Suatu Perjalanan menuju destinasi abadi

BismillahirRahmanirRahim

suatu perjalanan

Saya datang ke negara ini dua puluh tahun yang lalu. Dua puluh tahun lamanya saya telah menetap di sini. Saya dibesarkan di sebuah pulau kecil di Asia Tenggara, yang terletak di tepi hujung selatan Semenanjung Melayu, yang dikenali sebagai Singapura. Ayah saya berasal dari Sumatra. Salasilah leluhur beliau juga berasal dari Timur Tengah. Nenek saya berasal dari Indonesia, daripada kepulauan Indonesia. Beliau berbangsa Bugis, yang merupakan suku kaum terkenal sebagai pahlawan dan pelaut ulung. Datuk saya berasal dari negeri Cina, di mana seluruh keluarga Cina Islamnya telah menetap di sana buat jangka waktu yang panjang.

Semasa saya membesar dulu, sering saya memerhatikan bahawa kebanyakkan orang mempunyai latar belakang yang amat mudah, sama ada ibu bapa mereka berbangsa Melayu atau Cina. Mereka tidak mempunyai terlalu banyak darah campuran. Kadang kala saya bertanya pada diri sendiri mengapa saya memiliki begitu banyak darah campuran? Dan ramai dikalangan rakan-rakan saya, mereka lebih gemar untuk bergaul dan bercampur dengan bangsa sendiri. Tetapi diri saya sendiri mempunyai kawan-kawan yang terdiri dari pelbagai lapisan kaum etnik dan bangsa: Cina, India, Serani. Saya mendapati diri ini begitu selesa bergaul dengan mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Kini, barulah saya faham mengapa ia harus berlaku, oleh kerana tugas-tugas yang harus saya lakukan, yang telah diamanahkan ke atas diri ini oleh Sheykh kami.

Datuk moyang kita dulu, kesemua mereka berpegang pada aliran Tarikat, kerana Islam yang datang terutamanya ke Asia Tenggara ini telah disebarkan oleh para Awliya, oleh wali-wali Allah. Merekalah insan-insan yang bertanggungjawab menyebarkan Islam di Nusantara. Ini termasuk juga para Awliya Allah yang datang dari Hadhramaut dan Yemen. Sejarah, terutama sekali sejarah yang ditulis oleh orang barat,  telah cuba untuk mengajar kita, bahawa Islam telah dibawa ke Nusantara oleh pedagang-pedang Islam. Ini adalah antara kekeliruan yang tersebar luas sejak zaman berzaman. Mereka mengatakan bahawa hubungan dagang menjadi salah satu medan terpenting bagi kemasukan Islam ke Nusantara. Mereka menerangkan bahawa Islam telah tersebar luas di daerah ini oleh pedagang-pedagang Arab dan India. Tujuan utama mereka ke sini adalah atas urusan perniagaan. Apabila telah sekian lama bertapak di sini, dengan cara tidak sengaja, mereka mulai untuk menyebarkan tentang Islam di kalangan penduduk-penduduk di rantau Nusantara dan membina beberapa buah Masjid.  Begitulah, menurut pandangan mereka, cara Islam telah disebarkan. Seperti tiada sebarang perancangan, tiada sebarang niat, tiada organisasi untuk menyebarkan agama Allah. Sedangkan berdakwah dalam mengajak manusia ke jalan Allah merupakan tugas yang paling mulia dalam Islam. Islam mewajibkan umatnya supaya menyuruh kepada kebaikan dan mencegah yang mungkar. Seluruh para Nabi mengungguli tugas dan amanah ini yang diteruskan oleh para Sahabat, Tabiin, Ulama, Syuhada dan Solehin hingga ke akhir zaman. Oleh kerana amanah dakwah ini adalah amalan yang ditaklifkan, mulia dan mendapat ganjaran yang besar, maka ia memerlukan persiapan yang rapi dari sudut keilmuan yang menyeluruh, keimanan yang mendalam, kepimpinan yang adil dan amanah, pendekatan yang penuh hikmah, mengenali sasaran dakwah dan sebagainya. Bagaimana mungkin sekumpulan pedagang-pedagang Arab dan India (seperti yang dicatatkan dalam buku sejarah tulisan Barat) dapat mencapai tujuan yang sangat mulia ini, sedangkan tujuan mereka ke rantau ini adalah atas urusan perdagangan, urusan duniawi, bukan ukhrawi? Jika benar apa yang dicatatkan oleh sejarah Barat, maka apakah tujuan hidup kita sebagai orang Islam? Hanya untuk menjalani hidup dari hari ke hari, dari 9 pagi hingga ke 5 petang seperti orang-orang kafir? atau lebih teruk lagi, seperti haiwan? dan kemudiannya dijemput maut? Adakah itu tujuan diciptakan manusia? Mengapa kami diciptakan?

Maka saya dibesarkan di Singapura. Dan saya telah diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Amerika. Kedua Ayah dan Ibu saya berlatar belakang Tarikat.  Pada waktu itu juga, jika pun terdapat dikalangan mereka yang tidak mengikuti sebarang Sheykh, namun mereka tetap menghormati semua Sheykh Sheykh yang ada. Ini bukan sesuatu yang berlaku seratus tahun yang lalu. Ini bukan sesuatu yang berlaku dua ratus tahun yang lalu. Ini adalah sesuatu yang berlaku dua puluh tahun yang lalu. Dua puluh tahun yang lalu, sewaktu fahaman Wahabi dan Salafi  belum menular. Pada waktu itu, walaupun ayah saya mempunyai seorang Sheykh, namun beliau telah menggalakkan agar saya mencari seseorang yang sesuai untuk diri ini. Beliau tidak hanya berkata, ‘Ayah mengikuti Sheykh ini,  jadi kamu juga harus mengikutinya.’ Tidak.  Beliau malah berkata, ‘setelah ayah memerhatikan diri kamu, dan mengamati keadaan kami, kamu akan menemukan sesuatu yang akan menyentuh naluri dalammu.’

Memang adalah baik jika kamu mempunyai seorang Sheykh dan anak-anak kamu turut berpegang pada Sheykh yang sama, keturunan yang sama, keluarga yang sama, generasi sama. Ini adalah baik. Untuk tahap permulaan, ia adalah sesuatu yang baik. Kerana segala-galanya kini perlu ada kesegaran, perlu bersifat dinamik. Bukan hanya sekadar sesuatu yang menjadi ikut-ikutan tradisi, atau sesuatu yang dilakukan dan dijadikan pegangan tanpa disoal. Kerana jika kamu berpegang kepada sesuatu tanpa mempersoalkannya, ia menjadi palsu. Ia bukan sesuatu yang nyata. Mengapakah begitu? Kerana kamu tidak mempersoalkannya. Tidak menjadi soal dan mempersoalkannya. Dalam ketidakpedulian itu kamu akan hilang kepercayaan. Maka kamu perlu bertanya. Allah subhanahu wa ta’ala berfirman, ‘Berfikirlah kamu.’ ‘Kenapa kamu tidak berfikir?’ ‘Apakah kamu tidak berfikir?’ ‘Sesungguhnya ini adalah untuk orang-orang yang berfikir.’ Befikir adalah cermin yang memantulkan kebaikan dan keburukan.

Jika kita mengamati dan meneliti Kalimah Syahadat yang dilafazkan oleh lidah ini, akan dapat kita fahami bahawa Syahadat itu menganjurkan agar kita mempersoalkan iman yang ada di dalam diri kita. Kalimah Syahadat itu membuat kita bertanya tentang keimanan kita yang sebenar. Kerana Syahadat itu tidak berkata, ‘Aku beriman kepada Allah. Aku beriman kepada Muhamamd (asws).’ Tidak. Ia tidak mengatakan begitu. Syahadat adalah, ‘La ilaha illallah, Muhammadur Rasulullah (asws).’ Syahadat mengatakan, ‘La Ilaha Ilallah,’ yang bermaksud meyakini bahawa tiada Tuhan yang sebenar melainkan Allah swt. Dialah yang berhak disembah, dan segala yang disembah selain Allah adalah salah dan palsu. Ia menafikan segala apa yang disembah selain Allah dan juga menetapkan bahawa ibadah atau penyembahan hanya layak untuk Allah swt. Dan tanda kecintaan kepada Allah ialah mencintai apa yang dicintai Allah dan membenci apa yang dibenci Allah. Orang yang mencintai Allah dengan sendirinya akan mentaati Allah dan meninggalkan laranganNya. Dia akan menyokong orang yang menyokong ajaran Allah dan membenci orang yang membenci dan menafikan ajaran Allah, walau sesiapa pun. Kerana inilah asas keimanan yang paling penting. Syahadat tidak akan sempurna melainkan setelah ditolak segala sembahan selain Allah, menafikan ketuhanan kepada selain Allah, kepatuhan yang mutlak kepada selain Allah dan menafikan segala ajaran dan hukum selain Allah subhana wa ta’ala.

shahadat

stock-vector-vector-vintage-borders-54193183 (2)Sheykh Lokman Efendi Hz,
Khalifah kepada SahibulSaif Shaykh Abdulkerim el Kibrisi (qs),
16 Jamada al-Awwal 1437
February 25, 2016.stock-vector-vector-vintage-borders-54193183 (2)

This entry was posted in OsmanliJB. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s