Pengorbanan Demi Khilafat 

BismillahirRahmanirRahim

Kami mohon sokongan dari Sheykh kami, Pemilik Pedang, Sahibul Saif, Sheykh Abdul Kerim Al-Kibrisi ar-Rabbani Hz, yang kini berada di puncak pergunungan Qaf dan beliau sedang bersedia untuk suatu kejadian besar yang bakal menimpa di Akhir Zaman ini, dimana kita juga sedang membuat persiapan. Suatu peristiwa besar telah berlaku seratus tahun yang lalu, dan suatu kejadian yang lebih besar akan berlaku tidak lama lagi. Apakah peristiwa besar yang dimaksudkan itu? Apakah tujuan kita berada di sini pada malam ini?

Untuk memperingati. Ya Rabbi, sungguh Kau menjadi saksi bahawa kami sedang memperingati orang-orang yang Kau sayangi, kami memperingati orang-orang yang Kau cintai, yang telah mengorbankan nyawa mereka untuk Mu, sebagai Khalifah Mu, demi Islam. Dan mungkin juga terdapat berjuta-juta atau berbilion-bilion dikalangan ummat ini yang tidak memperingati dan tidak memahami, dan tidak memberi sebarang penghargaan kepada mereka, Ya Rabbi, terimalah ibadah kami yang lemah ini. Dengan berkat Sheikh kami, maka kami memperingati, kami memahami dan kami mohon bantuan dari semua pahlawan-pahlawan Islam yang telah mendahului kami, yang telah mengorbankan nyawa mereka untuk Mu Ya Rabbi serta Rasul Mu, yang telah mengorbankan jiwa raga mereka demi Islam. Berikanlah kami setitik dari keimanan mereka Ya Rabbi, agar di hari-hari yang mendatang kami juga boleh mengorbankan kehidupan ini, mengorbankan segala-galanya demi untuk Mu. Semoga ia diterima, Insya Allah. Al-Fatihah.

Pertempuran Canakkale telah mengorbankan sebanyak 250 000 nyawa kaum Muslim, Mukmin, Mehmet, dan Mehmetci. Apakah itu Mehmetci? Mereka biasa memanggil askar Uthmaniyyah dengan panggilan Mehmetci, yang bermaksud Mehmet kecil. Mehmet adalah nama Rasulullah (asws) (Muhammad). Uthmaniyyah memiliki adab, budi pekerti dan akhlak yang mulia. Mereka memiliki adab Syurgawi. Amat jarang sekali mereka akan menggelarkan diri mereka, atau memanggil sesiapapun pada waktu itu dengan nama penuh Nabi. Kerana nama itu amat mulia hinggakan apabila kamu menyebutkan sahaja Muhammad (asws), kamu perlu memberikan Salawat keatas nama itu. Namun pada hari ini dapat kita lihat begitu ramai orang yang mempunyai nama yang mulia ini tetapi ia digunakan dalam keadaan yang sangat kotor, keji dan hina sekali. Kita kerap mendengar kini orang mengutuk serta mengeji sesama sendiri dengan menggunakan nama itu. Kita juga dapat melihat nama itu diletakkan di hadapan kedai-kedai menjual pizza, dan menjual pelbagai barangan yang lain!

Namun Uthmaniyyah memiliki adab Syurgawi. Mereka memiliki adab daripada ahli Jannat. Walaupun Nabi (asws) berkata, ‘Apabila kamu menamakan salah seorang dari ahli keluargamu dangan namaku, niscaya Allah Ta’ala mengaruniakan berkah didalam rumah itu.’ Nabi (asws) tidak sekadar memiliki satu nama. Beliau mempunyai banyak nama yang lain: Ahmet, Mahmud, Mustafa, adalah antara nama-nama-Nya. Di dalam Delail e- Sherif sahaja, beliau mempunyai lebih daripada 200 nama dan gelaran yang diberikan kepadanya. Dan Mehmet adalah salah satu daripada nama-nama Nya. Apabila kita menyebut Mehmetci, Mehmet kecil, maka kita sedang memperkatakan tentang mereka yang walaupun kecil dari segi penampilan, tetapi tegap berdiri di jalan Rasulullah (asws). Merekalah pejuang Islam sejati yang rela mempertaruhkan nyawa di jalan Rasulullah (asws).

Maka askar-askar Mehmetci ini, sebanyak 250 000 orang, telah gugur syahid di Selat Gallipoli, Canakkale. Sheykh kami, semoga Allah meningkatkan derajat beliau ke kedudukan yang tertinggi, juga merupakan seorang Syahid, sama seperti mereka yang telah mendahuluinya sebagai syahid. Semoga kita turut diberi gelaran itu di akhir kehidupan ini. Sheykh Effendi menceritakan sewaktu beliau mengunjungi kawasan Canakkale, di mana tentera Khalifah telah berhadapan dengan tentera-tentera musuh, jarak diantara mereka adalah tidak lebih dari seratus meter, malah kelihatan juga jarak diantara mereka tidak lebih dari sepuluh meter jauhnya. Dan mereka berjuang mengorbankan  harta dan jiwa menuju ridha Allah swt. Siapakah mereka Mehmetci? Merekalah, terutama sekali orang-orang Turki, Kurdi, dan beberapa orang Cherkez dan Balkan; mereka adalah tentera Khalifah yang telah pergi menghadapi musuh di Canakkale berbekalkan peralatan perang dan senjata yang serba kekurangan, peluru yang tidak mencukupi, bekalan makanan dan minum yang amat sedikit. Tetapi mereka mempunyai bekalan iman yang mantap dan tidak berbelah bahagi terhadap janji-janji Allah swt. Mereka memiliki keimanan diri yang tidak dapat kamu lihat dari umat Islam masa kini. Dan kamu tidak akan dapat mencari sesiapapun pada masa kini yang mengatakan bahawa mereka berjuang atas nama Islam dan demi Allah, yang memiliki keimanan seteguh pembela-pembela Islam di Canakkale. Kerana mereka, di sepanjang pertempuran itu, tidak mempunyai sebarang peluru dan terpaksa berhadapan dengan musuh, dengan bersenjatakan pisau bayonet di hujung senapang.

bayonet

Kamu lihat ini (Sheykh menunjuk bayonet yang tergantung di dinding Dergah). Inilah bayonet. Dan menerusi salah seorang saudara kami, bayonet ini kini berada di tangan kami. Alhamdulillah, pada mulanya dia sedang mencari sesuatu untuk dihadiahkan kepada Sheykh kami, dan dia telah menemui bayonet ini. Itulah bayonet yang digunakan dalam perang Canakkale. Ia dimiliki oleh seorang askar berjiwa mulia di sana. Saudara kami sedang mencari dan akhirnya ternampak bayonet itu dijual di eBay, tanpa berlengah dia berkata, ‘aku harus mendapatkannya, demi umat Islam , agar kita boleh memiliki sesuatu yang fizikal untuk mengingatkan kita nasib yang telah menimpa orang-orang itu.’ Tentera Islam tidak mempunyai peluru yang cukup. Seringkali kapten akan memerintahkan agar askar-askar mengeluarkan bayonet mereka, dan mencacaknya di hujung senapang dan terus bertempur. Walaupun terpaksa bertempur dalam jarak dekat dengan menggunakan bayonet dan tangan mereka, askar Islam terus mematahkan usaha musuh untuk menguasai benteng pertahanan tersebut.

Musuh-musuh yang menentang di hadapan, terdapat lebih kurang 500,000 askar yang dikumpulkan dari merata dunia. Di kalangan mereka, terdapat juga askar yang diambil dari dunia Islam, askar-askar Islam dari Afghanistan, Pakistan dan India yang mendapati diri mereka terperangkap dek kecuaian sendiri. Mereka telah berkhidmat dengan tentera British dan dalam peperangan itu, mereka telah diberi arahan dari pihak British untuk menaiki sebuah kapal perang yang akan membawa mereka ke medan pertempuran. Sepanjang pelayaran itu, mereka tidak dimaklumkan tentang musuh yang bakal dihadapi.  Alangkah terkejutnya askar-askar  Islam itu sebaik sahaja mereka mendarat dan mereka dapati bahawa musuh yang harus ditentang adalah dari tentera Khalifah Islam sendiri.  Dengan jiwa yang memberontak, mereka berkata, ‘Tidak! Tujuan kami menyertai pasukan tentera ini  bukanlah untuk menentang kaum Islam. Kami tidak akan melawan mereka. Kami akan pergi dari sini.’ Malangnya, pihak British mengatakan, ‘tidak, kamu semua tidak boleh mengundurkan diri. Kamu harus menghadapi mereka. Jangan berani untuk cuba melarikan diri kerana kami akan sentiasa mengawasi kamu. Jika kamu ingkar pada arahan ini, kamu akan menemui ajal ditangan kami.’

Terdapat juga beberapa askar yang diambil dari India. Pihak musuh telah menipu mereka. Mereka diberitahu bahawa mereka akan pergi ke Istanbul untuk menyelamatkan Khalifah dari ancaman Jerman.  Askar-askar India mempercayainya.  Saya dimaklumkan bahawa terdapat juga sekumpulan askar, alhamdulillah dari rantau Asia; Malaysia dan Singapura, di mana apabila British mengerahkan mereka untuk ke Istanbul, mereka memberontak. Mereka telah dilarang untuk menyebelahi, menyokong atau bersimpati kepada kerajaah Uthmaniyyah.  British mengeluarkan propoganda bahawa jika kerajaan Uthmaniyyah mengalahkan British, seluruh bumi Islam termasuk Mekah akan dikuasai Jerman. Sekumpulan tentera Melayu dan tentera India Muslim dibawah arahan British telah memberontak apabila menerima berita bahawa mereka akan dihantar untuk berperang melawan kerajaan Uthmaniyyah bagi pihak British. Akibatnya kebanyakkan dikalangan mereka yang telah dijatuhkan hukuman tembak sampai mati disaksikan lebih ribuan orang awam. Perjuangan tentera Melayu ini bukanlah bersifat tempatan semata-mata. Mereka juga bukan pahlawan kampungan. Mereka sendiri telah meletakkan perjuangan mereka merentasi tempurung bangsa Melayu dan sempadan kedaerahan, bahkan meletakkan bai’ah mereka kepada khilafah dan ummah. Mereka berkata, ‘kami rela mati daripada mendurhakai Khalifah.” Maka tergolonglah mereka sebagai syahid di Canakkale.

Apa pula yang telah dilakukan oleh umat Islam yang lainnya?

Ya, ketahuilah bahwa sesungguhnya mereka telah mengkhianati Khalifah. Mereka berpaling tadah . Seluruh Arabistan, Arabia, bukan setakat berpaling tadah dan tidak membantu Khalifah, malah mereka membantu pihak musuh untuk masuk melalui tanah Arab, melalui Yemen, melalui setiap kawasan-kawasan yang bersempadan dengan Turki Istanbul, agar pemerintahan Islam Uthmaniyyah dapat digulingkan. Dunia tidak pernah menyaksikan pertempuran yang sebegini dashyat. Peperangan telah banyak berlaku di pesada dunia tetapi ia tidak pernah melihat sebuah peperangan di mana musuh-musuh dari seluruh dunia telah bersatu untuk memusnahkan hanya satu bangsa. Dan mereka terlalu yakin bahawa mereka akan berjaya memusnahkan Islam dengan sekelip mata. Tetera Uthmaniyyah berjuang mempertahankan 28 garisan hadapan. Pihak musuh datang bersama lebih kurang setengah juta bala tentera dilengkapi dengan teknologi canggih, senjata-senjata dan peluru yang terkini. Namun mereka tidak dapat menguasai walau sejengkal tanah pun milik Uthmaniyyah! Kedatangan mereka menyeberangi Bosphorus ke Istanbul untuk menjatuhkan Islam dan menyesatkan umatnya akhirnya tenggalam di perairan selat itu. Kerana Mehmetci, mereka telah berjuang dengan gagah berani dan tekad yang kuat, hingga gugur syahid di medan perang yang didambakan mereka.

Yang perlu kita fahamkan, dan ini adalah kata-kata dari SahibulSaif, kata-kata Haqq, bahwa pahlawan-pahlawan Islam ini tidak mengorbankan nyawa untuk Turki atau untuk Nasionalisme. Mereka tidak mengorbankan nyawa, baik lelaki maupun wanita, kerana terdapat juga ramai wanita yang terlibat dalam peperangan ini. Ya, begitu ramai wanita, yang muda, yang dewasa, dan yang bergelar nenek, mereka turut berjuang. Mereka pergi menentang musuh-musuh Islam hingga syahid di medan tempur dengan kalimah terakhir, yang menyebut, ‘Allah!’ Ramai yang telah dikebumikan tanpa kafan (kain kafan). Mereka hanya ditembusi dengan tanah. Segala perjuangan dan pengorbanan dilakukan demi Khalifah. Mereka berjuang agar kalimat Allah menjadi yang paling tinggi. Mereka berkorban demi cinta kepada Rasulullah (asws). Mereka telah mempertaruhkan nyawa dan segala-galanya semata-mata untuk Din, untuk Islam.

Mereka terus bergerak maju ke hadapan tanpa berundur walau setapak pun ke belakang. Mereka tidak mempunyai bekalan peluru yang cukup. Mereka berbaris lurus ke depan, tanpa membelok atau mengubah haluan. Satu persatu mereka ditembak. Satu rebah, yang lain ganti. Ini berterusan untuk menahan arus serangan dari depan dan menutupi celah-celah yang lemah, hingga akhirnya mereka membentuk sebuah tembok manusia yang menghalang musuh dari menggempur masuk. Kegentaran menyelubungi jalur nadi musuh melihatkan keberanian ini yang diperkuat oleh kasih Allah, hinggakan mereka bertanya, ‘Siapakah gerangan orang ini? Siapakah gerangan mereka yang berani menghalangi kami dengan penuh kehebatan?

Apabila berlaku genjatan senjata di malam hari, apabila semuanya terhenti menjadi sepi, tentera Mehmetci, dengan sedikit makanan yang dimiliki, kerana mereka sedar bahwa pihak musuh tidak mempunyai bekalan makan yang cukup, mereka  mula mencampakkan makanan ke dalam air untuk memberi makan kepada tentera musuh. Pengorbanan yang mereka lakukan adalah untuk Allah, untuk Islam. Dan dengan kuasa dan pertolongan Allah swt, musuh tidak berjaya untuk menyeberangi, melalui dan menjatuhkan Khalifah. Sekiranya mereka berjaya menjatuhkan Khilafat, mereka akan memusnahkan Islam, memusnahkan Ahli Sunnah.

Islam tidak boleh dimusnahkan. Ya, kita faham akan hakikat ini. Tetapi Aqidah, amalan dan gaya hidup, boleh dimusnahkan, seperti yang kita lihat hari ini. Dan orang-orang yang telah mengorbankan nyawa mereka, mereka tidak memberi pengorbanan itu agar kita bisa menikmati kemodenan dan kesederhanaan dalam Islam. Mereka tidak mengorbankan jiwa dan raga supaya kita boleh memperjuangkan Nasionalisme. Mereka tidak mengorbankan nyawa, harta dan keluarga supaya kaum lelaki boleh mengabaikan tanggungjawab mereka dan tidak berkelakuan seperti orang Mukmin. Mereka tidak memberikan kehidupan mereka supaya wanita boleh menanggalkan hijab menjalani hidup berfoya-foya yang berunsurkan kebaratan. Itulah sebabnya maka pahlawan-pahlawan Islam ini berjuang bermati-matian, untuk membentengi umat Islam dari diresapi kegelapan Jahiliyah dan ancaman jerat-jerat shaitan.

canakkale

Dan satu satunya orang yang mereka agung-agungkan, yang namanya harum ke seluruh Turki pasca-peperangan ini, hingga akhirnya dianugerahkan pangkat jeneral sebagai penghargaan terhadap kemampuannya yang luar biasa dalam menangani serangan mega musuh, ketahuilah bahawa dia itu adalah jauh lebih barat dari kesemua mereka. Dialah yang telah menghancurkan seluruh kehidupan beragama di Turki dan menggantinya dengan paham sekuler. Eh, jadi kamu menyekat Perancis dari memasuki tetapi kamu menjadi lebih Perancis dari mereka. Dan itulah yang ditanamkan ke dalam masyarakatnya. Dialah lelaki yang bertanggungjawab memusnahkan institusi khalifah Islam. Dia lelaki yang membawa Barat ke Turki dengan menolak Islam. Dan musuh-musuh Uthmaniyyah memahami, ‘kita harus menjatuhkan kepala. Jika kita tidak menjatuhkan kepala, terutama sekali orang-orang Turki, mereka sangat kuat dan mereka mempunyai keimanan yang kukuh, jika kita tidak berhasil menjatuhkan kepala (ketua), kita tidak boleh meneruskan rancangan ini. Kita tidak boleh meneruskan rancangan untuk mengambil Kurdi, Palestin. Dan sesterusnya kita tidak boleh memecah belahkan umat Islam yang bersatu ini, kepada empat puluh, lima puluh,’ siapa tahu, mungkin tujuh puluh negara-negara yang berbeza yang kita saksikan wujud pada hari ini. Islam membicarakan tentang perpaduan. Kami mempunyai perpaduan. Kami mempunyai perpaduan di bawah kepimpinan khalifah yang membela hak umat Islam sejagat. Selama 1300 tahun kami mempunyai perpaduan. Tapi kini semuanya telah berkahir. Kita tidak mempunyai perpaduan, dan mereka mula berkata, ‘kita harus bersatu dengan cara yang lain.’  Tidak, kamu tidak boleh melakukannya. Kamu harus bersatu dibawah kepimpinan Khalifah.

Maka mereka mengorbankan kesenangan hidup dan meninggalkan orang yang disayangi atas nama perjuangan. Tetapi pengorbanan itu bukan hanya untuk diri sendiri. Ia adalah untuk kita semua. Tanpa pengorbanan mereka sudah pasti kita tidak akan mempunyai Islam pada hari ini. Akidah Ahli Sunnah akan berakhir. Maka itulah yang menyebabkan para AwliyaAllah berkata bahawa setiap dikalangan pahlawan Islam Canakkale itu bukan Sahabat e-Kiram tetapi Allah swt telah memberikan mereka kedudukan yang hampir setaraf dengan para Sahaba. Ya, begitulah ganjaran Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hamba yang telah menyerahkan diri sepenuhnya kepada-Nya. Mereka seperti Sahaba e-Kiram tetapi mereka bukan Sahaba e-Kiram, kerana Perang Canakkale adalah pertempuran yang sangat sengit seperti Perang Badar. Ia adalah salah satu peperangan yang terpenting di dalam sejarah Islam kerana ia menentukan hala tuju dan nasib umat Islam dan agama Islam itu sendiri, samada mara atau terhenti di sekerat jalan. Seperti yang pernah dikatakan Sheykh Effendi, jangan kita fikirkan bahawa dalam Perang Badar, apabila Nabi (asws) dan para sahabat mendapat berita bahawa pihak Musyrik akan datang untuk berperang maka mereka dengan ghairahnya mengambil senjata dan bersedia untuk menghadapi mereka. Tidak. Usahlah kamu berfikir begitu. Jangan kamu mempercayainya. Itu adalah kepercayaan kafir dan oleh kerana kamu terlalu banyak membaca tulisan yang berbeza dari pelbagai sumber, maka kamu turut mempercayainya. Kenyataan itu tidak benar sama sekali.

Mereka tahu bahawa pihak Musyrik sedang tiba. Nabi (asws) tidak berkata apa-apa, sebagaimana beliau tidak pernah mengatakan apa-apa selama sepuluh tahun di Mekah apabila para pengikutnya telah diseksa dengan minyak yang panas, tubuh badan mereka telah dikerat-kerat, mereka didera, mereka dibunuh, segala harta kekayaan mereka dirampas, segala-galanya dimusnahkan begitu sahaja, namun umat Islam dan Nabi (asws) tidak mengangkat satu tangan pun untuk menghalang mereka. Tidak pernah. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan Nabi-Nya (asws), mengajar mereka penyerahan, mengajar erti kesabaran, mengajar keimanan, mengajar erti pengorbanan. Apabila mereka datang ke Madinah, apabila mereka mendapat khabar bahawa Musyrik telah datang, mereka pergi menemui Nabi (asws) dan berkata ‘Ya Rasulullah, kami telah membuka pintu  seluas-luasnya untuk kamu. Sekarang pihak musuh sedang mara ke arah kami, apakah kamu tidak akan memberi keizinan untuk kami menentang mereka? Mereka yang akan menghapuskan segala-apa yang kita miliki.’

Dan Rasulullah (asws) menjawab. ‘Tidak. Kebenaran itu bukan terletak di tangan ku. Ia berada di tangan Allah swt. Selagi Allah tidak memberikan kebenaran itu, kita tidak akan berperang.’

‘Apakah yang harus kita lakukan kini? Musuh semakin menghampiri, Ya Rasulullah!’

‘Sekiranya musuh berada di depan mata sekalipun,  jika kita tidak mendapat keizinan Allah swt, kita tidak akan menentang. Biarlah kita gugur syahid dengan cara begitu.’

Sesungguhnya Allah sedang menguji sejauh mana kesetiaan mereka terhadap Allah. Jangan kamu fikir ia adalah suatu perkara yang mudah. Jangan difikirkan bahawa ia adalah mudah untuk mengatakan, ‘Saya seorang Muslim. Saya seorang Mukmin. Saya ingin hidup dan mati demi Allah.’ Jangan difikirkan bahawa ia adalah perkara yang mudah. Semoga Allah tidak menduga kita dengan cara ini. Namun kita bermohon agar Allah memberi kita keimanan yang kukuh seperti itu.  Kerana di saat itu, Nabi (asws) menanti dengan penuh redha dengan setiap keputusan yang akan Allah tetapkan. Begitu juga dengan kaum Muslim itu, mereka duduk menanti dengan pasrah. Namun jiwa mereka dipenuhi dengan semangat dan kesediaan untuk berkorban dengan apa cara sekalipun untuk mati di jalan Allah. Sesungguhnya itulah ujian yang ditimpakan ke atas para sahabi. Oleh kerana kesetiaan yang tidak berbelah bagi mereka terhadap perintah Allah dan Rasul-Nya (asws), maka mereka lulus ujan itu. Walaupun bumi digegarkan dengan kemaraan musuh yang begitu bersemangat untuk membunuh pihak Islam yang amat kecil bilangannya, namun mereka tetap berkata, ‘kami mendegar dan kami patuh pada arahanmu Ya Rasulullah. Kami akan berdiri menanti di sini bersamamu. Jika tiada kebenaran diturunkan, kami rela mati demi Islam.’ Dan apabila tiba masanya, apabila Nabi (asws) memerhatikan dan beliau melihat bahawa setiap seorang daripada mereka sudah bersedia untuk mengorbankan segala-galanya, bukan demi ibu bapa mereka, bukan untuk kepentingan puak mereka, bukan untuk tanah air mereka, bukan kerana harta mereka, bukan demi keturunan mereka, bukan demi penghormatan, tetapi demi Allah dan Rasul-Nya, apabila mereka bersedia sepenuhnya jiwa dan raga, maka Nabi (asws) berkata, ‘Sekarang, kita boleh menentang.’

Dan diwaktu itu, Allah swt menurunkan perintah mengatakan, ‘Sekarang pergilah kamu menghadapi musuh. Sesungguhnya Aku bersama kamu. Penggallah kepala mereka dan pancunglah tiap-tiap ujung jari mereka karena sesungguhnya mereka menentang Allah dan Rasul-Nya, Aku yang akan mencabut roh-roh mereka. Sekarang, tujuan kamu berperang adalah kerana Allah,  kerana menegakkan kalimah Allah yang maha suci, kamu bukan berperang untuk anak-anak, harta dan kekayaan atau untuk kota-kota kamu tersendiri. Berjuanglah ke jalan Allah.’ Jangan kamu fikir bahawa mereka semua bersenjatakan pedang. Mereka tidak mempunyai pedang. Tetapi, sungguhpun begitu, mereka sanggup menghadapi, mereka sanggup melawan, walaupun dengan bersenjatakan batang-batang kayu dan ketulan batu-bata yang dikutip di padang pasir itu. Dan mereka inilah yang juga sangsi, antara harapan akan menang, dan kecemasan akan kalah. Tetapi jiwa mereka sudah penuh terisi oleh semangat dari Allah swt. Sudah bukan mereka lagi yang membunuh musuh, sudah bukan mereka lagi yang menawan tawanan perang. Hanya karena adanya semangat dari Allah yang tertanam dalam jiwa mereka itu kekuatan moral mereka bertambah dan Allah berkata , ‘Sebenarnya bukan kamu yang membunuh mereka, melainkan Allah juga yang telah membunuh mereka. Juga ketika kau lemparkan, sebenarnya bukan engkau yang melakukan itu, melainkan Tuhan juga.’

Sekali lagi, bilangan tentera Islam sedikit berbanding dengan tentera musuh. 313 orang para sahabi yang mulia menjadi ahli Badar. Di kalangan 700 kaum muslim yang bersama Rasulullah sebelum peperangan bermula, hanya 313 yang taat setia untuk bersama Rasulullah dalam menghadapi pihak musuh. Yang lainnya mula mengundurkan diri secara senyap-senyap. Mereka berkata, ‘Oh, kamu ingin menentang? Baiklah. Kami akan bersedia.’ Atau sebahagian daripada mereka, tidak memahami, atau mereka menipu diri sendiri dan mula menyembunyikan diri di suatu tempat kerana mereka tahu peperangan akan berlaku. Maka mereka  berpaling tadah terhadap Nabi. Merekalah orang-orang munafik. Kerana mereka berkata, ‘mustahil untuk kita berjuang dan menang dalam peperangan ini. Pasti kita akan tewas. Oleh itu ada baiknya kita menyembunyikan diri. Dengan cara ini jika Islam tewas dan apabila musuh datang, kita boleh katakan bahawa kita tidak berpihak pada mereka.’

Riwayat mengatakan, dan Shaykh Effendi menjelaskan bahawa dalam perang Badar itu Nabi (asws) dan umat Islam hanya punya dua ekor kuda perang. Pihak musyrikin Mekah terdiri atas 1000 pasukan bersenjata lengkap, berbaju besi, bersertakan unta-unta dengan segala muatannya, dan ratusan ekor kuda menentang 313 pahlawan Islam, Singa-Singa Islam. Ya, dan mereka berjuang dengan laungan ‘Allah! Allah! Deen! Deen!’ Dan berhembuslah angin syurga !  Sama seperti yang dilakukan oleh tentera Canakkale. Mereka tidak berteriak, ‘Turkiye, Turkiye!’ Mereka tidak berteriak, ‘ibu ku! ayah ku!’ Mereka tidak berteriak, ‘tanah air ku!’ Mereka tidak bertiak, ‘anak-anak ku!’ Mereka tidak berteriak, ‘bank akaun ku!’ Mereka tidak berteriak apa-apa selain dari, ‘Allah! Allah! Deen! Deen!’ Dan mereka berjuang bermati-matian menentang musuh dengan Zikr itu. Akhirnya mereka gugur sebagai pahlawan Islam, sama seperti syuhada-syuhada di Badar. Andaikata tentera Islam kalah dalam peperangan ini maka tamatlah riwayat orang-orang Islam malah agama Islam itu sendiri akan terhapus.

Sama juga keadaanya di Canakkale, sekiranya musuh berjaya menumpaskan Khilafah dan kufur berjaya memasuki dan melenyapkan Khilafah, kita tidak akan mempunyai agama ini lagi. Jadi, bagi mereka yang menentang amalan Zikr, apa yang dapat kamu katakan tentang hal ini, hmm? Apa yang dapat kamu katakan mengenainya?

Kebanyakkan diantara mereka yang berjuang di jalan Allah ini, mereka melaungkan Allah! Allah! Allah!  Dengan tenaga dan kekuatan luar biasa yang mereka pamerkan itu, ternyata pada waktu itu mereka bukan lagi dari alam ini. Sebaik sahaja kamu menjejakkan kaki ke dalam medan itu, ke dalam penghayatan itu, dalam semangat itu, mereka telah pun mengangkat derajat kamu. Kamu tidak lagi berasal dari bumi ini dan kamu telah pun ke sana dan berjuang dan merasakan diri sebegitu dekat sekali dengan Allah. Kamu ingin bersama dengan Allah. Kamu tidak masuk ke medan pertempuran dengan harapan untuk hidup. Kamu masuk dengan niat yang satu, iaitu untuk mati! Demikian kisah kekuatan peribadi hamba-hamba Allah dalam mempertahankan kebenaran dan kesucian Islam. Mereka pergi menghadapi musuh untuk mengorbankan hidup mereka demi Allah. Mereka tidak ke sana membuat perancangan masa depan yang besar, memikirkan bahawa mereka akan pulang dan disambut secara besar-besaran oleh ahli keluarga. Mereka ke sana dengan pemahaman yang mereka akan mengembalikan apa yang telah diberikan Allah kepada mereka; mereka akan memberi semula kehidupan yang telah diberikan Allah kepada mereka, demi mempertahankan maruah Islam.

Ada sesetengah keluarga, mereka tidak hanya menyerahkan seorang anak lelaki.  Ramai dikalangan mereka yang menyerahkan dua, tiga, empat, lima orang anak lelaki. Shaykh Effendi pernah menemui seorang wanita, dia mempunyai raut wajah yang bersinar, melambangkan kemuliaan pekerti seorang wanita. Dan dia berkata, ‘ya, saya telah menyerahkan anak-anak lelaki saya. Saya mempunyai lima orang anak lelaki dan kesemua mereka gugur syahid dalam perang itu.’ Dan dia berkata, ‘sekiranya saya mempunyai seratus anak lelaki, akan saya kirimkan kesemua mereka ke peperangan itu.’ Mereka adalah ibu-ibu Syurgawi. Mereka adalah ibu-ibu yang mempunyai Syurga di bawah telapak kaki. Mereka tidak mempunyai dunya di bawah telapak kaki. Mereka tidak mempunyai dunya dalam tangan mereka. Mereka tidak mempunyai dunya dalam hati mereka. Merekalah orang-orangnya, bukan seperti ibu-ibu pada hari ini, dimana mereka mengagung-agungkan anak-anak mereka. Mereka menyanjungi suami mereka. Mereka mengagung-agungkan kejayaan dunya ini, hingga apabila melihat orang-orang yang dicintai mulai cenderung ke arah Islam, berguru dengan seseorang yang kuat, mereka akan berkata, ‘Tidak. Saya tuntut ketaatan dari kamu kerana syurga berada di bawah kaki ku.’ Tidak. Syurga tidak berada di telapak kaki ibu-ibu seperti itu. Ibu-ibu, seperti itu hanya mempunyai neraka di bawah telapak kaki mereka dan ia membakar diri mereka sendiri! Percayalah . Namun ibu-ibu di Canakkale telah menyerahkan segala-galanya demi Allah. Mereka mengingatkan anak-anak mereka tentang Allah dan Rasul-Nya, dan Awliya-Nya, yang tidak meletakkan diri mereka sebagai yang terpenting, dan mereka tidak mengajar anak-anak untuk menyanjungi diri mereka. Begitulah cinta dan pengorbanan seorang ibu. Sebuah cinta sejati yang tak bisa dinilai dan tergantikan. Cinta sang ibu yang telah membawa kebahagiaan bagi sang anak. Inilah makna sesungguhnya dari sebuah cinta yang murni. Ini berbeza sekali dengan ibu masa kini yang mendidik anak untuk menyanjungi mereka. Ini salah. Allah dan Rasul-Nya (asws) adalah yang utama. Dengan cara ini apabila kamu memiliki keimanan yang teguh seperti batu besi, maka segala-galanya dalam hidup akan menjadi seimbang. Waktu itu kamu akan dapat mengasihi ibu, bapa, adik-beradik dan saudara mara kamu dengan cara yang sewajarnya. Kerana apabila kamu mempunyai cinta terhadap Allah dan Rasul-Nya, mustahil bagi kamu untuk tidak mengasihi pada makhluk-Nya yang lain. Pada waktu itu kamu akan mempunyai cinta untuk segala-gala yang telah dicipta Allah. Ya. Tetapi jika kamu tidak mengutamakan cinta Allah dan Rasul-Nya maka cinta  yang kamu miliki itu adalah palsu. Ia menjadi bahan penyembahan, seperti berhala. Ini salah. Pastinya ia salah.

canakkale4

Pernah saya terbaca di sana sini sebuah tulisan dari beberapa orang yang cetek pemikirannya, yang mengakui diri mereka sebagai murid dalam aliran tarikat. Tetapi mereka berkata,‘Tugas seorang Sheykh hanya untuk meningkatkan derajat kamu dan memberi pangkat kepada pengikutnya. Kerana mereka menyayangi murid itu maka mereka hanya akan memberikan gelaran-gelaran yang tinggi. Tetapi adalah salah bagi kamu untuk menyayangi Sheykh lebih daripada ibu atau bapa kamu, dan ini telah dinyatakan dalam Al-Quran.’ Ternyata orang yang berpendirian begini telah kehilangan akalnya yang waras. Apa yang telah berlaku kepadanya? Siapakah Sheykh itu? Kamu tahu dia seorang Sheykh? Kamu tahu bahawa dia adalah seorang Awliya? Kamu tahu bahawa dia adalah seorang wali Allah? Maka kamu juga harus faham bahawa dia adalah pewaris Nabi (asws). Dia mewakili Rasulullah (asws). Dan Baginda (asws) pernah berkata kepada Hazreti Umar, ‘Belum sempurna iman kalian, hingga aku lebih dicintainya, dari ayah ibunya, dan anaknya, dan seluruh manusia.’ Ibu-ibu dan bapa-bapa di Canakkale, adalah suri tauladan yang baik bagi umat Islam dalam melahirkan kecintaan yang tulus kepada Allah dan Rasul-Nya.

Banyak lagi kejadian aneh yang telah berlaku dalam Perang Canakkale. Ini tidak menghairankan. Pelbagai kejadian luar biasa yang berlaku. Gumpalan awan besar berarak lalu dan membawa  bersamanya sebilangan besara tentera musuh. Kejadian luar biasa ini berlaku kerana terdapat begitu banyak Para Awliya yang turut berjuang dalam pertempuran itu. Grandsyekh kami adalah salah seorang dikalangan mereka yang turut serta berjuang. Grandsyekh kami, semoga Allah menyucikan rahsia dan meningkatkan kedudukan beliau ke tahap yang tertinggi, beliau mempunyai seorang komander yang mempunyai tahap keimanan yang agak tipis. Sewaktu Grandsheykh kami sedang bersujud di hadapan Allah swt, sebutir bom jatuh tepat bersebelahannya. Tanpa bergerak walau sedikit pun, beliau meneruskan solat. Kawasan disekelilingnya  musnah, punah ranah kecuali Grandsheykh seorang yang terselamat. Melihatkan keajaiban yang berlaku di depan matanya, panglima itu terus berkata, ‘Saya bukan seseorang yang punya iman yang teguh, tetapi kini saya meyakini kamu.’ Dan oleh disebabkan itu, dia menjadi lebih beriman kepada Allah swt.

Terlalu banyak keajaiban yang berlaku. Ramai orang-orang yang dimuliakan Allah berada di sana. Mereka adalah para wali Allah, dan mereka lulus ujian mereka. Mereka adalah golongan Syuhada. Sekiranya semua orang memahami apa yang dimaksudkan dengan Syuhada, apa erti Syahid? Merekalah orang-orang yang telah digerakkan oleh hati yang bergelora serta di dorong oleh pembelaan yang mutlak terhadap agama yang suci, dan mereka menyerahkan seluruh jiwa dan raga pada jalan Allah. Maka Allah berkata, ‘semua orang yang meninggal dunia, telah Ku utuskan Malaikat Maut untuk datang mengambil nyawa mereka. Tetapi apabila seorang Syahid menyerahkan nyawanya karena Ku, Aku sendiri yang akan datang dan mengambil nyawanya.’ Allah Azza ja wa’ala, yang datang dan mencabut nyawa-nyawa hamba-Nya yang syahid. Allah swt memberikan mereka penghormatan yang tinggi, hingga  syahid itu akan berkata, ‘Ya Rabbi, sekiranya Engkau memperkenankan doaku, maka berilah aku peluang untuk dihidupkan semula ke dunia agar dapat aku mati sekali lagi demi untukMu. Agar dapat aku rasakan sekali lagi nikmat dan kemanisan sewaktu Kau datang mencabut nyawa ku. Sungguh aku berharap agar diri ini akan dihidupkan lagi ke dunia beribu-ribu kali, supaya aku dapat mati beribu-ribu kali, di tangan Mu yang mencabut nyawaku. ‘

stock-vector-vector-vintage-borders-54193183 (2)Sheykh Lokman Efendi Hz,
Khalifah kepada SahibulSaif Shaykh Abdulkerim el Kibrisi (qs),
Osmanli Dergahi NY

stock-vector-vector-vintage-borders-54193183 (2)

This entry was posted in OsmanliJB. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s