pergi dan ambil nyawanya sekarang.” Apa yang akan kita lakukan?

Ya, maka kita harus menjadi seperti anggota tentera, sentiasa berwaspada  di samping bersedia untuk bergerak. Bergerak bukan untuk memusnahkan. Tetapi bergerak untuk meninggalkan dunia ini menuju ke alam akhirat. Kamu hanya sibuk dengan mengeluh, merintih dan mengadu sepanjang masa untuk menyelesaikan masalah-masalah dunia yang tiada berkesudahan, kerana kamu tidak pernah memikirkan bahawa Allah sengaja telah meletakkan masalah-masalah ini  agar mereka yang bijak akan berkata, “Oh, aku tidak mencipta dunia ini. Aku tidak mencipta masalah-masalah ini. Segala yang telah ditentukan untuk ku, akan aku bersegera untuk mengambilnya dan yang bukan untuk ku, akan aku tinggalkannya.’

Janganlah kita berkejaran untuk dunia semata. Jangan biarkan diri terperangkap di jaring-jaring dunia yang ditebar sheytan di berbagai sudut-sudut nafsumu.  Sesungguhnya pencinta dunia adalah manusia yang tidak sabar, yang hanya ingin memperoleh yang dekat sambil meninggalkan yang jauh. Yang dekat ialah kesenangan dunia fana. Sedangkan yang jauh ialah kebahagiaan hakiki akhirat yang kekal-abadi. Dunia ini sangat sementara dan sangat singkat perjalanannya. Adapun akhirat merupakan tempat yang jauh lebih hakiki dan kekal untuk dijadikan ambisi. Oleh itu persibukkan lah diri kita dengan usaha untuk menggapai kecintaan Allah swt.

Jika hati telah dipenuhi dengan rasa cinta kepada Allah, maka tidak ada ruang lagi bagi selain-Nya, dan pada waktu itu diri itu tidak akan sabar untuk menantikan kehadiran Azrail untuk menjemput kita kembali. Bahkan jika seluruh isi dunia ini disajikan kepadamu, akan kamu mencampakkan segala isi dunia sejauh-jauhnya dan tidak menyibukkan diri untuk mengingat-ingatnya. Kamu tidak menginginkannya. Hati itu hanya terisi dengan ingatan pada Sang Maha Pencipta.  Kamu akan meminta untuk segera bertemu dengan-Nya dan berdoa, ‘Ya Rabbi, sungguh aku tidak sabar menanti. Hantarkanlah Azrail kepada ku.’  Tetapi oleh kerana Rasulullah (asws) telah mengatakan, ‘Jangan sekali-kali seseorang diantara kamu mengharapkan  kematian,’ kepada mereka, para Awliya Allah yang sentiasa berusaha untuk melakukan amal kebaikan di jalan Allah. Jika bukan kerana itu, kamu tidak akan mendapati satu pun dikalangan mereka yang masih hidup kini. Mereka semua akan berkata, ‘Ambillah kami dari dunia ini. Kami tidak ingin lagi melihat keadaan huru-hara di dunia ini.’ Di setiap penjuru dunia, dari sebelah timur, barat, utara dan selatan, di setiap rumah, di setiap dergah, di setiap masjid, di setiap dewan solat dan tempat-tempat beribadah, semuanya kini menjadi tunggang terbalik.

Wajarlah kita sedarkan diri kita dari lamunan nikmat dunia. Kita sebenarnya tidak mempunyai banyak masa. Banyak kerja perlu dilakukan. Banyak perkara perlu kita persiapkan. Jangan kita mensia-siakan waktu dengan ilusi dan khayalan dan berkata pada diri sendiri, ‘Akulah yang terpilih.’ Tidak. Keterpilihan kamu adalah berdasarkan kesungguhan dan pengorbanan melaksanakan perintah, dan menjauhi larangan-Nya serta memelihara janji-janji terhadap Tuhanmu. Jika kamu melaksanakan perintah Allah swt dan mengikuti perintah Rasul-Nya dan bersungguh-sungguh untuk senantiasa menjaga, memelihara, dan melaksanakan janji kepada Allah,  maka  Allah swt akan memberi kemuliaan abadi kepadamu. Dan apabila Allah swt telah memberi kemuliaan serta mengangkat derajat seseorang hambNya, tiada siapa yang akan dapat menjatuhkannya.  Mereka yang tidak diberi kemuliaan dan tidak diangkat derajatnya di sisi Allah, tiada siapapun yang dapat meletakannya di atas. Mungkin secara duniawi, kamu akan dapat memiliki beberapa pangkat dan kemewahan, tetapi kamu akan sentiasa berada di derajat yang paling rendah di sisi Allah. Dan satu-satunya cara untuk meningkatkan derajat kemuliaan adalah dengan  Taqwa.  Mereka yang mempunyai ketinggian Taqwa adalah mereka yang bersegera untuk memenuhi janjinya kepada Tuhannya.  Wa min Allahu Tawfiq Bihurmatil Habib Bihurmatil Fatihah.

dua

Khutbah Jumaat oleh Sheykh Abdul Kerim al-Hakkani al-Kibrisi Hz
Jumaat 29 Jumad al-Awwal, 1428 June 15,
2007 Osmanli Naks-i’bendi Hakkani Dergah,
Siddiki Center, New York.

This entry was posted in OsmanliJB. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s