Mengapakah Osmanli Dergah berpusat di New York?

BismillahirRahmanirRahim

OsmanliNY

Kerana kita adalah sebuah ‘Empire State’. Itulah sebabnya. Dan Empayar akan menyerang semula dari sini. Usah ragu (Sheykh tersenyum).

Mengapa di sini? Kerana Islam akan bangkit dari Barat. Amerika adalah benua terbesar kedua yang terletak di belahan bumi sebelah Barat. Sesungguhnya dunia barat dipimpin kini oleh Amerika yang dianggap sebagai pusat kemajuan peradaban dunia. Amerika kini telah menjadi kiblat peradaban dunia dan dari situlah Islam akan bangkit.

Saat ini, Islam dan keberadaan orang Islam semakin diakui oleh pemerintah maupun masyarakat Amerika. Sejak beratus-ratus tahun dahulu lagi, para Awliya-Awliya Allah telah meramalkan bahwa gelombang kebangkitan Islam dari Barat akan berakar dari sebuah negara yang bermula dengan huruf Aliff.  Demikianlah, suatu saat janji-Nya pasti terbukti, bahwa Islam akan meliputi ujung timur dan barat dunia. Pada saat itulah kemuliaan Islam akan tampak nyata.

Ini adalah perkara yang sangat penting dan pengetahuan yang amat mendalam. Kita tidak tahu apa-apa dan kita tidak akan terlalu membicarakan tentang soal ini. Tetapi yang nyata, Osmanli Dergahi berpusat di New York kerana Sheykh Abdul Kerim Effendi al-Kibrisi Hz telah diarah oleh Sheykh Nazim Hazretleri untuk ke Amerika Syarikat dengan tujuan menyebarkan kebenaran, kedamaian dan keindahan Islam serta memupuk perasaan cinta terhadap kesucian agama Islam dikalangan rakyat Amerika. Sultan ul-Awliya telah menghantar beliau ke Amerika dikala usia beliau hampir mencecah dua puluh tahun. Di negara Amerika ini, Sheykh Abd Kerim  telah memberi tumpuan sepenuhnya dalam membantu pelbagai lapisan masyarakat untuk mempertingkatkan tahap pemahaman mereka terhadap Islam. Beliau berusaha  gigih dalam mendidik dan menyemai benih-benih keimanan dan ketakwaan kepada Tuhan dalam jiwa gersang warga Amerika yang ketandusan Iman.

Ramai di kalangan warga Amerika pada ketika itu yang tidak mengenali Islam. Namun demikian, hati mereka sentiasa terbuka untuk mendalami Islam kerana pada ketika itu, peristiwa 9/11 dan beberapa peristiwa kekejaman  dan kezaliman yang lain belum berlaku lagi. Sheykh Abdul Kerim telah berjaya menyelami jiwa lesu mereka  yang kekontangan iman. Pendekatan dakwah beliau telah berjaya menarik ramai untuk menyelami kebenaran Islam dan sekaligus memeluk agama yang suci ini. Ramai  yang sedang terjerumus ke dalam gaung jijik penagihan dadah berserta dengan mereka yang hidup dalam kemurungan akibat kehidupan yang saban hari bergelumang dengan masalah demi masalah telah dapat beliau selamatkan dengan memberi suntikan kasih sayang Allah dalam hidup mereka. Berkat usaha murni yang berterusan ini, Sheykh Abd Kerim juga telah berjaya memulihkan dan menarik keluar penagih-penagih degil yang kehidupan mereka tidak pernah lekang daripada dihimpit penderitaan. Di negara ini, dengan berbekalkan semangat yang jitu, beliau telah mempertingkatkan usaha penyebaran dakwah Islamiah secara terbuka dan tujuan murni ini telah dapat dicapai menerusi usaha gigih beliau dalam menubuhkan pusat-pusat Dergah.

Pada pertengahan 1990-an, Sheykh Abdul Kerim telah menubuhkan sebuah pusat Sufi Naksibendi pertama di New York City. Dengan memperolehi sebidang tanah di sebuah perkampungan kecil di daerah Sidney Amerika, Sheykh Abd Kerim telah memenuhi impian beliau untuk mendirikan sebuah Pusat Dergah Osmanli. Di  Pusat Osmanli ini, beliau telah menghidupkan syariat dan mengembalikan keadilan keSultanan Uthmaniyah. Beliau sentiasa mengambil iktibar dari pencapaian terunggul Sultan-Sultan Uthmaniyah dalam bidang ilmu pengetahuan, kebudayaan dan perhubungan sesama insan. Sebagai cucu dari keturunan Sultan Uthmaniyah, Sheykh Effendi berusaha gigih untuk menyerapkan kebudayaan serta pekerti mulia Uthmaniyah dalam kehidupan seharian. Sesungguhnya Kerajaan Uthmaniyyah merupakan sebuah empayar yang telah menyatukan umat yang berpecah-pecah dan mendapat sokongan padu dari segala ceruk dunia Islam. Khilafah Uthmaniyyah juga telah meneruskan usaha-usaha dakwah Rasulullah (asws) dengan meningkatkan pembukaan wilayah-wilayah yang baru dan sekaligus ia telah berjaya membina sebuah tamadun Islam yang agung lalu menguasai dunia dan mencapai tahap kemakmuran yang sangat memberangsangkan.

Ya, Empayar Uthmaniyyah, sebuah Khilafah yang diberkati oleh Nabi Muhammad (asws), yang telah melahirkan antara tamadun manusia yang terunggul di dunia, sebuah Khilafah yang telah diberi pujian dan dianugerahkan kemuliaan yang tertinggi oleh Allah swt. Ini adalah Khilafah yang tidak membezakan bangsa, warna kulit, bahasa, dan budaya tetapi memberi penghormatan kepada setiap individu berdasarkan kedudukan masing-masing dan memberi hak-hak kepada setiap agama, termasuk penganut agama Kristian dan Yahudi untuk meneruskan amalan ibadah mereka. Dengan cara ini, mereka telah dapat bangkit untuk menerajui sebuah empayar yang hebat dan berkuasa yang telah membangunkan tamadun Islam  dan melahirkan antara tamadun manusia yang terunggul di dunia.

Sheykh Abdul Kerim al-Kibrisi mempunyai susur galur  dari Sultan Uthmaniyah. Dalam tubuhnya mengalir kuat darah Uthmaniyah yang berasaal dari ayahandanya. Keturunan beliau menjejak kembali kepada Fatih Sultan Mehmet Khan. Dan  beliau telah datang ke Amerika ini, untuk membawa cahaya Tarikat dan pada waktu yang sama, menghidupkan semula nilai-nilai kehidupan Islam yang mulia yang telah diterapkan oleh Khilafah Uthmaniyah yang dibangunkan atas asas takwa dan keredhaanAllah swt. Kehidupan Islam yang melengkapi syarat-syarat dan ciri-ciri yang ditetapkan oleh al-Quran dan as-Sunnah sehingga wujud sebuah masyarakat yang aman harmoni dan mendapat keampunan Ilahi, sebuah Tamadun Islam bermatlamatkan keampunan dan keredhaan Allah, untuk kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

Ya, perjalanan Osmanli Naksibendi telah diwujudkan sejak hadirnya Sheykh Abdul Kerim Hz ke bumi Amerika ini, dan ia akan kekal berterusan hingga kegemilangan Islam akan tumbuh berkembang semula ke seluruh penjuru dunia, dan ia menjadi sebagai kuasa terbesar dunia. Ya, beliau berpangkalan di sini, di atas gunung ini, kerana para Awliya Allah telah membuat keputusan, dan Nabi (asws) telah memerintahkan bahawa sesungguhnya dari sini, insya’Allah ar-Rahman, dengan berkat Sheykh kami, akan tersebar luaslah cahaya  keagungan dan kemenangan Islam.

Amerika kini adalah pusat Dunia yang menggenggam urat nadi dan ekonomi dunia. Seluruh dunia akan dapat menyaksikan tertegaknya Syahadatul Haqq yang akan berakar dari pusat dunia ini. Lima tahun yang lalu, Sheykh Abdul Kerim Hz telah menghadirkan diri di hadapan Rumah Putih dan beliau telah mencacakkan Panji –Panji Islam, Panji-Panji Rasulullah dan Panji-Panji Uthmaniyyah yang kini sedang berkibar megah dan tercacak teguh di Jantung Negara Kapitalisme itu. Segala yang menjadi rahsia sudah pun terungkap. Segala yang samar sudah menjadi terang. Kita hanya menantikan isyarat dari Allah swt dan Rasul-Nya (asws).

InsyaAllah, seluruh dunia Islam akan diselamatkan dan disatukan di bawah satu payung pemerintahan yang diberkati Allah. Di kala ini, maka akan terbebaslah saudara-saudara kita dari belenggu negara-negara kafir penjajah, akan keluarlah saudara-saudara kita dari segala cengkaman sekular dan kekufuran. Dan akan berakhirlah segala penderitaan dan kesengsaraan umat Islam. Dengan bersatunya negara-negara kaum Muslimin di bawah Khilafah, maka akan lenyaplah segala kebatilan dan akan zahirlah agama Allah di muka bumi.

Jika kamu dapat menerima hakikat kebenaran yang disampaikan ini, pastinya kamu akan menemui keselamatan. Tetapi sebaliknya jikalau kamu mempunyai kesangsian dan ketidakyakinan , maka duduk dan berfikirlah dengan sedalamnya dan pastikan kamu membetulkan pemikiran kamu itu. Kerana pemikiran dan idea-idea kamu tidak akan mengubah realiti. Pemikiran saya dan kata-kata saya juga tidak akan merubahnya. Tetapi saya kini sedang  berbicara dengan kata-kata yang telah disampaikan oleh Rasulullah (asws). Jika kamu meyakini dan menghayati dari setiap kata-kata ini, maka kamu akan memperolehi keselamatan Dunya dan Ahiret. SelamAleykum.

khalifah

stock-vector-vector-vintage-borders-54193183 (2)Sheykh Lokman Efendi Hz,
Khalifah of SahibulSaif Shaykh Abdulkerim el Kibrisi (qs),
OSMANLI DERGAHI- New York
stock-vector-vector-vintage-borders-54193183 (2)

 

 

This entry was posted in OsmanliJB. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s