Keimanan yang tak dapat ditukar gantikan dengan gemerlap dunia

BismillahirRahmanirRahim

SahibulSaif Sheykh Abd Kerim Effendi

Hidayah hanyalah milik Allah, dan Allah memberi hidayah kepada orang yang dikehendakiNya. Barangsiapa yang Allah beri hidayah, tidak ada seorang pun yang bisa menyesatkannya dan barangsiapa yang telah Allah sesatkan, tidak ada seorang pun yang bisa memberi hidayah kepadanya. Allah swt berfirman yang bermaksud: “Allah memberikan hidayah kepada siapa yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus” dan, “Barangsiapa yang mengharap kebaikan dalam keinginannya, maka ia tidak akan disiasiakan.”

Mintalah, maka akan diberikan kepadamu; carilah, maka kamu akan mendapat. Mohonlah dari Nya. Akan dikurniai setiap permintaan itu. Allah memberi mengikut kehendak masing-masing. Manusia cenderung menginginkan sesuatu. Tetapi bilakah masanya yang mereka akan bermohon kepada Allah? Sudah semestinya sewaktu berada dalam kesusahan. Di kala dalam kesulitan, manusia biasanya cenderung lebih dekat dengan Allah. Pada waktu itu, mereka akan bersegera dalam memohon pertolongan Allah. Tetapi setelah memperolehi kenikmatan, mereka lupa kepada-Nya. Mereka meneruskan hidup dengan mengabaikan perintah Allah dan melanggar larangan-Nya.

Sesungguhnya Allah memperhatikan semua ini. Saat ditimpa kesulitan, pantas kamu bersujud dengan penuh harapan, memohon pertolongan dariNya. Dengan penuh keyakinan, kamu menanti agar Allah menghulurkan bantuan. Begitu kamu mengharap agar Allah membuka luas ruang pintu-Nya untukmu. Jika pertolongan-Nya itu dilupakan dengan serta-merta, maka akan diturunkan satu lagi kesusahan yang lebih berat pada dirimu. Pada waktu itu, akan kamu dapati bahawa masalah tidak akan terlerai dengan begitu mudah. Kali ini, kamu akan mengalami penderitaan yang berlarutan.

Sedarlah dan bangkitlah wahai umat Islam.  Jika kalimah syahadah yang kamu lafazkan dengan kejujuran benar-benar telah menusuk ke dalam kalbu, maka ia sudah cukup untuk menyedarkan diri serta membangkitkan kamu dari kelekaan yang berpanjangan. Jika tidak, usahlah kamu membuang waktu.

Ramai orang yang telah datang menghadapi baginda Rasulullah (asws). Maksud kedatangan mereka hanya untuk membebani diri baginda. Mereka berkata, “Kami menerima Islam. Kami adalah golongan yang beriman dan kami menginginkan itu dan ini.” Allah (swt) berfirman yang bermaksud: katakan kepada mereka, Ya Muhammad, bahawa penerimaan Islam mereka tidak langsung memberi sebarang manfaat ke atas diri mu. Bahkan ia adalah untuk kebaikan diri mereka sendiri. Dan katakan juga bahawa kedudakan agama ini tidak akan tergugat atau terancam disebabkan tindakan mereka untuk menerima atau meninggalkan Islam. Sama ada mereka menerima atau tidak, nilai Islam akan sentiasa menempati kedudukan yang amat tinggiMalah dengan pemelukan Islam, nilai diri seseorang itu yang akan menjadi lebih tinggi. Jika sesiapa inginkan bukti, maka suruhlah mereka meninggalkan agama ini. Pergi dan lihat sendiri sama ada kedudukan tinggi Islam akan terancam dengan ketiadaan mereka. Apakah agama ini akan runtuh atau ia tetap berdiri kukuh? Lihat sendiri.

Barangsiapa yang memilihara kemurnian Islam serta meletakkan Islam di kedudukan teratas, nescaya Allah swt akan mengangkat derajat dan memberi kemuliaan pada diri mereka. Ketahuilah bahawa ramai yang telah gagal dalam percubaan untuk menjatuhkan Islam. Berkurun-kurun lamanya mereka telah mencuba.  Namun ia tiada mendatangkan sebarang hasil. Mustahil untuk Islam dijatuhkan!

Hamba. Manusia adalah hamba kepada Sang Maha Pencipta alam semesta. Ratusan, ribuan dan jutaan manusia telah datang dan pergi. Mereka mengabdikan diri dan mati sebagai hamba. Berapa ramai pula diantara mereka yang kamu kenali? Lupakan golongan hamba. Berapa ramaikah di kalangan golongan bangsawan dan Raja-Raja serta pemimpin dunia yang pernah wujud sejak zaman baginda Rasulullah (asws) hingga ke masa kini, yang kamu kenali? Bukankah mereka yang benderanya berkibar megah satu masa dahulu, menguasai dunia? Bukankah mereka begitu dikenali dan disegani di sluruh dunia? Berapa ramaikah diantara raja-raja ini yang masih kamu ingati?

Kita lupakan dulu golongan Raja dan Bangsawan. Kita sekarang hidup di zaman serba canggih dimana kita sendiri yang melantik ketua negara melalui hasil pilihan raya. Berapa ramaikah di antara Presiden-presiden ini yang kita ingati? Huh! Hilang, lenyap, luput, mati, tamat semuanya. Nama-nama yang pernah mashyur satu ketika dulu, kini terpadam dari senarai. Semuanya dicampakkan ke dalam tong sampah.

Namun terdapat nama seorang hamba Allah yang kekal dalam ingatan seluruh umat manusia. Bilal-e Habashi (Sayyidin Bilal Bin Rabah r.a). Beliau teramat istimewa. Begitu luar biasanya hamba Allah ini hinggakan kita wajib berdiri untuk memberi penghormatan setiap kali namanya disebut. Nama beliau akan terus kekal dalam lipatan sejarah sebagai seorang manusia luar biasa yang punya cinta yang luar biasa juga sifatnya, pada Allah dan RasulNya. Itulah kekuatan sebenar yang ada pada insan istimewa ini

Apa yang membuat beliau begitu istimewa?

Seperti yang lainnya, Bilal (ra) juga adalah seorang hamba. Namun beliau bukan hamba yang wenang-wenang dalam sejarah Islam. Beliau bukan figur yang calang -calang dalam kalangan para sahabat. Beliau adalah seorang hamba Habsyi yang pertama beriman kepada risalah yang dibawa Nabi (asws) dan sebagai hamba, beliau amat menyanjungi setiap ajaran, arahan dan anugerah Allah ke atas dirinya. Beliau begitu menggenggam erat pada kata-kata Allah swt tanpa mempedulikan mereka disekeliling yang sering mempersendakan dan memperkecilkan kata-kata dari  yang Maha Berkuasa. Walau apa jua kepayahan dan penderitaan yang terpaksa dilalui, ia sedikitpun tidak menggugat keimanan beliau. Keimanan yang membara dalam sanubari seorang hamba ini tidak dapat ditukar gantikan dengan dunia yang hina.

Bilal-ibn-Rabah

Bilal, dengan kecintaannya yang mendalam, tidak berbelah bagi dan tiada kompromi kepada Allah dan RasulNya, memilih untuk terus kuat dan sabar di atas jalan taqwa; jalan penuh duri tetapi tabah dilalui dengan penuh cinta dan kesetiaan. “Ahad! Ahmad!” Bergetar-getar suara Bilal apabila diheret merentasi padang pasir yang panas membara.
“Ahad! “Ahmad!” Tiada lain yang keluar daripada mulutnya apabila tubuhnya disebat dengan cemeti  berulang kali hingga lebam dan cedera di tengah-tengah padang pasir yang membunuh. “Ahad! Ahmad!” Itu sahaja yang mampu dituturkannya, penuh yakin dan kental tatkala badannya yang legam itu dihempap dengan batu besar oleh Umayyah, tuannya yang bengis menggila.

Itulah Bilal-e Habashi (ra). Hamba yang begitu memegang teguh kepada ajaran yang dibawa oleh baginda Rasulullah (asws). Bilal sendiri mengakui bahawa, “Inilah (Rasulullah) orangnya yang bertanggungjawab menanam benih iman di hatiku dan memberi perlindungan pada diriku.” Kecintaan Bilal pada Rasulullah (asws), kekasih jiwanya tidak perlu diragui lagi. Meski Bilal hina pada pandangan mata manusia yang khilaf, namun dia berdiri gah dan terhormat di sisi Allah dan para malaikat yang memenuhi langit dan saf.  Begitu nyata sekali kasih sayang beliau terhadap Rasulullah (asws) sehingga apabila wafatnya baginda (asws), Bilal tidak ingin meneruskan kehidupan ini. Namun beliau sedar bahawa persoalan hidup dan mati tidak terletak di tangan manusia. Allah yang menentukan segalanya.

Dek kesedihan yang melampau, Bilal mengambil keputusan untuk meninggalkan Madinah penuh barakah itu ke tanah Syam, kerana tidak sampai hatinya untuk memijak tanah yang mengandungi jasad baginda di dalam perutnya. Para sahabat, terutamanya Abu Bakr (ra) amat berat mahu melepaskan Bilal, kerana besarnya jasa dan peranan yang dimainkan oleh Bilal dalam menegakkan Islam. Beliau mohon kebenaran dari Abu Bakar Siddik (ra) untuk berhijrah. “Wahai Abu Bakr. Tiada terdaya lagi aku menanggung perasan ini. Tiada aku mampu untuk terus hidup di kawasan ini lagi. Kamu mempunyai tanggungjawab yang lebih berat dariku, maka kamu harus menetap di sini. Tetapi aku tidak mampu untuk berada terus di sini dan melaungkan Azan lagi. Andai dahulu dikau bebaskan aku kerana Allah, maka izinkanlah aku untuk pergi. Namun andai dahulu dikau bebaskan aku untuk dirimu sendiri, maka tahanlah aku di sini bersamamu.

Abu Bakar (ra) menjawab, ” Wahai Bilal, pergilah.” Untuk itu, Abu Bakr melepaskan Bilal pergi, dengan penuh rasa sayu di hati.

Bilal pergi berjalan kaki merantau jauh hingga ke Damascus. Semenjak itu, Bilal berazam untuk tidak melaungkan azan lagi. Kerana lidahnya kelu, keras membisu setiap kali sampai ke kalimat Ashhadu anna Muhammadar Rasulullah!” Tidak tertahan rindu di hati mengenangkan insan mulia yang telah mengubah perjalanan hidupnya buat selamanya. Jiwanya sentiasa hangat membara dengan perasaan cinta sejati yang sesungguhnya terhadap Rasulullah (asws). Segala ilmu yang dicurahkan baginda sws telah memenuhi jiwa raganya, dan setiap detik yang berlalu mengembalikan kenangan dan mengingatkan beliau pada peristiwa-peristiwa yang dilalui sewaktu berada di sisi Rasulullah (asws).

Begitu hangatnya perasaan cinta yang membara di hati seorang hamba Allah itu sehingga di satu hari, beliau terbayang wajah Rasulullah berada di hadapannya. Rasulullah (asws) menyeru kepadanya, “wahai Bilal, apakah kamu tidak merinduiku? Apakah kamu tidak mahu menziarahiku?”

Bilal menjadi bingung dengan apa yang dilihatnya itu. Beliau terus bangkit dan mula berlari menuju ke arah padang pasir. Amat pedih mengenangkan segala memori bersama orang yang paling dicintainya. Terbayang keindahan akhlak, ketelusan budi pekerti, kasih sayang Baginda, bahkan segala-galanya pada susuk seorang kekasih, itulah Muhammad bin Abdullah. Bilal lari dan terus berlari hingga akhirnya tiba di kota Medina. Bilal kemudiannya berjumpa dengan cucunda Nabi (asws), Hassan dan Hussain, pemuka para pemuda ahli syurga, beliau memeluk dan mencium kedua-duanya. Dalam suasana kesedihan itu Hassan dan Hussain berkata, “Wahai Bilal, kami terlalu ingin mendengar azan yang kamu laungkan.”

Walaupun hatinya membara karena rindu, pemintaan dua cucunda Nabi (asws) itu tidak dihampakan. Lantas beliau bersedia untuk melaungkan azan. “Allahu akbar, Allahu akbar… Allahu Akbar, Allahu Akbar” laungan pertama menyebabkan Madinah kegamatan. Ramai rakyat Madinah terkejut, merindui suara azan Bilal bin Rabah. Para sahabat yang masih menetap di situ bergegas keluar dari rumah masing-masing dan menuju terus ke arah suara laungan azan . Mereka sangkakan bahawa Rasulullah (asws) telah kembali. Mereka mencari-cari arah datangnya suara dengan hati bergetar penuh kerinduan.

Apabila sampai pada laungan, “Asyahadu Anna Muhammad Rasulullah,” Bilal jatuh pengsan kerana terlalu sedih. Apabila disedarkan oleh para sahabat, Bilal dengan tangisan yang membasahi seluruh wajah dan janggutnya berkata: “Aku amat rindukan Rasulullah yang sentiasa berada di sisi ku, menjawab setiap bait azan yang aku laungkan… Sungguh, aku amat rindukan suara dan susuk jasad Baginda.” Sewaktu Bilal berada di atas katil kematiannya, sang isteri berasa amat sedih dan pedih lantas mengucapkan, “Alangkah malangnya!” Tetapi pada saat itu, Bilal sempat berkata, tidak, tidak. jangan berkata begitu wahai isteriku. Katakanlah alangkah gembiranya! kerana pada hari ini Bilal akan bertemu dengan kekasih hatinya yang dirinduinya, Muhammad (asws) dan rakan-rakannya yang lain yang telah pergi dahulu.” Cinta Bilal yang suci akhirnya bersemi.

Subhana’Allah. Bertanyalah pada diri sendiri, rindukah kita pada Baginda? Apa bezanya kita dengan para sahabat? Kita juga mengaku mencintai Rasulullah (asws), tetapi dimanakah kita letakkan perasaan cinta itu? Huh? Di mana? Di dunia?

Hapuskan semua itu. Hilangkan perasaan cinta kepada dunia. Kerana cinta dunia itulah salah satu sumber kehancuran utama umat Islam. Gemerlap dunia seringkali membuat orang tersesat sehingga lupa pada tujuan hidupnya sebagai musafir menuju alam akhirat. Cinta dunia akan menghambat perjalanan kamu untuk mencapai tahap keimanan yang tinggi. Mustahil bagi kamu untuk memiliki keutuhan iman dengan cara begitu. Jadilah generasi yang meneladani sifat dan perilaku sahabat Rasulullah (asws). Mereka bukan sekadar menghapuskan perasaan cinta dunia dari jiwa mereka, bahkan segala harta kekayaan yang dimiliki termasuk juga jiwa dan raga sanggup dipertaruhkan demi Rasulullah (asws), demi Islam.

Sedarkan diri sendiri.  Jika hidup kamu tidak dibina atas dasar kepercayaan agama yang kukuh, lambat laun, diri kamu akan jatuh ke dalam perangkap duniawi. Sekiranya ini berlaku ke atas diri kamu, jangan kamu menuding jari di kemudian hari nanti dan berkata, “Allah tidak memberi petunjuk pada saya.” Allah swt memberi. Malah Allah memberi lebih dari apa yang kamu minta. Dan Allah juga melihat kepada diri kamu. Apakah pemberian yang kamu ingini dari Nya. Adakah ia hanya bersifat duniawi. Kerana apa jua yang kamu hargai, itulah yang akan menjadi keutamaan dalam hidup kamu.WaminAllahu Taufiq. Bihurmatil Habib, Bihurmatil Fatiha.

SE and Maqam

cute woman over white

SahibulSaif Sheykh Abdul Kerim Effendi Hz,
Khalifah kepada Sheykh Maulana Muhammad Nazim Adil al-Hakkani (qs),
OSMANLI DERGAHI- New York

cute woman over white

 

 

This entry was posted in OsmanliJB. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s